5 Pembelian “Berprofil Tinggi” Yang Telah Berlaku Di Premier League Setakat Ini

Selepas tamatnya Euro 2020, tumpuan peminat bola sepak pasti akan beralih kepada saingan liga bola sepak paling terkenal di dunia iaitu Premier League.

Pemain-pemain akan kembali menyertai kelab masing-masing, dan persiapan menuju musim baharu kini sibuk dilakukan. Turut menjadi tumpuan ialah aktiviti kelab-kelab di jendela perpindahan musim panas yang kini sedang dibuka.

Mungkin kita terlalu sibuk mengikuti kejohanan-kejohanan besar sejak beberapa minggu yang lalu, tanpa kita sedari sudah ada lima pembelian penting dari luar Premier League dilakukan.

Albert Sambi Lokonga (Arsenal)

Ketibaann Albert Sambi Lokonga sudah lama ditunggu oleh Arsenal. Pemain ini sudah pun tiba di London untuk pemeriksaan kesihatan dan dijangka akan diumum secara rasmi oleh Arsenal sedikit masa lagi.

Pemain tengah dari Belgium ini menandatangani kontrak profesional pertama beliau bersama Anderlecht pada 2017. Beliaum melakukan 37 penampilan dalam semua pertandingan pada musim lalu. Sepanjang tempoh itu, Lokonga menjaringkan tiga gol dan turut menghasilkan tiga assist untuk Anderlecht.

The Gunners dilaporkan membayar €17.5  juta untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 21 tahun ini. Ia masih angka yang berbaloi selepas Arsenal sebelum itu terpaksa melepaskan Dani Ceballos dan Martin Odegaard kembali ke Real Madrid selepas tamat tempoh pinjaman.

Corak permainan dan fungsi Lokonga pasti akan mengingatkan penyokong The Gunners akan kelibat Patrick Viera. Beraksi sebagai pemai tengah bertahan, Lokonga bijak membaca permainan dan mematahkkan serangan lawan sebelum memulakan gerakan balas. Selain daripada seorang pemain yang mempunyai hantaran yang baik, Lokonga juga dianggap pemain yang rajin dan tidak mengenal penat lelah.

Boubakary Soumare (Leicester City)

Apabila Leicester mengalami kesulitan untuk mengekalkan Youri Tielemans, mereka tidak teragak-agak untuk mencari pemain gantian yang baru di pasaran pemain. Leicester boleh dikatakan berjaya melakukan pembelian yang berbaloi apabila mendapatkan Boubary Soumare dari Lille dengan harga €25 juta.

Juara Ligue 1 itu sebenarnya pasrah akan hilang khidmat Soumare pada musim panas ini, selepas aksi cemerlang pemain itu berjaya menarik perhatian banyak pihak.

https://twitter.com/SportsbookBTC/status/1415356190851166210

Tiba dari PSG secara percuma pada 2017, Lille dianggap membat keuntungan tanpa modal dengan menjualnya ke Leicester.

Nilai Soumare dianggap lebih dari €25 juta yang dibayar Leicester. Beliau dilihat sebagai salah seorang pemain tengah muda berbakat di eropah. Pemain berusia 22 tahun ini memiliki first touch yang cemerlang, selain bijak mencari ruang melakukan hantaran. Tiada keraguan ketibaan Soumare akan memperkuatkan jentera tengah Leicester selepas ini.

Patson Daka (Leicester City)

Jamie Vardy sudah memasukui usia 34 tahun, dan tiba masanya The Foxes mencari seorang penyerang muda yang memiliki potensi seperti Patson Daka.

Penyerang berusia 22 tahun itu menjaringkan 68 gol dari 125 penampilan untuk RB Salzburg. Bekas rakan gandingan Erling Haaland, Daka juga adalah nadi penting Salzburg mendominasi Liga Austria sejak beberapa musim lalu.

RB Salzburg terpaksa menerima hakikat memperolehi hanya €25 juta hasil penjualan Daka akibat situasi semasa pandemik. Ia adalah urusniaga yang memberi keuntungan kepada Leicester. Pembelian Daka sekali lagi membuktikan Leicester adalah salah sebuah kelab yang ditadbir dengan baik di England.

Musim lalu sahaja, Daka telah menjaringkan 34 gol dan menhasilkan 12 assist dari 42 penampilan bersama Salzburg.

Ibrahima Konate (Liverpool)

Liverpool beraksi majoriti musim 2020/21 mereka tanpa pemain pertahanan tengah pilihan pertama mereka. Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip semuanya mengalami kecederaan jangka masa panjang, Ini menjadi punca Liverpool gagal mengulangi pencapaian cemerlang mereka pada 2019/20.

Mujurlah pada pengakhiran musim Liverpool berjaya bangkit untuk mendapatkan slot bertanding di Champions League musim 2021/22.

Pada usia 22, Konate dianggap sebagai salah seorang pemain pertahanan muda terbaik di Eropah, dan ini dapat dibuktikan lagi apabila beliau digandingkan dengan Virgil van Dijk di bahagian benteng tengah Liverpool pada musim akan datang.

Liverpool kini dilihat mempunyai pemain yang cukup di posisi kritikal tersebut, dan pada nilai €41 juta, Konate turut dianggap sebagai pelaburan yang berbaloi.

Dari segi fizikal, Konate dianggap sebagai pemain yang memiliki susuk tubuh fizikal yang kuat. Jurgen Klopp tidak perlu pening kepala lagi selepas ini kerana selepas memiliki pemain pertahanan terbaik dunia seperti Virgil van Dijk, pengendali Jerman itu kini bakal menampilkan gandingan pertahanan terbaik dunia di Liverpool.

Jadon Sancho (Manchester United)

Manchester United akhirnya telah mencapai persetujuan untuk membayar Borussia Dortmund £73 juta (RM419 juta) kepada Borussia Dortmund untuk perpindahan Jadon Sancho.

Perpindahan Sancho ke Old Trafford dilihat sebagai usaha berterusan daripada pengurus, Ole Gunnar Solksjaer untuk menambahbaik pasukan untuk saingan pada musim hadapan selepas membimbing Man Utd ke kedudukan kedua Premier League dan perlawanan akhir Europa League pada musim lalu.

Sudah agak lama Manchester United tidak memiliki seorang pemain sayap kanan sejati sejak Nani. Fred sering kali digunakan di sebelah kanan – tetapi beraksi lebih ke tengah – dalam posisi 4-2-3-1 atau 4-3-3 Man United.

Apa yang Man United perlukan hari ini ialah seorang pemain yang mampu menghadirkan ancaman dari kawasan wide area dari sebelah kanan untuk menyeimbangkan serangan Man Utd, dan Sancho memiliki profil tersebut. Pemain tersebut juga bukan sahaja berkemampuan menjana gerakan dari tengah, malah turut mampu melakukan ancaman di bahagian akhir serangan.

Sancho telah menjaringkan 50 gol dan menghasilkan 57 assist dari 137 penampilan untuk Dortmund. Beliau juga menjaringkan dua gol di perlawanan akhir Piala Jerman untuk membantu Dortmund menang 4-1 ke atas RB Leipzig pada Mei lalu.

Penutup

Agak menarik untuk melihat sejauh mana impak yang akan dibawa oleh pemain-pemain baharu ini kepada kelab masing-masing.

Adakah mereka akan memberikan impak segera, atau bakal menjadi pelaburan yang gagal? Hanya masa akan menentukan perkara tersebut.

Satu perkara yang pasti ialah jendela perpindahan kini masih aktif. Siapakah pemain-pemain bintang dunia lain yang bakal menyusul ke Premier League?

 

 

Baca artikel menarik lain mengenai bola sepak antarabangsa:

20 Pemain Bawah 20 Tahun Dengan Nilai Paling Mahal Dalam Pasaran Perpindahan

Trent Alexander-Arnold: Jadon Sancho Akan Jadikan Liverpool Lebih Baik

6 Pemain United Bakal Dijual Untuk Dana Pembelian Sancho, Tiada Lingard Dalam Senarai

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN