Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tunduk 1-4 kepada Pohang Steelers dalam aksi AFC Champions League (ACL) 2021, malam tadi.
Misi untuk mengukuhkan kedudukan posisi kedua yang dimiliki selepas menang tipis 1-0 ke atas Ratchaburi Mitr Phol FC terkubur. Harimau Selatan terlebih dahulu telah membuka tirai jaringan di minit ke-17 menerusi pemain tengah, Leandro Velazquez.
10 minit kemudian, wakil K-League 1 itu menyamakan kedudukan menerusi Borys Tashchy sebelum Kang Sang-woo, Kwon Gi-pyo dan Lim Sang-hyub menambah derita buat JDT untuk tewas buat kali kedua dalam saingan Kumpulan G, selepas itu.
2021 AFC CHAMPIONS LEAGUE
Starting Line-up
POHANG STEELERS vs JOHOR DARUL TA'ZIM
Full list at https://t.co/OgidsPbOLM pic.twitter.com/eXWyWAwTRn
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) June 28, 2021
Tiga gol Pohang Steelers adalah menerusi sepakan penalti
Pengadil dari Australia, Shaun Evans tentu menjadi individu paling diberikan tumpuan apabila menghadiahkan tiga sepakan penalti buat Pohang Steelers dan ketiga-tiganya dengan mudah disempurnakan oleh pasukan ketiga terbaik K-League 1 musim lalu itu.
Penalti pertama diberikan setelah penjaring gol pembukaan, Leandro Velazquez telah dipersalahkan menjatuhkan Go Young-joon. Penyerang baharu mereka, Borys Tashchy mudah untuk menewaskan Farizal Marlias untuk mengikat semula kedudukan.
Bentesan Mauricio ke atas Mario Kvesic telah menghadiahkan Pohang Steelers penalti kedua dan ia disudahkan Kang Sang-woo selepas dua kali mencuba apabila Farizal Marlias dipersalahkan untuk keluar lebih awal ketika sepakan pertama diambil.
Pertahanan kanan, Matt Davies pula kemudian dipersalahkan mengasari Alex Grant di penghujung perlawanan untuk lawan meraih penalti buat kali ketiga dan pemain sayap, Lim Sang-hyub menambah derita buat Harimau Selatan untuk gol terakhir perlawanan.
Leandro Velazquez: Dialah hero, dialah punca pertama
Selepas gol pertamanya di ACL ketika membantu JDT menundukkan wakil Thailand, Ratchaburi FC tempohari, Leandro Velazquez sekali lagi menonjolkan kemampuannya apabila berjaya meledak jaringan untuk JDT mendahului aksi seawal minit ke-17.
Percubaan luar kotak penalti yang dilepaskannya telah membias pertahanan Pohang Steelers, Gwon Wan-gyu untuk memperdaya Kang Hyeon-mu di gawang gol.
Leandro Velazquez menjadi pemain terbaik JDT malam tadi walaupun menghadiahkan lawan penalti yang pertama apabila merekodkan rating 7.4 diikuti penyerang, Bergson da Silva yang merekodkan rating 7.0, walaupun masih buntu meledak sebarang gol.
Beliau telah merekodkan empat percubaan dengan dua daripadanya adalah percubaan tepat, berbanding Bergson yang membuat tiga percubaan dengan hanya satu percubaan tepat yang telah dilepaskannya di dalam kotak penalti di minit ke-49.
Bergson masih kemarau jaringan di Champions League
Reputasi penyerang yang digeruni dalam saingan Liga Super gagal diteruskan dalam pusingan pertama ACL 2021. Selepas tiga perlawanan, beliau masih belum berjaya meledak jaringan gol walaupun telah mencubanya menerusi sepakan penalti.
Bilakah sumpahan ini bakal berakhir, tidaklah dapat dipastikan. Mungkin JDT perlu mencuba sesuatu yang baharu di jentera serangan mereka selepas hanya berjaya meledak dua jaringan dalam tiga aksi pertama ini. Perubahan formasi barangkali?
Pengendali, Benjamin Mora perlu mengorbankan salah seorang pemain tengah untuk merubah formasi dan mungkin mencuba gandingannya bersama Guilherme de Paula?
10 minit terakhir, de Paula dimasukkan untuk Naxto Insa dan dalam tiga sentuhan yang dilakukannya, beliau berjaya membuat satu key passes dan satu percubaan.
Jentera tengah JDT tenggelam terus?
Mora telah mempertaruhkan formasi 4-3-2-1 dengan tiga pemain berpusat di tengah padang. Pemain-pemain seperti Natxo Insa, Afiq Fazail, Safiq Rahim selain dua pemain gantian, Nazmi Faiz dan Syamer Kutty Abba menjadi pemain yang dipertaruhkannya.
Berbeza dengan dua aksi sebelum ini, Mora menggunakan Leandro Velazquez untuk bergerak di sebelah sayap kanan, menggantikan tempat Safawi Rasid, yang masih gagal dan bergelut mendapatkan aksi terbaiknya sebagaimana musim terdahulu.
Mengapa jentera tengah dikatakan tenggelam terus selepas Leandro Velazquez bergerak di sebelah kanan dan memberikan posisi itu kepada Afiq Fazail?
Ketiga-tiga pemain tidak menjelmakan key passes dan hantaran jauh tepat sepanjang perlawanan! Berbeza dengan ketika berdepan Ratchaburi (enam key passes, tujuh hantaran tepat) dan Nogoya Grampus (tiga key passes, dua hantaran tepat).
Hantaran Cantik Nazmi Faiz di Liga Juara-Juara AFC https://t.co/ruuVv81zFM
— MakanBola (@makanbolaplus) June 22, 2021
Hilang sentuhan kreativiti?
Dalam dua aksi sebelum itu, ada pergerakan pemain tengah JDT lebih ke kawasan lawan, namun untuk aksi berdepan Pohang Steelers ini, jelas ketiga-tiga pemain di tengah gagal berfungsi. JDT mencipta hantaran terbanyak dalam ketiga-tiga aksi.
Harimau Selatan juga merekodkan hantaran dekat dan tepat yang tinggi berbanding lawan dalam ketiga-tiga aksi. Cuma mereka kekurangan dari aspek hantaran jauh tepat. Adakah mereka dahagakan hantaran jauh dan sentuhan kreatif di tengah?
Nazmi Faiz antara pemain yang diketahui memiliki hantaran tepat dekat mahupun jauh dalam skuad JDT ketika ini dan beliau hanya beraksi 11 minit daripada 270 minit.
Bersama Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Nazmi Faiz beraksi dalam dua perlawanan (135 minit) dan merekodkan dua key passes dan enam hantaran tepat daripada 10 hantarannya. Lebih banyak daripada tiga pemain semalam!
Penutup
Mungkin isu terbesar JDT ketika ini adalah kreativiti dan keupayaan jentera tengah beroperasi untuk menghasilkan gerakan untuk jaringan terhasil. Dalam kekalahan kepada Pohang Steelers jelas, itulah isu yang menjadi tumpuan utama.
JDT masih berpeluang untuk mara ke pusingan seterusnya dengan saingan masih berbaki tiga perlawanan. Ketika ini mereka berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan tiga mata, tiga mata di belakang Pohang Steelers di kedudukan kedua.
Baca lagi artikel lain mengenai JDT dan bola sepak antarabangsa:
Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode