5 Perkara Daripada Kemenangan Real Madrid Ke Atas Barcelona

Real Madrid telah mencipta kemenangan dalam el clasico berhadapan dengan Barcelona di Santiago Bernabeu.

Kemenangan ini telah mengembalikan semula Real Madrid ke puncak liga dan memintas Barcelona dengan perbezaan 1 mata.

Ini adalah 5 perkara yang kami gariskan daripada perlawanan ini.

1. Real Madrid bangkit daripada prestasi hambar

Real Madrid tewas 3 perlawanan daripada 5 perlawanan dalam semua kompetisi. Ini termasuk kekalahan di tangan Real Sociedad dan Manchester City, masing-masing dalam aksi Copa Del Rey dan Liga Juara Juara Eropah.

Ini diikuti kekalahan 0-1 di tangan Levante dalam La Liga yang membuatkan mereka dipintas Barcelona pada sebelum ini.

Amat penting untuk mereka menang el clasico ini bagi membolehkan mereka berada di puncak liga sekali lagi.

Kemenangan ini juga yang pertama oleh Real Madrid ke atas Barcelona selepasg gagal menang dalam 7 perlawanan el clasico.

Barca sudah menang dalam 4 kunjungan terakhir mereka ke Santiago Bernabeu sebelum ini. Tetapi kini, rentetan itu sudah berakhir.

2. Percaturan Zidane berjaya

Zinedine Zidane membuat beberapa perubahan di dalam perlawanan ini. Beliau menurunkan Marcelo untuk menggantikan Ferland Mendy.

Isco dan Vinicius Jr pula diturunkan di dalam kesebelasan utama selepas dua pemain ini menunjukkan jiwa mereka ketika berhadapan City walaupun kalah.

Marcelo berjaya bermain dan bertahan dengan baikndalam perlawanan ini. Antaranya adalah, bentesan yang mematikan gerakan Lionel Messi.

Selain itu, pemain gantian Zidane iaitu Mariano, juga masuk dan menjaringkan gol.

3. Quique Setien kecewa pada el clasico sulung

Ini merupakan el clasico pertama Quique Setien. Dan ianya berakhir dengan kekalahan.

Selepas tamat perlawanan, beliau menyatakan bahawa beliau tidak menikmati perlawanan el clasico ini seperti yang beliau harapkan, terutama sekali pada separuh masa kedua.

Pada separuh masa kedua, Real Madrid memberikan tekanan lebih kuat buat Barcelona yang sangat menyukarkan mereka.

Barcelona cuba bermain seperti kehendak Setien iaitu gerakan pantas dan hantaran rendah yang banyak, namun ianya tidak efektif.

Setien kelihatan tiada plan B dalam perlawanan ini.

4. Barcelona perlu perbaiki serangan

Barcelona jelas sekali berhadapan dengan krisis prestasi di serangan. Ketiadaan Luis Suarez sangat dirasai.

Antoine Griezmann sepatutnya tiada masalah untuk menggantikan Luis Suarez. Namun beliau jelas sekali ada isu dengan keyakinan diri.

Barcelona menjadikan Griezmann sebagai fokal dalam perlawanan ini, namun sayang sekali pemain itu tidak memberikan impak lebih baik.

Barca menagih magis Martin Braithwaite sekali lagi pada separuh masa kedua. Pemain Denmark itu hampir menjaringkan gol dalam el clasico sulung beliau, tetapi Courtois menafikannya.

5. Persaingan La Liga

Persaingan kejuaraan La Liga kini sangat terbuka. Kedua dua pasukan pada masa yang sama menunjukkan kerapuhan mereka dalam beberapa perlawanan terakhir ini.

Barcelona dan Real Madrid perlu memperbaiki aspek konsistensi mereka.

Barcelona pasti ada tekanan tambahan selepas mereka berbelanja besar mendapatkan pemain seperti Griezmann sebelum ini.

Leave a Reply