5 Penjaga Gol Terhebat Dalam Sejarah Manchester United

Pada penghujung minggu lalu, David de Gea merekodkan 100 perlawanan tanpa dibolosi sejak menyertai Manchester United. Tetapi David de Gea bukanlah penjaga gol dengan rekod terhebat di Old Trafford.

Artikel kali ini menyenaraikan 5 penjaga gol terhebat yang pernah dimiliki oleh Manchester United sepanjang zaman.

Siapakah mereka?

David de Gea (2011- sehingga kini) – 100 clean sheet

Peter Schmeichel adalah idola kepada penjaga gol antarabangsa Sepanyol ini. Ketika di peringkat pembangunan, bakat dan kebolehannya disamakan dengan Edwin van der Sar. Ini menyebabkan beliau digelar Van der Gea.

Dikaitkan dengan 2 bekas penjaga gol legenda Manchester United, maka tidak hairanlah David de Gea memilih untuk ke Old Trafford pada musim panas 2011 dengan rekod perpindahan tertinggi untuk penjaga gol di British pada waktu itu, £18.9 juta.

Musim pertama di Old Trafford, prestasinya agak rapuh. Fizikalnya dikritik dan dikatakan tidak sesuai dengan saingan EPL yang lebih agresif.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

Penjaga gol muda ini jelas berjaya mendiamkan pengkritiknya. 4 kali tersenarai sebagai salah seorang pemain Premier League PFA Team of the Year sejak 2012 sehingga musim lalu, 3 kali penerima anugerah Sir Matt Busby Player of the Year cukup membuktikan kepentingan David de Gea di hadapan gawang Manchester United.

Pemain ini hampir menyertai Real Madrid pada musim panas 2015. Namun perpindahan tersebut terbatal selepas kegagalan teknikal berkaitan pendaftaran pada hari terakhir jendela perpindahan. David de Gea memperbaharui kontraknya bersama Manchester United selepas itu.

Pada penghujung minggu lalu, David de Gea merekodkan 100 perlawanan tanpa dibolosi selepas tampil dalam 275 perlawanan untuk Manchester United di semua pertandingan.

Tidak dapat dinafikan bahawa David de Gea adalah antara penjaga gol terbaik dunia yang ada pada hari ini di samping penjaga gol hebat yang lain seperti Manuel Neuer, Gianluigi Buffon mahu pun Marc-Andre ter Stegen.

(Photo credit should read OLI SCARFF/AFP/Getty Images)

Memasuki musim ke-7 bersama Manchester United, David de Gea telah memenangi hampir kesemua pertandingan bersama United kecuali Champions League.

Beliau pasti akan bergelar legenda jika terus kekal bersama United.

Namun siapakah kita untuk meramal apa yang akan berlaku pada masa depan.

Edwin van der Sar (2005-2011) – 135 clean sheet

Edwin van der Sar adalah antara penjaga gol ikonik dunia bola sepak pernah saksikan. Kehadiran beliau di hadapan gawang bukan sekadar sebagai penjaga gawang. Lebih daripada itu, sifat kepimpinannya adalah aset untuk mana-mana pasukan yang diwakilinya.

Mempunyai ketinggian 1.97m, Van der Sar melalui karier 26 tahun, menyaksikannya memenangi 2 gelaran Champions League- salah satunya bersama Man Utd, 4 kejuaraan Eredivisie ketika bersama Ajax, 4 kejuaraan EPL, Piala UEFA dan juga kejuaraan UEFA Super Cup.

(Photo by Matthew Fearn – PA Images/PA Images via Getty Images)

Tiba di Old Trafford daripada Fulham pada musim panas 2005, Manchester United akhirnya menemui penjaga gol yang mereka perlukan sejak Peter Schemeichel.

Edwin van der Sar memenangi banyak gelaran bersama Manchester United. Namun musim 2007/08 adalah musim terbaiknya bersama kelab Manchester ini.

Van der Sar tampil dengan prestasi terbaiknya walaupun mengalami kecederaan pangkal paha pada musim tersebut.

Musim 2007/08 menyaksikan Van der Sar memenangi kejuaraan berganda bersama United, mengulangi kejuaraan EPL buat musim ke-2 berturut-turut dan juga gelaran Champions League, menyelamatkan sepakan penalti Nicolas Anelka untuk menafikan Chelsea.

(Photo by Martin Rickett – PA Images/PA Images via Getty Images)

2 musim selepas itu, Van der Sar tampil sekali lagi bersama Manchester United di pentas akhir Champions League, namun tewas 3-1 kepada Barcelona.

Ia adalah perlawanan terakhir Edwin van der Sar untuk Manchester United sebelum bersara daripada bola sepak profesional. Hari ini, Edwin van der Sar adalah CEO kepada kelab Belanda, Ajax dan kerap kali membuat penampilan dalam perlawanan amal, testimonial dan pasukan veteran Manchester United.

Gary Richard Bailey (1978-1987) – 161 clean sheet

Gary Bailey dibesarkan di Afrika Selatan dan karier penjaga golnya bermula dengan Wits University di Johannesburg. Pemain ini memiliki keazaman yang sungguh luar biasa.

Bailey sedar dirinya perlu berhijrah ke England untuk mengejar status pemain bola sepak profesional. Oleh itu, Bailey sanggup terbang ke England atas perbelanjaan sendiri untuk mengikuti sesi uji bakat bersama Manchester United.

Mandatory Credit: Allsport UK /Allsport

Usahanya tidak sia-sia. Bailey berjaya memikat Ron Atkinson yang merupakan pengurus pada masa itu. Dan Bailey terus menjadi penjaga gol utama United selepas Alex Stepney berhijrah ke Amerika Syarikat.

Bailey diingati kerana kegagalannya menangkap kemas hantaran lintang pemain Arsenal pada minit akhir perlawanan akhir Piala FA 1979, membenarkan Alan Sunderland untuk menjaringkan gol kemenangan untuk pasukan dari London itu.

Bagaimanapun, Bailey bangkit untuk membantu United memenangi 2 kejuaraan Piala FA pada 1983 dan 1985.

(Photo by Bob Thomas/Getty Images)

Walaupun mempunyai pilihan untuk mewakili Afrika Selatan di pentas antarabangsa, Bailey memilih untuk mewakili England. Namun kehadiran Peter Shilton dan juga Ray Clemence pada masa itu menyukarkan Bailey.

2 penampilan Bailey bersama England ialah ketika menentang Ireland pada Mac 1985 dan juga Mexico pada Jun tahun yang sama.

Kecederaan lutut yang teruk ketika persiapan skuad England menjelang Piala Dunia 1986 merencatkan karier Bailey di Liga Inggeris. Beliau kemudian berpindah kembali ke Afrika Selatan, beraksi bersama Kaizer Chiefs sebelum bersara daripada bola sepak profesional pada 1990.

Alex Stepney (1966-1978) – 175 clean sheet

Alex Stepney adalah penjaga gol Manchester United ketika mereka tampil sebagai kelab pertama dari Liga Inggeris yang bergelar juara eropah pada 1968.

Karier Stepney bermula di Milwall sebagai seorang penjaga gol muda. Beliau kemudiannya berpindah ke Chelsea pada Jun 1966 dengan perpindahan bernilai £52,000.

(Photo by Peter Robinson/EMPICS via Getty Images)

Alex Stepney hanya beraksi seketika di Stamford Bridge. Selepas hanya 3 bulan, Sir Matt Busby menjadikan Stepney sebagai penjaga gol termahal dunia pada ketika itu dengan perpindahan bernilai £55,000 untuk ke Old Trafford.

Clean sheet pertama Stepney ialah dalam penampilan pertamanya dengan jersi United, dalam kemenangan 1-0 ke atas seteru setempat Manchester City sebelum membawa Manchester United bergelar juara Liga Inggeris pada penghujung musim pertamanya di Old Trafford.

Sir Matt Busby menyifatkan Alex Stepney sebagai pembelian terpenting ketika pasukan bimbingannya merangkul kejuaraan liga pada masa itu.

(Photo by Ed Lacey/Popperfoto/Getty Images)

Kemuncak kejayaan Stepney bersama Manchester United adalah pada musim berikutnya. Ketangkasan Stepney menyelamatkan percubaan bintang Benfica, Eusebio memaksa perlawanan terikat 1-1, sebelum perlawanan menuju ke masa tambahan.

George Best, Brian Kidd dan Bobby Charlton melengkapkan kemenangan 4-1 United selepas itu.

Untuk tempoh sedekad selepas itu, Alex Stepney terus menjadi sandaran Manchester United di hadapan gawang dan setia bersama skuad Red Devil walaupun diturunkan ke Divisyen 2 pada musim 1973/74.

Selain daripada kejuaraan liga pada musim 1966/67 dan Piala Eropah pada 1968, Alex Stepney turut memenangi Piala FA dan kejuaraan Divisyen 2 bersama Manchester United.

Peter Schemeichel (1991-1999) – 180 clean sheet

Peter Schemeichel tiba di Old Trafford pada 6 August 1991 selepas penampilan yang menakjubkan di peringkat antarabangsa bersama Denmark.

Dalam satu temuramah pada 2000, Sir Alex menyifatkan nilai £505,000 yang digunakan untuk membawa Schemeichel daripada Brøndby sebagai ‘nilai paling berbaloi abad ini’ untuk seorang pemain dengan kualiti Schemeichel.

Mandatory Credit: Allsport UK /Allsport

8 tahun bersama United, musim pertama di Old Trafford menyaksikan Schemeichel tampil membantu pasukannya muncul naib juara Divisyen 1 Liga Inggeris. Manchester United turut memenangi Piala Liga buat pertama kali dalam sejarah kelab berkenaan pada musim yang sama.

Musim berikutnya, ketika Liga Inggeris dijenamakan kepada Liga Perdana Inggeris, Schmeichel merekodkan 22 perlawanan tanpa bolos untuk menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga buat kelab Manchester tersebut.

Aksinya bersama United dan juga Denmark menobatkan beliau sebagai penerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik Dunia pada tahun 1992 dan 1993.

\ Mandatory Credit: Phil Cole /Allsport

Kemuncak pencapaian Peter Schemeichel bersama Manchester United ialah apabila beliau membantu Manchester United merangkul kejuaraan ‘treble’, EPL, Piala FA dan juga Champions League pada musim 1998/99.

Schemeichel mengambil keputusan untuk meninggalkan Manchester United selepas kejayaan merangkul ‘treble’. Beliau kemudiannya beraksi bersama Sporting CP, Aston Villa dan juga Manchester City sebelum bersara sepenuhnya daripada bola sepak profesional.

Berperwatakan garang dan tegas, Peter Schemeichel adalah legenda di hati setiap peminat dan penyokong Manchester United.

Rumusan

Manchester United memiliki penjaga gol yang hebat dalam sejarah kelab tersebut.

Jika kelima-lima penjaga gol di atas masih beraksi pada hari ini, siapakah pilihan anda untuk berada di hadapan gawang pasukan kegemaran anda?

Sumber:

1. Nick Wright, Sky Sports (2015): Peter Schmeichel: A profile of the Manchester United legend; http://www.skysports.com/football/news/15115/10037643/peter-schmeichel-a-profile

2. Meshack Brighton, Goal (2017): DAVID DE GEA, THE BEST GOALKEEPER WITH A CENTURY OF CLEAN SHEETS; http://www.goal.com/en/news/david-de-gea-the-best-goalkeeper-with-a-century-of-clean/1qx19oup1cx9b1dgjtbwzq8z3u

3. Alex Stepney, The Guardian (2017): Alex Stepney: the day Eusébio applauded me for saving his shot; https://www.theguardian.com/football/blog/2014/jan/05/eusebio-manchester-united-benfica-alex-stepney

4. England Football Online: Gary Richard Bailey; http://www.englandfootballonline.com/TeamPlyrsBios/PlayersB/BioBaileyGR.html

5. Paul Wilson, The Guardian (2011): Manchester United’s Edwin van der Sar saves the best until last; https://www.theguardian.com/football/2011/may/22/edwin-van-der-sar-champions-league

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN