Jepun tewas 3-2 di tangan Belgium dalam perlawanan peringkat 16 pasukan akhir. Namun beberapa perkara positif yang membuatkan kita kagum tentang aksi pasukan samurai biru ini.
1. Ketenangan
Ini adalah aspek yang seringkali menjadi masalah pasukan underdog terutama sekali dari Asia apabila berhadapan dengan pasukan gergasi seperti Belgium.
Jepun agak panik pada awal perlawanan namun mereka meningkatkan keyakinan mereka dan menjadi sangat tenang ketika ditekan pasukan lawan.
Beberapa kawalan bola menarik di zon sempit (close control) dan membuatkan kita berkata:
“Wah beraninya.”
2 gol mereka dicipta dengan permainan yang penuh ketenangan (composure) dalam kawalan bola.
2. Taktikal
Mereka jelas faham apa arahan taktikal jurulatih. Beberapa pattern serangan mereka kelihatan cuba mendedahkan (expose) kelemahan bek sayap Belgium dengan sistem pertukaran hantaran di antara 2 sayap.
Seterusnya mereka cuba mengelakkan pertarungan di tengah kerana Belgium sangat kuat di situ. Apa yang mereka lakukan, 2 pivot mereka segera memunggah (offload) keluar bola dari tengah dengan hantaran berkualiti.
3. Kreativiti dan visi permainan
Aspek ini sebenarnya sangat baik. Walaupun beberapa percubaan mereka tidak disempurnakan. Honda mendapat bola dalam keadaan visi permainan yang sangat tinggi.
Mereka cepat melihat ruang dan menghantar kepada rakan mereka untuk mencetuskan ancaman.
Sepanyol mungkin boleh merujuk kepada gaya permainan Jepun di dalam perlawanan ini, bagaimana cara melakukan killer passes ke zon yang sempit.
4. Kualiti teknikal
Di atas kami ulas tentang ketenangan ketika mengawal bola, di sini pula kami ingin menjelaskan betapa Jepun bermain dengan kualiti teknikal yang tinggi terutama sekali ketika dengan bola.
Mereka mengawal bola dengan baik sekali, dan tidak banyak kawalan mereka gagal. Seterusnya adalah kualiti ketika melakukan larian taktikal serta kualiti hantaran mereka.
5. Stamina
Aspek stamina dan tenaga yang ada pada pasukan Jepun memang mengagumkan. Dalam analisis perlawanan kami tentang Mexico vs Brazil, kami menggariskan bagaimana Mexico gagal mengekalkan intensiti untuk 90 minit.
Namun Jepun berjaya melakukannya dengan baik dalam perlawanan ini. Mereka kelihatan sangat cergas.
Rumusan
Ini adaah antara permainan yang mengagumkan ditunjukkan Jepun menentang pasukan pilihan Belgium. Malang sekali mereka sukar bersaing dengan fizikal pasukan Belgium.
Martinez memasukkan Fellaini dan mengarahkan lebih banyak hantaran lintang dilakukan dan ia menyukarkan Jepun terutama sekali dalam situasi bola mati.
Ini adalah aspek yang harus diberikan perhatian oleh Jepun selepas ini.
Apapun, banyak pasukan Malaysia dan juga di Asia boleh menjadikan perlawanan ini sebagai salah satu bahan kajian untuk mendapatkan input daripadanya.
Ini kerana Jepun mengajar kita cara berhadapan dengan pasukan gergasi. Aspek asas seperti teknikal bola sepak haruslah diperkemaskan dan juga jangan gentar untuk bermain di kawasan serangan dengan corak permainan yang dirancang.