5 Perkara Mengenai Jupp Heynckes, Pengendali Bayern Munich Yang Wajib Anda Tahu

Selepas pemecatan Carlo Ancelotti, Bayern Munich tidak membuang masa untuk melantik Jupp Heynckes sebagai pengganti kepada pengurus berbangsa Itali itu.

Semua orang tahu bahawa Jupp Heynckes pernah mengendalikan Bayern Munich sebelum ini. Malah bagi yang benar-benar mengikuti perkembangan kelab Bavarian ini, Heynckes bukanlah watak asing bagi mereka.

Kali terakhir Heynckes mengendalikan Bayern Munich ialah pada 2013. Kami pasti ada di antara anda yang tertanya-tanya siapakah beliau. Artikel pada kali ini menampilkan 5 perkara yang wajib anda tahu untuk mengenali Jupp Heynckes.

1. Penampilan kali ke-4

Ini adalah penampilan ke-4 Heynckes diumumkan sebagai pengurus Bayern Munich. Benar. Anda tidak tersilap baca. Realitinya ini adalah kali ke-4 Heynckes menduduki kerusi panas kelab Bavarian ini.

Pertama kali beliau mengendalikan Bayern Munich ialah di antara 1987 sehingga 1991. Dalam tempoh itu, beliau berjaya membawa pulang 2 kejuaraan Bundesliga dan dua kali tampil sebagai naib juara Jerman.

Walaupun demikian, Heynckes dipecat oleh Uli Hoeness pada Oktober 1991 sebelum kembali mengambil alih semula jawatan tersebut daripada Jurgen Klinsmann pada 2008-2009.

(Photo credit should read CHRISTOF STACHE/AFP/Getty Images)

Klinsmann mengundurkan diri pada April 2009. Heynckes tampil mengembalikan kelab Bavarian itu ke landasan kemenangan- menang 4 daripada baki 5 perlawanan Bundesliga.

Kelab Bavarian itu menamatkan kempen musim tersebut di tangga kedua Bundesliga, sekaligus berjaya melayakkan diri ke saingan UEFA Champions League untuk musim berikutnya.

Sebelum ketibaan Heynckes, segalanya tampak mustahil buat Bayern Munich pada musim 2008-2009. Louis Van Gaal kemudiannya dilantik sebagai pengurus untuk musim seterusnya.

Ketibaan kali ke-3 Heynckes di Allianz Arena dianggap sebagai yang paling berjaya buat Heynckes. Beliau memenangi treble bersama Bayern Munich, menjulang kejuaraan Bundesliga, DFB Cup dan juga Champions League pada musim 2012-2013.

Beliau membayangkan untuk bersara daripada pengurusan bola sepak selepas musim tersebut.

2. Monchengladbach sentiasa di hati

Jupp Heynckes adalah anak yang ke-9 daripada 10 adik beradik di Monchengladbach, Jerman. Cita-cita asal Heynckes ialah untuk menjadi seorang arkitek sebelum serius di dalam bola sepak.

Beliau sangat sukakan Monchengladbach dan sehingga kini memiliki sebuah rumah yang terletak di sebuah ladang di mana beliau dan isterinya Iris tinggal di pinggiran bandar Nordrhein-Westphalian.

Perlawanan Budesliga pada Mei 2013 seperti akan menjadi perlawanan terakhir buat Heynckes bersama Bayern Munich. Selepas mencatat kemenangan pada minggu ke-34 Bundesliga pada musim itu, Heynckes dipetik sebagai berkata:

(Photo by Mathis Wienand/Getty Images

“Ini menunjukkan di mana sebenarnya rumah saya,” ujar beliau merujuk kepada sudah tiba masanya beliau kembali dan berehat di kediamannya di Monchengladbach.

Kejayaan treble pada musim itu mengangkat nama Heynckes sebaris dengan pengurus legenda bola sepak dunia yang lain seperti Sir Alex Ferguson, Pep Guardiola, dan Jose Mourinho yang pernah bergelar juara di peringkat eropah.

Ia bagaikan penamat yang sempurna buat Heynckes!

3. Pemain bola sepak profesional tersohor

Heynckes adalah seorang jurulatih terkemuka di Jerman. Tetapi satu masa dahulu, beliau juga adalah seorang pemain tersohor. Beliau pernah beraksi selama 3 musim bersama Hannover di antara tahun 1967 sehingga 1970.

Selain daripada itu, karier Heynckes sebagai pemain bola sepak profesional ialah bersama Borussia Monchengladbach. Hynckes merekodkan statistik jaringan yang menakjubkan.

(Photo by Werner OTTO/ullstein bild via Getty Images)

195 gol daripada 283 keseluruhan penampilan di Bundesliga bermakna beliau hanya berada di belakang Gerd Muller dan bekas pemain Schalke, Klaus Fischer sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman.

Di peringkat kelab, Heynckes memiliki 4 kejuaraan Bundesliga, 1 Piala DFB dan juga kejuaraan Piala UEFA ketika bersama Monchengladbach.

Di pentas antarabangsa, Heynckes adalah sebahagian daripada skuad Jerman di Euro 1972 dan juga Piala Dunia. Secara keseluruhan, Heynckes tampil dalam 29 perlawanan antarabangsa untuk negaranya.

4. Mencipta nama di luar Jerman

Jupp Heynckes turut membuktikan beliau boleh melakar kejayaan di luar Jerman. Selepas mendapatkan pengalaman sebagai pengendali bersama Gladbach, Heynckes menyertai Bayern selama semusim sebelum ke La Liga untuk bersama Athletic Bilbao.

Pada masa itu, Heynckes adalah pengendali ke-3 daripada Jerman yang mengendalikan kelab di luar Bundesliga, mengikut jejak langkah hennes Weisweiler dan juga Udo Lattek ke Sepanyol.

Pada musim kedua bersama Bilbao, Heynckes sudah berjaya membawa kelab berkenaan ke peringkat kelayakkan Piala UEFA. Bersama Tenerife pada musim 1995/96, beliau melakukan perkara yang sama pada musim pertamanya.

(Photo by Neal Simpson/EMPICS via Getty Images)

Di musim kedua pasukan bimbingannya, Tenerife ditewaskan oleh Schalke di peringkat separuh akhir Piala UEFA. Prestasi Heynckes lantas mendapat perhatian Real Madrid.

Di Santiago Bernabeu, Hynckes berjaya membawa Real Madrid bergelar juara UEFA Champions League, namun terpaksa berpuas hati dengan menamatkan musim La Liga di tangga ke-4.

Anda tahu akibatnya jika seseorang pengurus gagal mencabar kejuaraan La Liga jika membimbing kelab Madrid itu. Heynckes hanya bersama Real Madrid selama semusim sebelum ke Benfica dan Bilbao sekali lagi, dan akhirnya kembali ke Bundesliga bersama Schalke pada 2003.

5. Nama gelaran: Osram!

Anda sinonim dengan ‘bulb’ lampu jenama OSRAM? Benar. Di Bundesliga Jupp Heynckes diberikan gelaran sempena jenama ‘bulb’ lampu Osram kerana karakternya. Bezanya Hynckes tidak mempunyai fius yang boleh terbakar!

Menuju ke perlawanan separuh akhir Champions League menentang Barcelona pada musim 2012-2013, Hynckes diajukan satu soalan oleh wartawan:

“Adakah anda akan mendapatkan sebarang tips daripada Pep Guardiola untuk perlawanan ini?”

Guardiola sudah pun disahkan akan menjadi pengganti beliau di Allianz Arena untuk musim berikutnya pada ketika itu.

Hynckes yang jelas tidak senang dengan soalan wartawan menjawabnya dengan penuh sinis.

(Photo by liewig christian/Corbis via Getty Images)

“Jika saya mahukan pendapat seseorang untuk perlawanan tersebut, saya akan memanggil Johan Cruyff. Ini kerana Cruyff adalah pencipta pencipta ‘total football’ yang menjadi asas kepada tiki taka Barcelona pada hari ini.”

“Tetapi saya tidak perlu berbuat demikian,” ujar Hynckes.

Mungkin ada benarnya kata-kata Hynckes itu. Bayern Munich memenangi perlawanan tersebut dengan agregat 7-0 ke atas Barcelona sebelum menewaskan Borussia Dortmund  2-1 di perlawanan akhir.

Sepanjang karier Hynckes di dalam pengurusan, bukan sahaja pihak media yang sering menjadi sasaran Hynckes dengan jawapan yang sinis.

Franck Ribery menganggap Hynckes seorang jurulatih yang berjiwa besar, namun mampu memberikan pemain tamparan ketika mengendalikan pemain.

Toni Kroos ketika bersama Hynckes di Bayern dan juga Leverkusen pernah kembali menyertai latihan pasukan dengan berat badan yang berlebihan dan mengalami kesukaran bersama pengendali itu.

“Jika tidak silap, saya pernah terkena  2 kali ketika di bawah kendalian Jupp Hynckes, ” ujar Kroos.

Rumusan

Perwatakan yang dimiliki oleh Jupp Hynckes menjadikan beliau sebagai pengendali yang paling sesuai untuk memulihkan reputasi Bayern Munich pada masa ini.

Beliau adalah seorang yang tegas dan mempunyai perwatakan ‘winning mentality’ yang tinggi. Perhatikan sahaja keputusan perlawanan yang dikendalikan oleh beliau pada hujung minggu yang lalu.

Bayern Munich mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Freiburg dalam perlawanan pertama kendalian Hynckes sejak mengambil alih jawatan pengurus daripada Carlo Ancelotti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN