5 Perkara Kita Pelajari Daripada Kemenangan Separuh Akhir Europa League Man Utd

Friends Arena, Stockholm akan mulai mengira detik untuk mengalukan Ajax Amsterdam dan Manchester United untuk final UEFA Europa League (UEL) pada 24 Mei ini.

Ajax menafikan kebangkitan Lyon di Stade des Lumieres manakala Manchester United terpaksa berhempas pulas menafikan kesungguhan dan semangat melawan Celta Vigo.

Fokus penyokong The Red Devils dan pemerhati pasukan tersebut pastinya terarah ke Old Trafford awal pagi tadi.

Umum mengetahui betapa pentingnya kejohanan ini untuk Jose Mourinho dan barisan anak buahnya. UEL bukanlah sekadar trofi bagi mereka, tetapi merupakan satu-satunya laluan realistik untuk ke pentas UEFA Champions League pada musim hadapan.

Wartawan terkenal di UK, David McDonnell mengariskan 5 perkara utama buat skuad United daripada perlawanan awal pagi tadi.

1. Tiada Zlatan? Marcos Rashford-kan ada

Ketiadaan Zlatan Ibrahimovic adalah keuntungan bagi anak muda ini. Sepakan percuma cantik pada separuh akhir pertama di Vigo minggu lepas mengingatkan kita akan potensi yang beliau miliki.

Dalam perlawanan awal pagi tadi, Rashford tidak menjaringkan gol. Tetapi satu bantuan gol melalui satu hantaran lintang yang cantik berjaya disudahkan Marouane Fellaini pada minit ke-17.

Gol pendahulan tersebut sekaligus memberikan ketenangan kepada permainan United yang mendahului 2-0 secara agregat.

Rashford juga hampir menjaringkan gol dan anak muda ini menunjukkan permaianan menyerang yang mantap sepanjang permainan dengan kebolehan teknikal dan kepantasannya.

(Photo by Gareth Copley/Getty Images)

2. Fellaini buktikan dirinya masih diperlukan United

Tidak ada cara lain untuk merumuskan musim ini untuk Fellaini. ‘Turun-naik’ mungkin adalah frasa terbaik untuk mengungkapkan Fellaini bersama United.

Ada masanya, Fellaini seharusnya berbangga dengan prestasi beliau. Setiap arahan taktikal dipatuhi dan beliau menjadi “centre point” permainan United. Penyokong akan kagum dengan aksi beliau.

Ada masanya, Fellaini seperti ingin menyembunyikan dirinya. Kesilapan mudah hatta tidak seharusnya berlaku, memusnahkan taktikal yang dirancang pasukannya. Penyokong akan mencemuh beliau.

Tetapi tandukan Fellaini untuk gol pertama perlawanan pada awal pagi tadi adalah menakjubkan.

Beliau mengawal tandukan hasil hantaran Rashford ke penjuru yang hanya membolehkan penjaga gol lawan terpaku.

United masih perlukan Fellaini. Setuju?

(Photo by Gareth Copley/Getty Images)

3. Darmian gagal buktikan layak di United

Posisi awal Mateo Darmian ketika direkrut oleh Louis Van Gaal ialah sebagai bek kanan. Ideanya ialah kerana Antonio Valencia bukanlah bek kanan yang sejati.

Di bawah kendalian Mourinho, Valencia membuktikan dirinya adalah yang terbaik untuk posisi bek kanan Manchester United.

Ini menyebabkan Darmian ditolak ke sebelah kiri untuk mengisi posisi bek kiri yang sering diisi pemain berlainan, bersilih ganti sepanjang musim ini.

Di dalam tempoh 5 minit pertama perlawanan, Darmian dilepasi oleh larian lawan dari arah belakang beliau sebanyak 2 kali.

Pada satu ketika, kesilapan Darmian memaksa Sergio Romero menyelamatkan percubaan Iago Aspas yang mengambil kesempatan atas kesilapan Darmian.

Darmian sering bergelut sepanjang perlawanan. Ketiadaan pilihan lain akibat kecederaan menyebabkan Mourinho terpaksa bersandar kepada Darmian.

Adakah kita akan melihat kelibat Darmian lagi pada musim hadapan?

(Photo by Matthew Ashton – AMA/Getty Images)

4. Siasatan FIFA tidak ganggu fokus Paul Pogba

Semalam kami melaporkan FIFA sedang menyiasat perpindahan membabitkan Paul Pogba daripada Juventus ke Manchester United.

Perlawanan ini membuktikan bagaimana pemain tengah antarabangsa Perancis ini fokus dalam menjalankan tugasannya.

Pada awal musim, persembahan Pogba sering dikritik kerana nilai perpindahannya yang menjadi rekod dunia. Namun kehadiran Pogba di jentera tengah United adalah signifikan untuk beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Beliau seolah-olah telah mendapatkan kembali keyakinan diri yang menjadikan dirinya bintang di Juventus.

(Photo by Gareth Copley/Getty Images)

Awal pagi tadi Pogba menampilkan satu lagi persembahan meyakinan dan bebas mengeksploitasi ruang di bahagian tengah.

Pada satu masa, Pogba berjaya melepaskan diri dari kepungan tiga pemain Celta dengan satu gerakan pintar dan menarik.

Pogback yang sebenar telah kembali?

5. Romero sisihkan De Gea Di Final

Perkara ke-5 ini seharusnya menjadi tajuk utama di tabloid seluruh Manchester sehari menjelang aksi final di Stockholm nanti.

Satu perkara yang pasti, Jose Mourinho tidak perlu untuk sakit kepala memikirkan siapakah penjaga gawang utama untuk aksi di final nanti.

Sergio Romero menampilkan satu lagi aksi mengkagumkan dalam perlawanan ini. Ini bukan kali pertama. Romero tampil dalam permulaan ke-11 daripada 14 perlawanan United pada musim ini dalam saingan UEL.

UEL adalah pentas buat Romero membuktikan nilainya kepada Mourinho dan fanatik di Old Trafford. Ketangkasan Romero menyelamatkan beberapa percubaan termasuk daripada bekas bintang Liverpool, Iagao Aspas dan Pablo Hernandez, memastikan United melangkah ke final dengan mudah.

David De Gea ke Real Madrid? United masih ada Romero.

(Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images)

Kesimpulan

Manchester United telah melayakkan diri ke final UEL musim ini. Di tahap ini, sasaran Jose Mourinho pastinya jelas tertumpu ke final di Stockholm.

Ajax Amsterdam akan membawa saingan berbeza di aksi final. Satu perkara yang kita semua tahu ialah United punyai dua taruhan di Stockholm.

Trofi UEFA Europa League yang pertama untuk Manchester United dan pentas UEFA Champions League pada musim akan datang.

Menangi kedua-duanya atau kehilangan kedua-duanya, semuanya di tangan mereka sekarang.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN