Quantcast

KAJIAN & FAKTA

5 Perkara Dari Debut Pertama JDT Di AFC Champions League Untuk Direnungi

Kashima Antlers 2-1 JDT. Wakil tunggal negara tewas tipis kepada juara bertahan di perlawanan peringkat Kumpulan E, AFC Champions League sebentar tadi.

Berikut adalah lima perkara yang kami gariskan dari debut pertama JDT selaku pasukan pertama dari Malaysia yang beraksi di saingan AFC Champions League.

Superman Farizal

Farizal Marlias adalah pemain terbaik JDT dalam perlawanan ini. Bermula dengan agak kelam kabut termasuk menjatuhkan pemain di dalam kawasan penalti yang mujur tidak dihukum pengadil, Farizal tampil dengan sekurang-kurangnya enam  percubaan tepat yang datang ke arahnya.


Detik paling diingati semestinya kejayaan menyelamatkan sepakan penalti Serginho dan juga ‘double save’ di awal babak kedua. Tidak ada apa yang boleh dilakukan terhadap dua gol yang dijaringkan oleh Kashima dalam perlawanan ini.

Pendedahan berguna

Apabila melihat senarai pemain yang turun beraksi seperti Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Adam Nor Azlin, Safawi Rasid, Nazmi Faiz dan juga Akhyar, maka kita boleh simpulkan ini adalah pendedahan yang amat berguna untuk barisan pemain yang bakal mewarnai skuad negara secara konsisten di masa hadapan.

FOTO: JST

Tidak semua pemain mampu menikmati detik beraksi di tahap tertinggi seperti Asian Champions League. Tindakan berani JDT menurunkan ramai pemain muda di dalam perlawanan ini wajar dipuji.

Realiti tahap bola sepak negara

Dengan atau tanpa pemain import, JDT adalah pasukan terbaik negara yang beraksi di pertandingan ini. Kashima Antlers pula adalah juara bertahan dan merupakan pasukan terbaik dari Asia ketika ini.


Aksi separuh masa pertama menyaksikan JDT cuba bersaing dengan sekali sekala cuba melakukan ancaman. Separuh masa kedua, terutama pada awal babak adalah semakan realiti yag perlu diterima mengenai jurang yang ada. Fokus, kebolehan teknikal dan taktikal bola sepak kita masih ketinggalan walaupun kita berada di landasan tepat untuk bangkit di masa hadapan.

Diogo ‘The Poacher’

Ini bukan kali pertama Diogo Luis Santo menjaringkan gol dari jarak dekat untuk JDT. Beberapa jaringan di saingan unifi Liga Super turut dijaringkan dari dalam kotak penalti, persis jaringan menentang Kashima ini. Ini membuktikan Diogo adalah seorang penyerang jenis poacher yang amat berbahaya jika mendapat peluang di dalam kotak penalti.

Di dalam perlawanan ini, Diogo terpaksa beraksi lebih banyak di luar kawasan penalti untuk membantu rakan sepasukan. Hakikatnya beliau merupakan ancaman utama untuk lawan ketika berada di dalam kotak penalti. Mungkin ini adalah aspek taktikal yang perlu dilihat pada masa hadapan.

JDT jadi penanda aras

Melihat aksi pertama JDT di aksi AFC Champions League, ia seharusnya menjadi penanda aras kualiti yang perlu dicapai oleh pasukan dan kelab lain di dalam negara. Ini tidak bermakna pasukan lain perlu mengikuti model yang diamalkan oleh JDT di dalam kancah saingan bola sepak negara.


Kelab-kelab utama di dunia pun tidak mempunyai falsafah bola sepak yang sama untuk mencapai kejayaan. Paling penting, penekanan diberikan kepada struktur bola sepak dengan falsafah bola sepak tersendiri untuk turut mencipta kejayaan. Siapa tahu. Satu hari nanti, akan lebih banyak wakil dari Malaysia diberikan slot untuk beraksi di tahap tertinggi Asia.

Rumusan

Secara keseluruhan ia adalah persembahan terpuji daripada JDT dalam perlawanan ini. Masih ada lima lagi perlawanan yang perlu ditempuhi di peringkat Kumpulan E AFC Champions League.

Tidak ada siapa mengatakan ianya mudah. Sekurang-kurangnya JDT membuktikan mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi Asia.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!