Pasukan Johor Darul Ta’zim terpaksa berputih mata setelah tewas kepada kelab Jepun , Nagoya Grampus 0-1 di stadium Rajamangala , Bangkok pada hari semalam.
Berikut adalah lima perkara utama yang boleh kita pelajari dari perlawanan tersebut.
Arif Aiman mengujakan
Anak muda berusia 19 tahun ini terus menarik perhatian ramai dengan prestasi luar biasa sejak melakukan debut bersama skuad utama JDT pada musim lalu.
Arif Aiman mencipta sejarah tampil sebagai pemain termuda yang pernah melakukan penampilan untuk skuad Harimau Selatan itu pada usia 17 tahun.
Sejak daripada itu, Arif tidak menoleh ke belakang lagi. Menjadi sandaran utama – bersaing dengan Safawi Rasid – untuk berada di dalam kesebelasan utama JDT di saingan Liga Super, prestasi cemerlang pemain ini turut mendapat perhatian Tan Cheng Hoe untuk menyertai skuad kebangsaan.
Berhadapan gergasi Jepun seperti Nagoya Grampus, Arif terus menampilkan kematangan dan keyakinan di dalam permainannya. Siapa tahu, AFC Champions League ini bakal menjadi pentas buat Arif mencuri perhatian pemantau bakat dari luar negara.
Gandingan Natxo dan Afiq
JDT sememangnya sebuah pasukan yang memiliki squad depth yang berkualiti. Bahagian tengah skuad Harimau Selatan itu misalnya memiliki pemain seperti Liridon Krasniqi, Syamer Kutty, Natxo Insa dan Afiq.
Gandingan Natxo dan Afiq jelas sekali adalah gandingan pilihan pertama di dalam kesebelasan utama Harimau Selatan. Konsistensi dan kecemerlangan kedua-dua pemain ini adalah antara faktor mengapa Liridon dibenarkan oleh JDT untuk dipinjamkan kepada kelab lain – untuk mendapatkan minit perlawanan sebelum ini.
Tan Cheng Hoe mungkin mempunyai sebab beliau tersendiri memanggil pemain seperti Liridon dan Syamer sebelum ini. Namun jika prestasi bersama JDT diambil kira, Natxo dan Afiq sepatutnya pilihan automatik berada di dalam skuad Harimau Malaya tempoh hari.
Mengapa pilih pilihan kedua jika ada pilihan pertama yang lebih baik?
JDT buat pilihan tepat bawa Shane Lowry
Tiada Gonzalo Cabrera di dalam skuad JDT untuk ACL 2021. Pemain kelahiran Argentina yang memiliki passport Iraq itu adalah antara pemain paling konsisten JDT selama ini.
Namun untuk kempen musim ini, Benjamin Mora melupakan khidmat pemain sayap itu atas sebab-sebab tertentu yang berkaitan dengan teknikal pasukan.
Berkongsi mengenai pemilihannya baru-baru ini, Mora berkata Gonzalo Cabrera terpaksa diketepikan kerana hanya empat pemain luar negara dibenarkan dan kami ingin memantapkan bahagian pertahanan.
Ini menyaksikan pertahanan baharu JDT, Shane Lowry akan menggantikan slotnya untuk mengukuhkan benteng dalam berdepan cabaran hebat pasukan lawan. Mungkin telah belajar daripada edisi yang lalu, JDT memberi fokus kekuatan di benteng.
Mengambil kira prestasi Shane Lowry, Mora nyata mengambil keputusan yang tepat.
Gol kontroversi Nagoya, mana VAR?
Nagoya berjaya menang tipis, 1-0 dalam perlawanan ini hasil jaringan kontroversi Hiroyuki Abe pada minit ke-60 perlawanan. Sebelum gol tersebut, JDT boleh dikatakan amat berdisiplin mengekalkan bentuk pasukan dalam permainan – khususnya ketika bertahan.
Maka tidak hairanlah mengapa pemain-pemain amat kecewa ketika dibolosi. Sedikit kekeliruan juga berlaku di dalam padang apabila ada dakwaan gol itu tidak sah kerana ada pemain Nagoya berada di posisi offsaid.
Gol tunggal Nagoya Grampus pic.twitter.com/y9MEgtGUut
— Pemain Ke-12 (@pemain_ke_12) June 22, 2021
Ulang tayang perlawanan menunjukkan gol itu sah walaupun penjaga gol, Farizal Marlias mungkin cuba meyakinkan pembantu pengadil gol itu tidak sah – termasuk melakukan semakan VAR.
Malang sekali teknologi VAR tidak digunakan di saingan peringkat kumpulan. Teknologi tersebut hanya akan digunakan mulai peringkat suku akhir.
Jaringan Bergson sepatutnya dibenarkan
Selepas gol kontroversi Nagoya, JDT tidak hanya berdiam diri dan tetap berusaha mendapatkan sesuatu dari perlawanan sulung Kumpulan G itu.
Usaha mereka hampir berhasil apabila Bergson Da Silva berjaya menewaskan penjaga gol Nagoya, Mitchell Langerak pada babak akhir permainan.
Malang sekali gol tersebut dibatalkan oleh pengadil selepas Bergson terlebih dahulu dipersalahkan menjatuhkan Yasuki Kimoto. Ia bukan mudah untuk menembusi bahagian pertahanan Nagoya yang sememangnya terkenal dengan disiplin pertahanan di J League.
Musim lalu penjaga gol, Mitch Langerak yang pernah beraksi bersama Borussia Dortmund mengumpul clean sheet tertinggi (17) di dalam tempoh semusim.
Rumusan
Masih ada lima perlawanan lagi untuk diharungi oleh JDT di Bangkok. Jika prestasi sama ditampilkan dalam baki lima perlawanan nanti, maka tidak mustahil JDT mampu mencipta kejutan, termasuk untuk mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama.
Ayuh JDT. Luaskan kuasa mu!
Baca artikel menarik lain daripada kami melalui pautan:
Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode
Nagoya Pasukan Miliki Organisasi Mantap, Tetapi JDT Kelab Kecil Dengan Impian Besar