5 Pengurus Berpotensi Ganti Tempat Koeman Yang ‘Ditendang Keluar’ Dari Barcelona

Pemecatan Ronald Koeman oleh Barcelona baru-baru ini mengundang tanda tanya siapakah pengurus baharu yang bakal mengisi kerusi panas di Nou Camp itu.

Sehingga kini belum ada sebarang pengumuman dari kelab Catalan itu mengenai pengganti Koeman. Namun kami percaya perkara kekosongan itu tidak akan lama mengambil kira sudah ada beberapa calon kini dalam pertimbangan.

Berikut adalah lima calon utama yang kami percaya akan mengemudi Barcelona selepas ini.

Roberto Martinez

(Photo by Kevin C. Cox/Getty Images)

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Belgium ini dipandang tinggi di Barcelona, dan ini bukan kali pertama nama Martinez dikaitkan dengan jawatan pengendali di Nou Camp.

Walaupun memiliki kontrak sehingga 2022, Persatuan Bola Sepak Belgium dipercayai tidak akan menghalang Martinez untuk mengubah angin, terutamanya jika ada tawaran yang bagus dari kelab yang besar.

Martinez dianggap sebagai pengganti paling sesuai terutama dari segi kewangan kerana tidak memerlukan gaji yang besar.

Dari segi komitmen bersama Belgium, Martinez dipercayai bersedia untuk menyertai Barcelona selepas selesai komitmen bersama Belgium di UEFA Nations League.

 

Marcelo Gallardo

(Photo by Mario Sar/Getty Images)

Walaupun namanya kurang dikenali, tetapi jurulatih dari Argentina ini mempunyai rekod yang cukup memberangsangkan di pentas bola sepak Amerika Selatan.

Berusia 45 tahun, Gallardo telah pun menjuarai dua Copa Libertadores bersama River Plate untuk meletakkan namanya selaku pengurus muda berpotensi untuk mencipta nama di Eropah.

Kontraknya bersama kelab Argentina itu akan berakhir pada penghujung tahun ini. Barcelona perlu bertindak pantas sekiranya mahu mendapatkan khidmatnya.

 

Erik tan Haag

(Photo by ANP Sport via Getty Images)

Seperti Gallardo, Ten Hag juga adalah salah seorang jurulatih di luar lima liga utama di Eropah yang kini di dalam perhatian dan diintai banyak kelab.

Bersama Ajax, beliau telah memenangi pelbagai kejuaraan domestik dan pernah menarik perhatian bola sepak eropah di pertandingan Champions League dengan skuad muda yang berjaya mara ke separuh akhir pertandingan elit tersebut beberapa musim lalu.

Barcelona dan Ajax sememangnya sentiasa ada perkaitan, dan hakikat Erik kini adalah pengendali kelab Belanda itu adalah satu bonus.

Merupakan antara calon pilihan untuk ke Tottenham, Ten Haag kini mempunyai kontrak sehingga 2023 bersama Ajax. Jika mahukan khidmat pengurus ini, maka Barcelona boleh sahaja menggunakan hubungan baik di antara kedua-dua kelab untuk melakukan rundingan dan membawa Ten Haag ke Nou Camp.

Antonio Conte

Inter Milan
(Photo by Valerio Pennicino/Getty Images)

Walaupun beliau dikaitkan dengan Manchester United, namun seperti yang didedahkan oleh Fabrizio Romano, sehingga hari ini masih tiada tawaran rasmi dari Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut terhadap jurulatih warga Itali ini.

Dalam senarai ini, Conte merupakan pengurus yang telah terbukti mampu memberikan kejayaan buat mana-mana pasukan yang dibimbingnya.

Rekodnya ketika membimbing Juventus, Chelsea dan Inter Milan adalah satu isyarat jelas buat pihak pengurus Barcelona.

Pengendali dari Itali ini mungkin tidak sama acuan dengan bola sepak yang Barcelona mahukan, tetapi Antonio Conte adalah seorang serial winner.

Dan jika Barcelona terdesak untuk mengembalikan zaman kegemilangan kelab itu, maka Conte adalah calon yang harus dipertimbangkan secara serius.

Sepanjang kariernya, Conte telah menjuarai tiga gelaran Scudetto bersama Juventus, kejuaraan Premier League bersama Chelsea dan membuktikan kemampuannya sekali lagi di Serie A bersama Inter Milan apabila menamatkan dominasi Juventus.

Conte juga adalah calon pengganti yang Barcelona boleh perolehi dengan segera kerana kini tidak terikat dengan sebarang kelab.

 

Xavi Hernandez

Sadd’s coach Xavi encourages his players during the Amir Cup final football match between Al-Sadd and Al-Rayyan at the Al-Thumama Stadium in the capital Doha on October 22, 2021. (Photo by KARIM JAAFAR / AFP) (Photo by KARIM JAAFAR/AFP via Getty Images)

 

Legenda Blaugrana ini dianggap sebagai salah seorang legenda dari skuad terhebat yang pernah dilahirkan Barcelona selepas millenium.

Dianggap sebagai bakal pengendali pada masa depan sejak beberapa tahun yang lalu, nama Xavi sebenarnya telah dicalonkan untuk mengendalikan Barcelona oleh bekas calon presiden, Victor Font.

Sekiranya Barcelona memecat Koeman, Laporta dijangka turut bersedia untuk memanggil Xavi sebagai pengganti.

Merupakan jurulatih Al Sadd, Xavi sebelum ini pernah menolak tawaran Barcelona kerana berpendapat ianya masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

Tidak dapat dipastikan sama ada Xavi sanggup mengambil risiko meninggalkan posisi beliau pada hari ini.

Walaupun Xavi kini merupakan ketua jurulatih Al Sadd, tetapi difahamkan di dalam kontraknya bersama kelab Qatar itu terdapat klausa khas yang membolehkan beliau melepaskan jawatannya dan menyertai Barcelona pada bila-bila masa.

Penutup

Siapakah di kalangan lima jurulatih di atas akan diumumkan sebagai pengendali baharu Barcelona?

Pada pendapat anda siapakah di kalangan lima jurulatih di atas paling layak mengisi kekosongan di Nou Camp?

Nyatakan pendapat anda di ruangan komen di platform yang kami sediakan. Kami juga ingin mendengarnya daripada anda.

 

Leave a Reply