Analisis: 5 Perubahan Taktikal Sampaoli Demi ‘Survivor’ Argentina

Iceland mengikat Argentina 1-1 dalam perlawanan pertama membabitkan kedua-dua pasukan dalam saingan Kumpulan D Piala Dunia 2018.

Keputusan tersebut pantas dianggap oleh legenda Argentina, Diego Maradona sebagai memalukan, sambil taktikal Jorge Sampaoli dalam perlawanan tersebut turut dikritik.

Apakah perubahan yang perlu dilakukan oleh Sampaoli? Kami gariskan 5 perubahan taktikal yang mungkin akan dilakukan oleh bekas pengendali Chile itu untuk perlawanan pada awal pagi nanti.

1. Gandingan pemain tengah

Di dalam sistem 4-2-3-1, Sampaoli memilih gandingan Javier Mascherano dan Lucas Biglia untuk membentuk gandingan pemain tengah pertahanan.

Ia pilihan yang agak mengejutkan mengambil kira kali terakhir kedua-dua pemain digandingkan, Argentina dibelasah 6-1 oleh Sepanyol.

(Photo by Gabriel Rossi/Getty Images)

Ketika berhadapan dengan La Roja, Mascherano kelihatan bergelut untuk bersaing dengan barisan tengah Sepanyol sebelum dikeluarkan pada minit ke-56. Dalam perlawanan menentang Iceland, Biglia digantikan dengan Ever Banega pada minit ke-54 perlawanan.

Perubahan tersebut pantas mengubah dinamik pasukan Argentina. Ini kerana Banega lebih produktif dalam mobiliti berlari di antara ruang, sebelum mencipta lebih banyak ruang dengan hantaran bola untuk mencari Lionel Messi.

Selepas sekadar diikat oleh Iceland dalam perlawanan lalu, Sampaoli dijangka akan memilih corak permainan yang lebih agresif dalam serangan.

Perbezaan heat map Biglia dan Benega menentang Iceland. Benega lebih aktif di garisan atas serangan. Sumber: SofaScore.

Sampaoli boleh menurunkan Benega di dalam kesebelasan utama sebagai pilihan. Atau memilih pilihan lain dengan Giovani Lo Celso turut berada di dalam senarai pemain, dan juga Enzo Perez yang dipanggil saat akhir selepas kecederaan yang menimpa Manuel Lanzini.

Selain daripada itu, Sampaoli turut boleh mengubah posisi Maximiliano Meza ke posisi tengah tersebut sebagai pilihan lain. Pemain tengah Independiente ini menghasilkan 5 hantaran kunci (key passes) ketika berhadapan Iceland.

Photo by Stefan Matzke – sampics/Corbis via Getty Images)

Jelas sekali Sampaoli mempunyai banyak pilihan di posisi tengah untuk merancakkan serangan dari garisan rendah (deep area). Perubahan ini penting untuk mengurangkan beban tugas Messi yang terpaksa turun ke garisan rendah untuk mendapatkan bola seperti mana dalam perlawanan menentang Iceland.

Ia adalah satu langkah mengejutkan jika Sampaoli berkeras mahu kekal dengan gandingan ultra-konservatif Biglia-Mascherano dalam perlawanan malam ini.

2. Peluang Pavon untuk menyinar

Meza bukan satu-satunya pemain yang berpengkalan di Argentina yang menyerlah ketika menentang Iceland. Seorang lagi pemain yang turut mencuri tumpuan kami ialah Cristian Pavon.

Pemain sayap Boca Juniors berusia 22 tahun ini berjaya menunjukkan kualiti yang dimilikinya selepas dibawa masuk menggantikan Angel Di Maria.

Karier antarabangsanya bermula dengan cemerlang apabila menghasilkan bantuan gol untuk Sergio Aguero ketika kemenangan 1-0 ke atas Rusia dalam perlawanan persahabatan yang lalu.

(Photo credit should read EITAN ABRAMOVICH/AFP/Getty Images)

Pavon membuktikan dirinya layak berada di dalam skuad ke Rusia apabila sekali lagi menjadi arkitek jaringan Aguero ketika tewas 4-2 kepada Nigeria, pada penampilan kedua antarabangsanya.

Di Maria adalah pemain utama Argentina pilihan Sampaoli. Namun penyerang sayap Paris Saint-Germain itu tidak berada pada tahap terbaik.

Dalam perlawanan menentang Iceland, Di Maria gagal menghasilkan sebarang gelecekan yang berjaya, yang memberi indikasi tahap keyakinan rendah bekas pemain Real Madrid itu.

Pavon dilihat sebagai pengganti paling sesuai tatkala Argentina memerlukan lebih kualiti dan kepantasan di bahagian sayap.

3. Bahagian pertahanan

Ketika berhadapan Iceland, Sampaoli memilih Eduardo Salvio di posisi bek kanan. Pemain pertahanan berusia 27 tahun ini sebenarnya adalah seorang bek sayap ketika beraksi di peringkat kelab bersama Benfica.

Dari segi profail, Salvio adalah pilihan yang lebih sesuai jika Argentina memilih corak permainan menyerang. Namun lawan mereka Croatia, bukan Iceland.

(Photo credit should read YURI CORTEZ/AFP/Getty Images)

Untuk Croatia, Gabriel Mercado adalah pilihan yang lebih selamat untuk Sampaoli. Bek kanan Sevilla ini mempunyai mentaliti bertahan yang lebih utuh jika dibandingkan dengan Salvio.

Mengambil kira disiplin posisi (positional) dan kebolehan mengawal satu-lawan-satu (man-marking) untuk berhadapan dengan pemain yang memiliki kebolehan teknikal dan taktikal seperti Ivan Perisic, Mercado adalah profail pemain yang lebih sesuai untuk perlawanan berikutnya.

Sampaoli turut perlu membuat pertimbangan untuk menggantikan Marcos Rojo dengan Federico Fazio di bahagian pertahanan tengah.

(Photo by Ian MacNicol/Getty Images)

Ketika berhadapan dengan Alfred Finnbogasaon, Rojo tewas separuh daripada 6 keseluruhan perebutan bola tinggi dengan penyerang Iceland itu.

Pada ketinggian 6ft 5in, Fazio adalah pemain pertahanan terbaik Serie A untuk perebutan bola tinggi, dengan ratio 4.65 kali untuk setiap 90 minit perlawanan.

Untuk mengekang kemaraan Mario Mandzukic, Fazio mungkin adalah pilihan yang lebih baik berbanding Rojo.

4. Dybala sebagai pilihan tambahan

Paulo Dybala disifatkan sebagai mangsa di dalam skuad Argentina di Rusia ini. Tanggapan tersebut adalah sedemikian mengambil kira jumlah pemain menyerang di dalam skuad Argentina ini.

Faktor taktikal juga adalah salah satu sebab. Seperti Messi, Dybala adalah pemain dengan acuan yang sama. Sukar sekali untuk kita melihat kedua-duanya diturunkan bersama, walaupun sebelum ini ada yang menyatakan Argentina mungkin akan beraksi dengan dua pemain berprofil No.10.

Dybala pasti akan menjadi tunjang utama Argentina satu hari nanti, namun bukan ketika era Messi.

Sumber: OPTA oleh FW.

Bagaimanapun Sampaoli masih boleh memilih untuk menurunkan bintang Juventus ini dalam perlawanan menentang Croatia.

Walaupun memiliki peranan dan profil yang sama degan Messi, karakter permainan Dybala adalah berbeza. Berbanding Messi, Dybala lebih cenderung untuk menggelecek dan menghantar hantaran lintang berbanding bintang Barcelona tersebut.

Ia mungkin senjata akhir yang sangat diperlukan oleh Argentina tatkala hanya kemenangan yang akan memastikan laluan Argentina.

5. Perubahan sistem dan formasi

Selepas perlawanan menentang Iceland, Sampaoli pasti mahu melakukan perubahan untuk berhadapan Iceland.

Perubahan dari segi kesebelasan utama semakin pasti, dan ia pasti turut mengubah sistem dan formasi Argentina secara keseluruhan.

Ketika bersama Chile dan Sevilla, Sampaoli biasanya memperagakan formasi 3-3-3-1. Malah ketika persiapan ke Piala Dunia berhadapan Rusia dan Nigeria, formasi sama turut digunapakai.

(Photo credit should read PEDRO UGARTE/AFP/Getty Images)

Formasi ini membenarkan Messi untuk mengambil peranan sebagai pemain bebas (free role).

Manakala Nicolas Otamendi, Mercado dan Nicolás Tagliafico akan membentuk sistem bek bertiga di bahagian pertahanan sambil Salvio dikekalkan sebagai bek sayap di sebelah kanan.

Penutup

Selepas sekadar seri menentang Iceland, Argentina akan beraksi di dalam perlawanan menentang Croatia di dalam tekanan.

Perkara utama yang perlu dielakkan oleh Sampaoli dan Argentina ialah untuk memastikan diri mereka bukan pasukan dari Amerika Selatan pertama yang bakal meninggalkan Rusia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN