5 Penyerang Yang Gagal Memberikan Sumbangan Besar Buat Chelsea

Chelsea merupakan salah satu pasukan yang gemar berbelanja besar bagi mendapatkan pemain ternama dunia selepas kelab tersebut mendapat sokongan dana daripada jutawan Russia, Roman Abramovich pada tahun 2003.

Keadaan itu membuatkan The Blues tidak bermasalah bagi mengeluarkan dana untuk mendapatkan pemain terbaik dan tidak terkecuali juga mendapatkan pemain penyerang demi memantapkan pasukan.

Di sebalik pelaburan yang dilakukan untuk mendapatkan penyerang yang berkualiti, Chelsea juga tidak terkecuali daripada merekrut penyerang yang dilihat sebagai kurang memberikan sumbangan yang diharapkan oleh Abramovich dan pengurus-pengurus Chelsea sebelum ini.

Antara 5 penyerang Chelsea yang gagal memberikan sumbangan berkesan buat kelab adalah :

1) Hernan Crespo

 

Pemain Argentina ini dibawa masuk ke Chelsea sebulan selepas Abramovich mengambil alih kelab tersebut dengan nilai perpindahan £16.8 juta daripada Inter Milan.

Reputasinya selaku penggempur berbisa di Serie A tidak memberikan kelebihan buat beliau di Liga Perdana Inggeris apabila terpaksa bersaing bersama penyerang utama, Jimmy Flyod Hasselbaink, Adrian Mutu dan Eidur Gudjohnsen untuk merebut tempat di kesebelasan utama.

Crespo berjaya menghasilkan jaringan sulungnya bersama Chelsea dalam saingan liga ketika menang 5-0 bertemu Wolverhampton Wanderers pada 20 September 2003 dan turut menghasilkan dua jaringan pada perlawanan tersebut. Beliau beraksi dalam 19 perlawanan liga pada musim pertamanya di Chelsea dan berjaya menjaringkan 10 gol.

Setahun kemudiannya, Jose Mourinho yang baru membimbing pasukan membawa masuk dua lagi penyerang iaitu Didier Drogba dan Mateja Kezman. Keadaan itu memaksa Mourinho meminjamkan Crespo ke AC Milan.

Musim 2005/06, Crespo kembali bersama Chelsea dan beraksi dalam 30 perlawanan liga serta berjaya menyumbangkan 10 gol.

Selepas berjaya membantu Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali kedua, Crespo sekali lagi dipinjamkan ke Itali dan kali ini beliau ke kelab lamanya iaitu Inter Milan. Selepas dipinjamkan selama dua musim, beliau berpindah semula ke Inter Milan.

25 jaringan daripada 72 penampilan sepanjang bersama Chelsea bukanlah pencapaian yang begitu baik buat seorang penyerang yang mempunyai nama besar di Eropah.

2) Mateja Kezman

 

Kezman dibawa oleh Mourinho dari PSV Eindhoven dengan nilai £5.3 juta. Pemain antarabangsa Serbia ini mempunyai karier yang gemilang ketika di Belanda apabila berjaya menjaringkan 129 jaringan ketika empat tahun bersama PSV.

Namun ketajaman tersebut gagal diulanginya ketika beraksi di England apabila sekadar menjaringkan 4 gol daripada 25 perlawanan liga beliau ketika bersama Chelsea.

Hanya semusim beliau mampu bertahan di London kemudiannya berpindah ke Atletico Madrid. Beliau kini menjadi ejen kepada beberapa pemain bola sepak di Eropah.

3) Adrian Mutu

 

Penyerang Romania yang hadir bersama-sama Crespo pada tahun 2003 ini bernilai £15.8 juta.

Beliau mempamerkan permulaan yang meyakinkan apabila berjaya meledakkan empat gol dalam 3 penampilan terawalnya bersama kelab.

Namun beliau semakin dibuai dengan kehidupan malam hari di London apabila telah didapati positif penggunaan kokain pada tahun 2004 yang mengakibatkan beliau didenda hampir £ 20,000 dan digantung 7 bulan.

Sepanjang bersama Chelsea, Mutu hanya menjaringkan 6 gol dalam 25 penampilannya.

4) Andrei Shevchenko

Chelsea

 

Perpindahan mengejutkan dari legenda Ukraine ini yang merupakan tonggak utama AC Milan ketika itu.

Penjualan pemain bernilai £30.8 juta ini ternyata pada masa yang sesuai buat AC Milan kerana Shevchenko seperti berada di prestasi yang semakin merudum selepas mencapai kegemilangan di Milan.

Beliau juga kelihatan begitu bergelut untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris.

Shevchenko hanya mampu menghasilkan 22 gol dalam 77 penampilan dalam semua pertandingan bersama Chelsea dan kemudiannya dipinjamkan semula ke Milan selepas tiga tahun di Stamford Bridge.

Kini beliau merupakan ahli politik di tanah airnya.

5) Fernando Torres

 

Torres juga berjaya mengejutkan bola sepak dunia apabila perpindahannya dari Liverpool ke Chelsea berjaya direalisasikan apabila mencapai kata sepakat pada 31 Januari 2011 dengan nilai perpindahan £50 juta yang menjadikannya pemain termahal di Liga Perdana Inggeris ketika itu.

Nilai yang dibayar untuk mendapatkan khidmat pemain Sepanyol ini seperti tidak mencapai tahap yang diharapkan.

Tidak banyak yang dapat disumbangkan oleh beliau melainkan kejayaan menjaringkan gol di Nou Camp yang berjaya memusnahkan harapan Barcelona di separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah dan jaringan pendahuluan ketika Chelsea menjuarai Liga Europa 2013 di Amsterdam.

Torres hanya menjaringkan 20 gol daripada 110 penampilannya bersama Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN