5 Pemain Terbaik Liverpool Ketika Beraksi Bertemu Inter Milan

Liverpool meneruskan rentak kemenangan mereka dalam saingan Champions League, selepas kejayaan menewaskan Inter Milan 2-0 di San Siro awal pagi tadi.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu turun bertemu Inter Milan di pusingan 16 terbaik saingan Champions League musim ini.

Roberto Firmino dan Mohamed Salah berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut, seterusnya membantu Liverpool mencatatkan kemenangan ketujuh berturut-turut dalam saingan Champions League.

Liverpool sememangnya turun sebagai calon kegemaran dalam perlawanan ini, dek kerana rentak cemerlang yang mereka persembahkan ketika aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, untuk mencatatkan kemenangan 2-0 di San Siro bukanlah satu tugas mudah untuk anak-anak buah Jurgen Klopp itu.

Pada awal permainan pasukan pelawat nampak sukar untuk memecah kebuntuan dan kerap kali juga hilang penguasaan bola.

Inter Milan sendiri turut beberapa kali berpeluang untuk memperoleh gol dalam perlawanan ini, namun sayangnya mereka gagal untuk menewaskan Alisson Becker.

Liverpool sememangnya pasukan yang memiliki lebih banyak kesempatan untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini, namun mereka hanya mampu merobek gawang Inter pada minit ke-75 permainan.

Pemain gantian, Roberto Firmino berjaya menanduk masuk bola hantaran cantik dari Andy Robertson untuk gol pertama Liverpool dalam perlawanan ini.

Beberapa minit selepas itu giliran Mo Salah pula yang mencatat nama sebagai penjaring gol dengan bintang Mesir itu disajikan dengan peluang dari dalam kotak untuk meletakkan Liverpool dua gol dihadapan.

Walau para pemain Liverpool tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka, namun harus diakui ada antara mereka yang berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Berikut merupakan lima pemain Liverpool paling cemerlang sepanjang aksi bertemu Inter Milan awal pagi tadi.

5) Ibrahima Konate

Bintang berusia 22 tahun, Ibrahima Konate turun sebagai pemain utama dalam perlawanan ini dengan beliau digandingkan dengan Virgil Van Dijk di posisi centre-back.

Walaupun jarang diturunkan untuk beraksi, namun harus diakui yang bekas bintang RB Leipzig itu sering mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mantap ketika beliau diturunkan.

Konate tidak menghadapi sebarang masalah ketika berdepan ancaman dari gandingan Lautaro Martinez dan Edin Dzeko sepanjang perlawanan tersebut.

Beliau menggunakan kelebihan fizikal yang dimiliki olehnya untuk menewaskan Martinez dan mengasak Dzeko ketika berdepan situasi perebutan bola udara.

Pada minit ke-62 permainan, beliau berjaya menghentikan serangan dari Dzeko dengan menghalang bola rembatan kaki kanan penyerang Inter Milan itu menggunakan tubuhnya.

Persembahan yang sungguh luar biasa mantap dari pemain pertahanan muda Liverpool itu, dan beliau jelas sekali tidak ada masalah untuk bermain dalam perlawanan besar dan penting.

4) Roberto Firmino

Diogo Jota telah dinamakan sebagai pemain utama Liverpool dalam perlawanan yang dilangsungkan di San Siro itu.

Bintang Portugal itu walau bagaimanapun bergelut dengan masalah kecederaan dan menyebabkan Jurgen Klopp terpaksa mengeluarkan beliau pada aksi babak kedua dan memasukkan Roberto Firmino.

Seperti magis, bintang Brazil itu berjaya membawa impak segera dengan mengubah corak build up serangan Liverpool dalam perlawanan tersebut.

Kemasukan beliau jelas sekali membantu jentera serangan Liverpool untuk jadi lebih berkesan dan mengancam.

Pada minit ke-75 permainan, pemain kebangsaan Brazil itu berjaya melakukan apa yang sangat diharapkan untuk beliau lakukan, iaitu memecah kebuntuan.

Beliau cemerlang menyempurnakan bola hasil hantaran dari Andy Robertson menerusi sudut sepakan penjuru untuk memastikan Liverpool mendahului permainan.

Beliau juga beberapa kali melancarkan siri serangan merbahaya ke kubu gawang gol Inter Milan, namun sayangnya tiada tambahan jaringan yang berjaya dijaringkan.

3) Mohamed Salah

Seperti kebiasaannya, wira handalan Liverpool, Mohamed Salah sekali lagi berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika bertemu Inter Milan.

Melihat kepada persembahan hebatnya sejak beberapa musim kebelakangan ini, jelas sekali para peminat turut mengharapkan sesuatu dari Mo Salah.

Walaupun ketika beliau tidak berada di tahap persembahan terbaiknya, bintang Mesir itu tetap akan setidak-tidaknya menyumbang satu gol atau assists.

Bertemu Inter Milan, Salah jelas sekali tidak berada di tahap terbaiknya, namun ketajaman dan kualiti penyudah yang beliau miliki jelas sangat membantu dan membuahkan hasil.

Alessandro Bastoni berjaya mengawal Salah dengan agak baik sepanjang aksi babak pertama dan awal babak kedua dalam perlawanan ini, dan sentiasa menggagalkan usaha bekas bintang Roma itu untuk melancarkan serangan.

Salah jelas bergelut untuk menyumbang sesuatu kerana beliau benar-benar di kawal rapi, namun sedikit kelekaan sahaja dari barisan pertahanan Inter, penyerang Liverpool itu segera menghukum mereka.

Lapan minit selepas Roberto Firmino menjaringkan gol pembukaan untuk Liverpool, giliran Salah pula yang memanfaatkan ruang tanpa kawalan dari pemain Inter untuk melepaskan rembatan dari dalam kotak, seterusnya menghasilkan gol kedua The Reds.

Ia merupakan penampilan ke-50 beliau dalam saingan Champions League, dengan gol jaringannya itu pula merupakan gol ke-24 beliau sepanjang musim ini.

2) Andy Robertson

Pemain left-back Liverpool, Andy Robertson beraksi dengan sangat cemerlang di sudut sebelah kiri padang ketika bertemu Inter Milan.

Beliau senantiasa berada di bawah ketika membantu barisan pertahanan dan kerap naik ke atas untuk membantu jentera serangan.

Sepertinya kebiasaannya, Robertson menunjukkan aksi tak pernah kenal erti penat dengan beliau akan senantiasa mengejar bola dan menghantar bola yang cantik kepada jentera serangan.

Pada aksi babak pertama, beliau berjaya mencipta hantaran yang sungguh berkualiti untuk Sadio Mane, namun sayangnya bintang Senegal itu gagal memanfaatkan percubaan tersebut.

Robertson sendiri tidak dinafikan ada melakukan beberapa kesilapan dengan melepaskan bola kepada pemain lawan, namun harus diakui sumbangan beliau dalam perlawanan ini lebih banyak berbanding kesilapan yang beliau lakukan.

Beliau berjaya mencatatkan assists untuk gol yang dijaringkan oleh Roberto Firmino pada minit ke-75, dengan Robertson sememangnya memiliki kualiti hantaran yang tidak boleh dipertikaikan.

1) Virgil van Dijk

Mohamed Salah, Sadio Mane dan Diogo Jota kesemuanya pernah mendominasi skuad Liverpool sepanjang musim ini, dengan mereka dipuji atas aksi hebat yang dipamerkan.

Semua orang kagum dan teruja dengan ketajaman mereka menjaringkan gol namun tak ramai yang melihat bagaimana kentalnya Van Dijk menjaga barisan pertahanan Liverpool.

https://twitter.com/AnfieldWatch/status/1494246086982184960?t=P52hteSTR1n96d9L5rMIjw&s=19

Dalam aksi bertemu Inter Milan, Virgil Van Dijk tidak dinafikan lagi sememangnya telah mempamerkan aksi persembahan terbaiknya setakat musim ini.

Walaupun berdepan dengan ancaman dari Lautaro Martinez dan Edin Dzeko, Van Dijk dilihat langsung tidak terkesan dan nampak terlalu mudah mengawal dua penyerang terbaik Eropah itu.

Kelajuan yang dimiliki oleh pemain kebangsaan Belanda itu jelas sekali tak mampu ditandingi oleh jentera serangan Inter Milan yang sering dipintas olehnya.

Van Dijk turut mempamerkan aksi gandingan yang sangat mantap bersama Ibrahima Konate di posisi pertahanan.

Gandingan mereka juga dilihat terlalu kebal dan terlalu sukar untuk ditewaskan, dan Virgil Van Dijk juga turut dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN