5 Pengurus Yang Lebih Malang Daripada Kisah 104 Hari Thierry Henry Di Monaco

Thierry Henry adalah bekas juara dunia bersama Perancis pada 1998, dan telah dipecat daripada jawatan beliau sebagai pengurus di Monaco. Ia adalah pengalaman pertama legenda Arsenal itu di dalam bidang pengurusan, dan beliau sempat mengendalikan bekas kelab dimana beliau pernah bergelar pemain selama tiga bulan, meliputi 20 perlawanan.

Namun demikian, Henry hanya mampu membantu Monaco mencatat lima kemenangan di semua pertandingan – dan Monaco kini sedang bergelut di zon penyingkiran. Tempoh Henry bersama Monaco tampak singkat. Dalam artikel pada kali ini, kami turut menyenaraikan lima lagi pengurus di eropah yang turut mempunyai nasib yang sama seperti Henry sebelum ini.

Frank de Boer (Inter Milan & Crystal Palace)

Jika anda melabel Henry sebagai malang, mungkin ada lagi pengurus lain yang mengalami nasib yang lebih teruk berbanding pengendali dari Perancis itu. Frank de Boer pernah sebanyak dipecat dua kali sepanjang tempoh beliau bergelar pengurus, dan kedua-duanya juga di dalam tempoh yang amat singkat.

Pada 2016, pengurus yang berasal dari Belanda itu dilantik sebagai pengendali di Inter Milan. Walaupun bersetuju dengan kontrak selama tiga tahun, De Boer dipecat selepas hanya 85 hari di San Siro. Keadaan tidak menjadi bertambah baik selepas itu.

(Photo by John Phillips/Getty Images)

Dilantik sebagai pengurus Crystal Palace pada 2017, De Boer hanya sempat mengendalikan lima perlawanan, sebelum dipecat buat kali kedua selepas hanya 77 hari sebagai pengurus di kelab England itu.

De Boer kini adalah pengurus Atalanta United di Major League Soccer sejak Disember 2018.

Sam Allardyce (England)

Sam Allardyce adalah seorang pengurus berpengalaman dan pernah mengendalikan 12 pasukan sejak 1991. Kemuncak karier pengurus yang turut dikenali sebagai Big Sam sebelum ini adalah ketika beliau ditawarkan sebagai pengendali skuad kebangsaan England dengan kontrak selama dua tahun pada Julai 2016. Namun demikian perjalanan Big Sam bersama England bukan seperti yang beliau harapkan.

Sebaliknya Allardyce dikenang sebagai pengurus paling singkat pernah mengendalikan mana-mana pasukan kebangsaan di dunia, selepas hanya satu perlawanan. Ini berikutan pendedahan video oleh sebuah akhbar di UK yang memaparkan Allardyce menjelaskan cara untuk memanipulasi peraturan perpindahan pemain di England.

Sam Allardyce ketika diumumkan sebagai pengurus baharu England.

Ia dianggap sebagai satu skandal di negara tersebut, dan Allardyce secara rela meninggalkan jawatan beliau selepas itu.

Satu-satunya perlawanan yang dikendalikan oleh Allardyce untuk England adalah kemenangan 1-0 ke atas Slovakia dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.

Brian Clough (Leeds United)

Pada 1974, ia adalah perkhabaran yang mengejutkan bola sepak apabila Brian Clough dipecat oleh Leeds United hanya selepas 44 hari diumumkan sebagai pengurus, menggantikan Don Revie yang menerima tawaran mengemudi England.

Mungkin generasi pada hari ini tidak mengenali Clough. Anda bayangkan sahaja perpindahan Pep Guardiola dari Manchester City unruk menyertai Chelsea. Enam minggu kemudian, bayangkan pula Chelsea memecat Guardiola. Demikianlah sensasinya kisah Clough ketika itu.

(Photo by PA Images via Getty Images)

Clough sebelum itu berjaya mengemudi Derby County bergelar juara liga pada 1972, dan merupakan antara pengurus yang paling menjadi buruan kelab-kelab utama di England. Namun demikian, Clough juga adalah pengurus yang paling lantang untuk mengkritik apa sahaja.

Clough kemudiannya tidak mempunyai persefahaman dengan ramai pemain Leeds, merekodkan hanya satu perlawanan dari enam yang dikendalikannya, mengkritik pengurusan tertinggi Leeds, dan kemudian dipecat. Anda mungkin boleh membayangkan Jose Mourinho ketika masih bergelar pengendali Manchester United untuk bahagian ini.

Alex McLeish (Nottingham Forest)

Alex McLeish adalah seorang lagi pengurus berpengalaman dan pernah mengendalikan beberapa kelab di England dan Scotland seperti Rangers, Hibernian, Birmingham City dan Aston Villa, tetapi turut mempunyai rekod dipecat daripada jawatannya dalam tempoh yang singkat.

McLeish merupakan pengendali Nottingham Forest pada musim 2012/13, dilantik ke jawatan tersebut pada 27 Disember 2012.

New Nottingham Forest manager Alex McLeish during the press conference at The City Ground, Nottingham. (Photo by Simon Cooper/PA Images via Getty Images)

Namun demikian jodoh McLeish bersama Forest hanya bertahan selama 40 hari, selepas tidak bersetuju dengan tindakan pemilik kelab untuk tidak meneruskan pembelian George Boyd pada jendela perpindahan Januari pada 2013.

Untuk rekod, McLeish hanya merekodkan satu kemenangan, dan tewas empat dari jumlah tujuh perlawanan yang beliau sempat kendali. Pada hari ini McLeish adalah pengurus skuad kebangsaan Scotland.

Leroy Rosenior (Torquay United)

Leroy Rosenior bergelar pengendali Torquay United selama dua kali sepanjang karier sebagai pengurus. Kali pertama adalah di antara 2002-2006, dimana beliau berjaya membawa Torquay mara sehingga ke League One, England di musim kedua bersama kelab dari Devon itu.

Selepas gagal membantu Brentford pada 2006 -dengan rekod 16 perlawanan tanpa kemenangan- Rosenior kembali menyertai Torquay pada Mei 2007. Malangnya ketibaan beliau kali kedua hanya kekal selama tiga hari, dan hanya berpeluang mengendalian Torquay selama 10 minit.

Ini disebabkan Rosenior kembali ke Torquay ketika kelab tersebut berpindah pemilik, dan pemilih baharu dikatakan mahukan calon lain untuk pengurus tersebut.

Torquay United’s manager Leroy Rosenior during match against Birmingham City (Photo by Jon Buckle – EMPICS/PA Images via Getty Images)

Gagal membantu Torquay untuk kekal di League Two, Rosenior kemudiannya menyertai Brentford pada 2006, namun kekal hanya selama lima bulan (16 perlawanan tanpa kemenangan) sebelum dipanggil kembali untuk membantu Torquay pada Mei 2007.

Pernah mengendalikan Sierra Leon selepas itu, hari ini Rosenior adalah duta kepada sebuah NGO yang menentang perkauman di dalam bola sepak, iaitu ‘Show Racism The Red Card’. Torquay United pula terhumban ke National League South, iaitu divisyen keenam bola sepak Inggeris.

Penutup

Anda tahu pengurus lain yang pernah mengendalikan kelab atau pasukan lain dalam tempoh yang singkat? Atau mahu kongsikan mengenai pengendali yang pernah mengendalikan pasukan di Liga Malaysia dalam tempoh yang singkat sebelum direhatkan?

Kongsikan di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN