5 Pemain Yang Bakal Menjadi Tumpuan Dalam Perebutan Gelaran Capocannoniere

Capocannoniere

Tinggal dua minggu lagi sepak mula saingan Serie A bagi musim 2018/19 akan bermula.

Kesungguhan kelab-kelab dari Itali merekrut pemain-pemain bintang bersama pasukan mereka telah berjaya memecah dominasi perpindahan pemain di Eropah pada musim ini.

Ianya sekaligus memberi gambaran awal bahawa saingan Serie A musim hadapan bakal menjadi medan pertarungan paling menarik untuk disaksikan seluruh peminat bola sepak di dunia.

Tidak hanya pasukan, tumpuan juga bakal terarah kepada bintang-bintang serangan pasukan bagi melihat siapakah diantara mereka yang mampu merebut gelaran ‘Capocannoniere’ yakni anugerah penjaring gol terbanyak dalam saingan Serie A.

Berikut merupakan 5 calon pemain yang bakal menjadi tumpuan dalam perebutan tersebut;  

1. Cristiano Ronaldo ( Juventus )


Musim terakhir (2017/18) Cristiano Ronaldo di saingan La Liga menyaksikan beliau menerima hakikat apabila tewas ke atas seteru utama iaitu Lionel Messi bagi perebutan gelaran penjaring gol terbanyak dalam saingan tersebut.

Ronaldo hanya berjaya menjaringkan 24 gol sementara Messi meninggalkannya dengan jumlah beza sebanyak 8 gol dihadapan.

Namun begitu, ianya masih dianggap sebagai satu pencapaian yang baik buat Ronaldo jika melihat dengan usianya yang sudah menjangkau 33 tahun.

Ronaldo yang membawa reputasi gah sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman skuad Los Blancos diramal tidak akan mengambil tempoh masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak di Itali khususnya bersama pasukan Juventus.

Pastinya kehadiran Ronaldo akan memberi ancaman terbesar kepada benteng pertahanan lawan di Serie A.

2. Gonzalo Higuaín ( Ac Milan )


Sentuhan Gonzalo Higuaín di Itali tidak perlu diragukan lagi.

Rekod cemerlang bersama Napoli dengan menghasilkkan 71 gol dalam 104 penampilan membuatkan namanya kembali ‘meletup’ sehingga kelab gergasi Itali, Juventus membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat beliau.

Ketika menyertai Juventus, Higuaín berhasil meneruskan prestasi terbaiknya itu.

Beliau berjaya menjaringkan 24 gol sekaligus meletakkan pemain Argentina itu menduduki tempat keempat sebagai penjaring gol terbanyak dalam saingan pada musim tersebut.

Akan tetapi, prestasi cemerlang Higuaín sedikit merudum di musim keduanya bersama Juventus apabila beliau hanya berjaya menjaringkan 16 gol sahaja.

Selepas menjalani perjalanan selama dua musim di Juventus, Higuaín meninggalkan kelab tersebut dan menyertai Ac Milan secara pinjaman selama semusim dengan nilai kos perpindahan sebanyak 18 juta euro (RM85 juta).

Melihat rekod jaringan yang cemerlang sepanjang 6 tahun di Itali membuatkan Higuaín turut berada dalam senarai antara calon pemain yang mampu meraih gelaran penjaring gok terbanyak Serie A musim baharu nanti.

3. Ciro Immobile ( Lazio )


Immobile pernah menghadapi musim-musim sukar sebelum bersama Lazio, antaranya ketika beraksi di Bundesliga semasa menyertai kelab Borussia Dortmund.

Beliau terpaksa bersaing dengan Marco Reus dan Pierre-Emerick Aubameyang untuk merebut posisi utama serangan pasukan.

Immobile hanya berpeluang beraksi dalam 24 perlawanan bersama Dortmund sebelum beliau dipinjamkan secara sementara ke Sevilla dan kemudian menjadi pemain tetap buat pasukan tersebut.

Namun, Immobile turut menghadapi nasib yang sama di Sepanyol . Beliau kemudiannya dipinjamkan ke Torino pada pertengahan musim 2016.

Kembalinya Immobile ke Itali telah mencetuskan semangat ‘kebangkitan’ pada dirinya. Bersama Torino, beliau sempat mencetak 5 gol dalam 14 penampilannya.

Pengurus Lazio, Simone Inzaghi melihat akan kemampuan yang dimiliki Immobile dan beliau yakin pemain itu mampu menjadi penyerang yang hebat jika diberikan peluang dalam kesebelasan utama.

Inzaghi amat berminat untuk mendatangkan Immobile ke Lazio dan meminta kelabnya membuat tawaran keatas Sevilla untuk mendapatkan khidmat Immobile.

Ciro Immobile meninggalkan Sevilla untuk menyarungi jersi Lazio dengan jumlah yuran perpindahan yang tidak didedahkan.

Ternyata, tindakan Inzaghi membawa Immobile tidak menjadi satu perkara yang sia-sia.

Beliau berjaya meledak 23 gol pada musim pertamanya (2016/17) bersama kelab tersebut.

Dan aksi Immobile lebih hebat pada musim kedua apabila berjaya menduduki carta teratas pemain terbanyak menjaringkan gol di Serie A dengan mengumpul 29 gol, berkongsi jumlah bersama Marco Icardi.

4. Dries Mertens ( Napoli )


Dries Mertens telah berjaya membuktikan bahawa dirinya antara penyerang berkelas dunia ketika ini.

Berjaya menjaringkan 46 gol dalam dua musim terakhir di saingan Serie A merupakan satu pencapaian luar biasa dari pemain kelahiran Belgium itu.

Sejak pertama kali tiba di Napoli pada tahun 2013, Mertens pada awalnya dinamakan sebagai penyerang simpanan kepada Gonzalo Higuain dan José Callejón

Apabila Napoli menggumumkan Maurizio Sarri sebagai pengurus baharu bagi menggantikan Rafael Benítez, Mertens menjadi pemain paling penting dibarisan serangan pasukan.

Hal ini terbukti apabila beliau berjaya mencipta sebanyak 18 jaringan gol sepanjang musim 2017/18.

Musim 2018/19 ini, Carlo Ancelotti sudah pasti amat bergantung kepada sentuhan penyerang sensasi dari Belgium itu .

5. Mauro Icardi ( Inter Milan )


Sehingga hari ini, Inter Milan berusaha keras untuk mempertahankan penyerang sensasi mereka, Mauro Icardi agar tidak meninggalkan kelab itu pada musim ini.

Real Madrid dan Chelsea antara kelab yang sedang bersaing hebat untuk merebut penyerang dari argentina tersebut.

Musim 2017/18 merupakan musim cemerlang bagi dirinya.

Pemain berusia 25 tahun itu telah berjaya menghasilkan 29 gol dalam 34 perlawanan di Serie A dan menjadi penjaring terbanyak bersama Ciro Immobile.

Sementara itu, Inter Milan telah berjaya menandatangani pemain tengah kelahiran Belgium, Radja Nainggolan AS Roma dengan kontrak selama empat tahun serta bayaran perpindahan 38 juta Euro (RM178.59 juta).

Sudah pasti kehadiran Nainggolan mungkin akan memberi sedikit kelebihan buat Icardi dengan harapan pemain itu dapat membantunya mencetak lebih banyak gol pada musim hadapan.

Jika Icardi masih kekal bersama The Nerazzurri, maka tidak hairanlah jika beliau mampu mengekalkan rekod penjaring gol terbanyak yang pernah dilakukannya musim lalu.

Penutup

Sebenarnya ramai lagi pemain-pemain hebat yang berpotensi untuk merangkul gelaran kasut emas tersebut.

Antaranya Edin Džeko, Paulo Dybala, dan Giovanni Simeone.

Apa yang pasti, peminat bola sepak di seluruh dunia sudah tidak sabar untuk menyaksikan pertempuran pasukan-pasukan gergasi Itali bagi merebut gelaran Serie A musim hadapan.

Persoalan siapakah pemain yang bakal menyerlah bagi membantu pasukan masing-masing? Itu semua, sama-sama kita nantikan!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN