Lionel Messi dikatakan sudah pun berada di Paris untuk memuktamadkan masa depannya bersama Paris Saint-Germain (PSG), sebelum pemain itu terbang semula ke Catalonia untuk makan malam dan majlis perpisahan lewat petang ini bersama bekas rakan sepasukan di Barcelona.
Ini bermakna perpindahan Messi ke PSG semakin menjadi kenyataan. Semua pihak di PSG, terutama penyokong pasti gembira dengan perkembangan ini.
Namun bagi lima pemain lain seperti yang ada di dalam senarai ini, ketibaan Messi mungkin membawa khabar duka – sama ada atas sebab kewangan kelab atau kerana harus memberi laluan kepada Messi.
Pablo Sarabia
Pablo Sarabia berhijrah menyertai PSG pada musim panas 2019. Pemain berusia 29 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun, yang bererti kontraknya hanya akan tamat pada 2024.
Pemain yang didatangkan dari Sevilla ini gagal mendapatkan tempat di dalam kesebelasan itama pada tahun pertamanya di Ligue 1. Sehingga kini, Sarabia merekodkan penampilan sebanyak 78 kali, menghasilkan 21 gol, dan menyumbangkan 12 assist disemua pertandingan sejak dua musim lalu.
Pablo Sarabia will wear the No.19 shirt at Paris Saint-Germain. (Source: @PSG_inside) pic.twitter.com/0ZDclbCtcL
— Transfer News Live (@DeadlineDayLive) July 5, 2019
Ketibaan Messi ke PSG sudah mewujudkan khabar angin jersi No.19 miliknya bakal diambil oleh penyerang dari Argentina itu.
Pada usia 29 tahun, besar kemugkinan Sarabia menjadi pemain tidak diperlukan dan akan dijual dengan segera sekiranya ada kelab yang berminat untuk mendapatkan pemain itu.
Julian Draxler
Julian Draxler secara rasmi menyertai PSG pada Januari 2017, selepas musim yang cemerlang bersama Wolfsburg. Namun sejak tiba di Parc des Princess, pemain berusia 27 tahun ini gagal menampilkan prestasi yang sama ketika beraksi di Bundesliga.
Selama lebih dari empat tahun, Draxler dianggap gagal menghadirkan impak di PSG. Draxler telah melakukan 34 penampilan untuk PSG di semua pertandingan pada 2020/21.
Sepanjang tempoh itu beliau hanya terlibat dalam 11 gol, mencetak empat dan membuat tujuh assist. Walaupun kontrak Draxler telah dilanjutkan sehingga 2024 pada Mei lalu, PSG tidak akan ragu untuk melepaskan pemain ini demi untuk membiayai kos Lionel Messi.
Mauro Icardi
Mauro Icardi menyertai PSG pada 2019 dari Inter Milan. Pemain kelahiran Argentina ini dibawa masuk untuk menggantikan Edinson Cavani yang tamat kontrak dan meneruskan karier bersama Manchester United.
Musim pertama di Paris, pencapaian penyerang berusia 28 tahun ini boleh dianggap sebagai satu kejayaan apabila mengakhiri musim 2019-20 dengan 20 gol dan empat assist dari 34 penampilan.
Sayangnya pada musim berikutnya, Icardi hanya mampu mencetak 13 gol dan menyumbang empat assist. Mustahil bagi pengendali pasukan untuk melihat Icardi sebagai pilihan utama penyerang tengah dan membelakangkan Messi.
Juga sukar untuk menggandingkan kedua-dua pemain serentak, kerana taktik itu sering kali tidak menjadi sepertimana ketika kedua-duanya beraksi bersama Argentina.
Angel di Maria
Pemain sayapArgentina ini didatangkan PSG pada tahun 2015 dari Manchester United. Berusia 33 tahun, Di Maria sememangnya melalui karier yang tidak menentu sejak dari mulanya.
Peranan pemain ini di Real Madrid kurang didendang, kegagalannya di Inggris bersama Manchester United pula adalah yang paling dikenang. Di Maria sentiasa bertanggapan PSG adalah kelab yang paling sesuai buat dirinya.
Sehingga kini Di Maria telah merekodkan 88 gol dan 118 assist dari 264 penampilan bersama PSG, tetapi usia bukan di pihak pemain ini.
Sebagai rakan senegara, Pochettino mungkin mahu meletakkan Di Maria di bahagian kiri bahagian tengah untuk pemain itu beraksi di dalam kesebelasan utama yang sama dengan Messi. Pilihan lain, ialah jualkan saja Di Maria selagi pemain itu masih mempunyai nilai untuk menampung kos dibelanjakan untuk Messi.
Kylian Mbappe
Selain Icardi, Kylian Mbappe harus bersaing untuk beraksi kerana bermain di posisi yang sama dengan Messi.
Pemain berusia 22 tahun ini menyertai PSG dengan status pinjaman pada 2017, sebelum menandatangani kontrak tetap pada 2018 dan merupakan pemain termahal kedua selepas Neymar.
Mbappe kini enggan menyambung kontrak sedia ada berbaki setahun. Beberapa sumber berkata Mbappe begitu ingin berhijrah ke Real Madrid.
PSG pasti enggan mengambil risiko hilang khidmat pemain tersebut secara percuma pada musim panas akan datang. Menjual Mbappe itu pada musim panas ini turut akan menyelesaikan masalah siapa penyerang utama PSG pada musim ini.
Penutup
Satu perkara yang pasti ada pihak terpaksa dikorbankan oleh PSG demi merealisasikan perpindahan Messi ke Paris.
Adakah usaha PSG mengikat Messi berbaloi? Hanya masa yang akan menentukannya.