5 Pemain Yang Boleh Gunakan Pentas Piala Malaysia Padamkan Keraguan Pengkritik

Perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia sudah pun bermula, dan seperti dijangka aksi beberapa pemain dan pasukan mulai mencuri tumpuan peminat sukan bola sepak tanah air.

Jika dahulu Piala Malaysia dianggap sebagai antara pertandingan tertua di rantau ini, dan sering kali melahirkan legenda-legenda bola sepak tanah air.

Walaupun kepentingannya mungkin berbeza dengan saingan liga, prestij Piala Malaysia sering kali mampu menjelmakan hero yang akan menitip di bibir peminat bola sepak negara tahun berganti tahun.

Bagi lima pemain ini pula, ia mungkin akan menjadi pentas untuk membuktikan sesuatu terutama untuk memadamkan keraguan pengkritik terhadap keupayaan mereka.

1. Baddrol Bakhtiar (Kedah Darul Aman FC)

Sebagai salah seorang pemain veteran, Baddrol sebenarnya sudah tidak ada apa yang perlu dibuktikan. Beliau sudah pun muncul sebagai penjaring terbanyak dari kalangan pemain tempatan di saingan Liga Super pada musim ini dengan tujuh gol.

Prestasi cemerlang kapten pasukan Kedah Darul Aman FC itu pada musim ini berjaya mencuri perhatian Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk memanggil pemain itu kembali menyertai pasukan negara untuk perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan pada Oktober hadapan.

Walaupun mendapat panggilan semula untuk menyertai Harimau Malaya, masih ada nada-nada skeptikal dari kalangan pemerhati bola sepak tempatan mengenai sumbangan yang boleh dihadirkan oleh pemain berusia 33 tahun itu.

Jika dahulu, Baddrol adalah seorang pemain sayap yang berkemampuan menghadirkan jaringan secara konsisten. Musim ini beliau cemerlang sebagai seorang pemain tengah bersama Kedah.

Hantaran cantik Baddrol yang menjadi assist kepada gol Syazwan Zainon dalam perlawanan menentang Kelantan United FC di saingan Piala Malaysia pada malam tadi harus menjadi benchmark terbaru kepada kemampuan pemain ini.

Hantaran tersebut terhasil dari visi dan kualiti teknikal yang berkualiti. Jika Baddrol berterusan mempamerkan aksi serupa, maka tiada keraguan panggilan dari Tan Cheng Hoe untuk Baddrol kali ini tepat pada masanya – mengambil kira masalah pasukan negara di posisi tersebut di pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia sebelum ini.

2. Tommy Mawat Bada (Sarawak United)

Pernah berkelana bersama PKNS FC dan menyertai skuad B-23 negara di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, Tommy Mawat Bada pernah dianggap sebagai salah seorang pemain sayap muda berpotensi untuk Sarawak dan pasukan negara.

Bagaimanapun nama dan karier Tommy seperti hilang dari radar arena bola sepak tempatan sejak beberapa musim lalu. Di bawah kendalian jurulatih berpengalaman E. Elavarasan, Tommy yang kini berusia 26 tahun tampil sebagai antara pemain tulang belakang skuad Enggang Emas muncul naib juara Liga Premier musim ini, sekaligus kembali ke saingan Liga Super pada musim hadapan.

Aksi Tommy dalam perlawanan pertama Piala Malausia menentang Penang FC juga wajar mendapat perhatian. Beraksi sebagai bek sayap kiri, Tommy cemerlang membantu bahagian pertahanan Sarawak United menyerap asakan skuad Harimau Kumbang, dan konsisten melakukan ancaman dengan larian beserta hantaran bermutu tinggi.

Dalam perlawanan menentang Penang FC, Tommy turut berjaya melakukan satu assist yang disudahkan dengan overhead kick Uche Agba untuk gol pertama Sarawak United, sebelum merekodkan kemenangan 3-1 di Stadium Bandaraya.

Buat masa ini posisi bek kiri antara yang menjadi isu di dalam pasukan negara kerana terlampau bergantung kepada keberadaan Corbin Ong. Piala Malaysia boleh menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula Tommy di arena bola sepak negara.

3. Danial Amier (JDT)

Beberapa musim lalu perpindahan Danial Amier dari Felda United ke JDT pernah mendapat liputan meluas media tempatan. Itu sudah cukup untuk menjelaskan potensi Danial Amier sebagai salah seorang pemain tengah berbakat di negara ini.

Selepas ditangguhkan selama semusim, Danial akhirnya diumumkan sebagai pemain JDT pada Disember 2020.

”Kalau nak cakap pasal duduk di bangku simpanan, dekat mana-mana pasukan pun kalau kita tak bagi komitmen 100 peratus dan tak merebut tempat, kita tetap akan duduk di bangku simpanan,” itu adalah antara kata-kata Danial ketika menjawab soalan wartawan mengenai penghijrahannya pada ketika itu.

Musim 2021 bagaimanapun menyaksikan Danial Amier tampil hanya dalam dua perlawanan Liga Super, menentang Melaka United pada 2 April, dan Perak FC pada 31 Julai lalu.

Dipilih untuk membarisi kesebelasan utama JDT dalam perlawanan pertama Kumpulan D, Danial Amier membuktikan kemampuannya dengan “wonder assist” yang disempurnakan Safawi Rasid untuk gol kedua skuad Harimau Selatan menentang Kelantan FC.

Persembahan dan prestasi yang sama bersama JDT pasti akan terus menambah keyakinan Benjamin Mora untuk menurunkan beliau dan menjadi tunjang pemain tengah JDT pada masa hadapan.

4. Akram Mahinan (KL City FC)

Akram Mahinan boleh dianggap sebagai salah seorang pemain tengah yang underated dari segi kemampuannya. Penampilan pemain ini khususnya bersama skuad kebangsaan sering kali mendapat kritikan, yang adakalanya kurang adil.

Masalahnya tidak ramai yang memahami peranan pemain seperti Akram. Sepanjang aksi Liga Super musim ini, Akram telah melakukan 20 penampilan bersama KL City FC, dan membantu skuad warga kota itu melalui antara musim paling konsisten dalam sejarah kelab.

Prestasi baiknya bersama KL City FC turut mendapat perhatian Tan Cheng Hoe untuk disenaraikan kembali ke dalam skuad negara bagi menghadapi aksi perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan pada Oktober hadapan.

Aksi konsisten berterusan bersama KL City FC di pertandingan Piala Malaysia musim ini pasti akan membantu mengingatkan kepentingan dan peranan Akram sebagai salah seorang defensive midfielder terbaik negara.

5. Faisal Halim (Terengganu FC)

Kali terakhir Faisal Halim menyarung jersi skuad kebangsaan Harimau Malaya ialah pada 2019 dalam perlawanan kelayakan pusingan pertama menentang Timor Leste. Selepas itu prestasi Faisal Halim mengalami turun naik bersama Terengganu FC.

Penghijrahan ke Terengganu FC pada musim 2021 pula menyaksikan tumpuan peminat bola sepak tanah air lebih tertumpu kepada prestasi Hakimi Abdullah, tatkala prestasi Faisal tidak seperti diharapkan pada ketika harapan diletakkan di bahunya.

Beraksi dalam semua 22 perlawanan Liga Super untuk pasukan baharunya itu pada musim ini, Faisal kini kembali mendapat perhatian Ketua Jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe untuk kalendar perlawanan anatarabangsa seterusnya.

Berjaya menjaringan satu gol ketika membantu Terengganu FC menewaskan Kuching City FC 2-0, pentas Piala Malaysia dilihat sebagai pentas terbaik untuk pemain berusia 23 tahun itu mendiamkan pengkritiknya.

Saingan untuk tempat di posisi sayap kanan sememangnya tidak mudah di dalam skuad kebangsaan. Namun jika Faisal mampu menghadirkan aksi konsisten untuk Terengganu, maka ini adalah peluang terbaik untuk beliau membuktikan diri sebagai antara penyerang sayap terbaik di dalam negara.

Rumusan

Mampukah lima pemain di atas terus menyinar sepanjang saingan Piala Malaysia. Sebagai peminat bola sepak tanah air, sudah tentu itulah yang kita harapkan.

Apa pula pandangan anda? Nyatakan ia di ruangan komen melalui platform yang kami sediakan.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN