Saingan Piala Malaysia 2019 akan menyingkap tirainya pada malam ini dengan dua perlawanan bakal memulakan aksi masing-masing di Kuala Terengganu dan Larkin; Terengganu FC menentang PKNS FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) turun bertemu UiTM FC.
Dalam kerancakan berbicara mengenai saingan Piala Malaysia yang bakal bermula itu, untuk edisi ke-93 ini kita bakal menyaksikan penampilan sulung beberapa pengendali yang bakal membuat debut dalam kejohanan antara yang tertua di Asia ini.
Siapakah mereka dan adakah mereka berpeluang meninggalkan impak berkesan dalam pentas kejohanan berprestij ini?
Aidil Sharin Sahak (Kedah)
Pengendali kelahiran Singapura berusia 42 tahun ini akan turun buat kali pertama dalam saingan Piala Malaysia bersama Kedah yang sudah 5 kali bergelar juara iaitu bermula pada edisi tahun 1990, 1993, 2007, 2008 dan kali terakhir pada edisi 2016.
Adakah ia satu tekanan buat pengendali muda ini? Rasanya dengan pengalamannya tampil dan menjuarai Piala AFC Zon Asean bersama Home United selain baru saja menjuarai Piala FA 2019, saingan Piala Malaysia hanya satu wadah baharu buatnya.
Aidil Sharin perlu mengingatkan para pemainnya agar melupakan seketika kejuaraan Piala FA dan menumpukan sepenuh perhatian kepada aksi Piala Malaysia kali ini kerana pada edisi lalu, Kedah tersingkir awal di peringkat kumpulan apabila berada di dasar Kumpulan C di belakang JDT, Kelantan dan MIFA FC (PJ City FC).
Nafuzi Zain (Terengganu FC)
Inilah peluang buat pengendali sementara Terengganu FC, Nafuzi Zain untuk memikat pengurusan pasukan agar memilihnya sebagai pengendali tetap Sang Penyu bermula pada musim depan. Sejak mengambil alih pasukan pada Mei yang lalu, Nafuzi Zain berjaya memberikan wajah segar kepada finalis Piala Malaysia 2018 itu.
Berusia 42 tahun, Nafuzi Zain dilihat berani menampilkan taktikal berkesan malah pada satu ketika berjaya mengembalikan sentuhan penyerang sensasi mereka Tchetche Kipre yang ketika di bawah kendalian Irfan Bakti gagal menampilkan aksi sebenarnya.
Keberaniannya untuk menyenaraikan pemain bukan regular ke dalam skuad utama turut mencuri tumpuan seperti kelibat Ilham Amirullah, Sharin Sapien, Nabil Latpi dan Rahmat Makasuf yang dilihat memberi impak dikala pasukan kehilangan pemain utama.
Nidzam Jamil (FELDA United)
Pengendali paling muda di kalangan lima jurulatih ini memang diakui memiliki karekter menarik malah pendekatan taktikalnya adakalanya dilihat mampu menggugat dan menewaskan pasukan-pasukan elit sebagaimana yang pernah berlaku kepada Kedah.
Berusia 39 tahun, Nidzam Jamil mengakui yang masalah utamanya adalah dari segi teknikal pemain-pemainnya yang majoriti masih ‘mentah’ akibat transisi pemain secara besar-besaran yang berlaku selepas berakhirnya musim 2018 akibat masalah kewangan.
Pentas Piala Malaysia inilah peluang terbaik untuk Nidzam Jamil menampilkan kekuatannya apabila diundi bersama Selangor, PDRM dan Melaka United. Jika mampu melangkah ke suku akhir, bukan sahaja kredibilitinya akan meningkat malah FELDA United akan berjaya menyamai pencapaian pada edisi 2018.
Manzoor Azwira Abd Wahid (Pulau Pinang)
Lupakan kisah duka gagal meraih promosi ke Liga Super pada musim hadapan akibat masalah gaji pengurusan lama. Rekod 10 perlawanan tanpa kalah sejak mengambil alih Pulau Pinang wajar memberikan satu amaran awal buat pencabar di Piala Malaysia.
Kali terakhir Harimau Kumbang beraksi di kejohanan ini adalah pada edisi 2015 yang menyaksikan mereka hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan. Bagi pengendali berusia 42 tahun itu, saingan Piala Malaysia adalah satu pendedahan baik buat pemainnya, malah mengintai peluang untuk membuat kejutan.
Dalam aksi Liga Premier, Manzoor Azwira berjaya menggunakan sepenuhnya kemampuan Ezequiel Aguero, Julian Bottaro dan Casagrande untuk melonjak Pulau Pinang sehingga ke kedudukan ketiga liga sebelum arahan pemotongan mata oleh FIFA.
Benjamin Mora (JDT)
Harus diakui, Benjamin Mora adalah watak kurang popular di JDT biarpun mereka berjaya meraih gelaran double hatrick Liga Super. Ini kerana, ramai lebih melihat kepada kelibat pengurus pasukan, Luciano Figueroa dalam setiap kejayaan yang dikecapi.
#MoraOut adalah tanda pagar yang kerap kali digunakan oleh penyokong Harimau Selatan apabila JDT gagal mempamerkan watak terbaik di atas padang sebagaimana ketika mereka terikat 3-3 menentang Terengganu FC dalam perlawanan terakhir liga.
Sebagaimana yang lain, Piala Malaysia juga adalah platform terbaik buat pengendali kelahiran Mexico berusia 40 tahun ini untuk memikat para penyokong untuk kembali berada di belakangnya. Biarpun rekod kurang memihak kepada JDT dalam pertandingan kalah mati, Mora perlu berfikir cara untuk menamatkannya.
Penutup
Itu adalah senarai lima pengendali yang bakal melalui penampilan pertama dalam saingan Piala Malaysia kali ini. Aidil Sharin dan Benjamin Mora sudah dijodohkan memiliki kejuaraan masing-masing di saingan Liga Super dan Piala FA 2019.
Untuk Piala Malaysia, susah untuk menilik nasib setiap pasukan yang bertanding kerana dalam pertandingan berprestij ini, apa sahaja boleh berlaku dan pastinya akan ada kejutan menanti.
Siapakah diantara mereka yang mampu memberikan impak terbaik dalam saingan Piala Malaysia 2019? Sila kongsikan bersama kami.