5 Penggempur Paling Berbisa Dari Belgium Di Liga Perdana Inggeris

Belgium kini dikenali sebagai kuasa besar bola sepak di dunia sejak 10 tahun yang terakhir ini. Skuad dengan gelaran ‘Red Devils’ ini pernah dianggap sebagai pasukan paling bernilai pada kejohanan Euro 2016 berbanding Juara Piala Dunia 2014, Jerman.

Rata-rata pemain Belgium mula mendapat tempat bersama kelab-kelab besar di Eropah. Tidak terkecuali dipentas Liga Perdana Inggeris (EPL). Eden Hazard, Vincent Kompany, Kevin de Bruyne, dan Thibaut Courtois adalah sebagai contoh pemain yang telah berjaya meraih gelaran liga di England.

Berikut merupakan 5 pemain Belgium dengan jumlah jaringan paling tertinggi di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini:

1. Romelu Lukaku – 107 gol

(Photo by Simon Stacpoole/Offside/Getty Images)

Romelu Lukaku merupakan satu-satunya pemain Belgium yang sudah berjaya mencetak lebih dari 100 (107) gol di EPL. Sebelum memilih menyertai Manchester United pada 2017/18, Lukaku telah mewakili 3 kelab – Chelsea, West Brom dan Everton.

Pemain ini tidak menjaringkan sebarang gol sepanjang bersama Chelsea. Bagaimanapun, Lukaku mula menyerlah apabila dipinjamkan ke West Brom – setelah kerap diturunkan dalam kesebelasan utama dan hasilnya beliau berjaya menjaringkan 17 gol dalam 35 perlawanan.

Karier terbaik beliau di EPL ialah ketika mewakili Everton. Penampilan pertamannya di Goodison Park sebagai pemain pinjaman telah berjaya menghasilkan 15 gol buat pasukan. Lukaku akhirnya menyertai Everton sebagai pemain tetap selama tiga musim bermula dari – 2014/15 hingga 2016/17.

Beliau menjadi antara penggempur utama di EPL setelah berjaya meledak 53 gol dari 110 perlawanan sepanjang tempoh tersebut. Sementara di Manchester United pula, Lukaku dilihat sedikit mengalami kesulitan untuk mengulangi pencapaian cemerlangnya seperti di Everton. Beraksi baik pada musim lalu – menjaringkan 16 gol dari 34 perlawanan – musim ini sedikit sukar buat Lukaku yang hanya menjaringkan enam gol dari 15 perlawanan di EPL setakat ini.

2. Eden Hazard – 77 gol

Mungkin bintang Chelsea, Eden Hazard agak ketinggalan dari segi jumlah jaringan berbanding Romelu Lukaku. Namun, perjalanan Hazard di EPL lebih cemerlang dari rakannya itu. Sejak menjejak kaki di England pada tahun 2012, Hazard memainkan peranan penting bersama Chelsea dibawah era tujuh pengurus yang berbeza – Roberto Di Matteo, Rafael Benitez, Jose Mourinho, Steve Holland, Guus Hiddink, Antonio Conte dan kini bersama Maurizio Sarri.

Sepanjang tempoh tersebut, Hazard telah membuat penampilan sebanyak 223 kali dan berjaya menjaringkan 77 gol. Selepas Sergio Aguero, Hazard turut berjaya mencatat nama sebagai penjaring hatrik untuk musim ini ketika membantu Chelsea membenam Cardiff City 4-1. Selepas 16 perlawanan musim ini, Hazard berada dikedudukan ke-5 senarai penjaring gol terbanyak dengan mengumpul 8 gol.

Namun di bawah kendalian Sarri, tidak mustahil Hazard akan menjadi penggempur yang lebih baik – jika usaha jurulatih dari Itali itu menukar peranan pemain sayap ini kepada penyerang ‘false 9’ berjaya dilaksanakan satu hari nanti. Untuk itu, lihat sahaja bagaimana Sarri menggunakan Dries Mertens ketika di Napoli sebelum ini.

3. Christian Benteke – 69 gol

Kelab-kelab Liga Inggeris seperti Aston Villa, Liverpool dan Crystal Palace telah menghabiskan dana lebih dari £70 juta untuk memburu Christian Benteke dalam tempoh enam tahun terakhir ini. Nama Benteke mulai mencuri tumpuan selepas berjaya tampil cemerlang pada musim sulungnya bersama Aston Villa.

Beliau telah muncul sebagai penjaring terbanyak buat pasukan dengan mengumpul 19 gol disaingan EPL pada kerika itu. Benteke terus mengukuhkan reputasi sebagai penyerang terbaik dari Belgium dengan mengekalkan rekod penjaring terbanyak untuk Aston Villa bagi 3 musim berturut-turut bermula dari 2012/13 hingga 2014/15 (41 gol).

Benteke kemudiannya memilih untuk menyertai Liverpool pada musim berikutnya. Namun, beliau hanya mampu bertahan satu musim sahaja di Anfield, sebelum berhijrah menyertai Crystal Palace. Di Crystal Palace, Benteke berjaya tampil cemerlang pada musim pertamanya di Selhurst Park dengan mencatatkan 15 gol dari 36 perlawanan EPL.

Namun, kecemerlangan Benteke gagal diteruskan dimusim kedua apabila prestasi beliau merudum dengan hanya mampu menjaringkan 3 gol dari 31 perlawanan. Musim ini, Benteke sekali lagi berdepan situasi sulkar selepas kerap kali diketepikan sejak awal September lalu akibat kecederaan lutut yang dialaminya. Beliau sudah membuat empat kemunculan buat Palace sepanjang musim ini, namun masih gagal meledak sebarang jaringan.

4. Marouane Fellaini – 37 gol

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Marouane Fellaini berkelana di England selama lebih daripada satu dekad selepas pertama kali menyertai Everton sebagai kelab pertama beliau di England pada tahun 2008.

Bersama Everton, Fellaini berjaya menjaringkan 25 gol dari 141 penampilan di EPL sepanjang 5 musim. Kemudian Fellaini memilih untuk menyertai Manchester United sebagai destinasi keduanya pada tahun 2013, ketika era David Moyes. Setakat ini, Fellaini telah berjaya menjaringkan 12 gol dari118 perlawanan di EPL membabitkan kelab Manchester itu.

5. Kevin Mirallas – 29 gol

Everton sekali lagi berjaya mengangkat nama pemain yang berasal dari Belgium untuk dikenali di kancah saingan bola sepak Inggeris. Selain Lukaku dan Fellaini, Kevin Mirallas turut berjaya mencatat nama sebagai penjaring terbanyak dari Belgium untuk The Toffees.

Sepanjang bersama kelab Merseyside tersebut, pemain antarabangsa Belgium berusia 31 tahun ini telah menghasilkan 29 gol dari 151 aksi di EPL. Mirallas kini sedang beraksi bersama Fiorentina di Itali selepas turut beraksi bersama Olympiakos secara pinjaman dari Everton.

Penutup

Adakah kita akan melihat lebih ramai pemain dari Belgium beraksi di saingan bola sepak Inggeris pada masa hadapan?

Pemain Belgium manakah yang anda harapkan untuk beraksi disaingan bola sepak Inggeris selepas ini?

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN