Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri membuktikan beliau bukan hanya seorang ‘penembak’ tetapi lebih efisien bertugas.
Dalam kemenangan 7-0 ke atas Negeri Sembilan FC malam tadi, Forestieri bukan sahaja mencipta dua gol, malah turut hasilkan satu bantuan gol.
Penyerang berusia 33 tahun itu adalah pemain yang membuka tirai pesta jaringan di Paroi, di minit ke-21, menerusi tandukkan deras hasil sepakan percuma yang diambil oleh Leandro Velazquez. Sebelum jaringannya itu, JDT seolah-olah bakal melalui malam yang sukar berdepan ‘The Jangs’.
Sebaik sahaja beliau membuka akaun jaringan perlawanan malam tadi, JDT seolah-olah menjadi lupa diri dan berterusan menggegar gawang gol lawan.
Gol kedua peribadinya dan ketiga JDT pula diledak hasil sepakan penalti yang diperolehi pada minit ke-49. Itu adalah dua jaringannya semalam.
Menurut semakan di laman web Malaysian Football League (MFL), ini adalah lima pemain yang merekodkan jumlah percubaan terbanyak.
- Sony Norde (Terengganu) – 15 percubaan / 0 percubaan tepat
- Fernando Forestieri (JDT) – 12 percubaan / 8 percubaan tepat
- Adriano (Penang) – 11 percubaan / 2 percubaan tepat
- Ivan Mamut (Terengganu) – 11 percubaan / 3 percubaan tepat
- Willian Lira (Kedah Darul Aman) – 11 percubaan / 1 percubaan tepat
Dan di kalangan lima pemain ini, hanya Forestieri yang merekodkan statistik lebih baik dari segi percubaan tepat. Beliau melakar lapan percubaan tepat dan dua daripadanya menghasilkan gol. Tambah menarik, di kalangan lima terbaik itu, hanya Forestieri dari pasukan yang berada di ‘top’ 5 Liga Super.
Jadi, apa yang berlaku kepada empat lagi pemain dalam senarai tersebut? Terengganu ada dua wakil, Sony Norde dan Ivan Mamut, namun selepas tiga perlawanan, tiada gol lagi mampu dijelmakan Sang Penyu ketika ini.
Waima Sony memiliki percubaan tertinggi dalam senarai tersebut, tetapi semuanya adalah percubaan tersasar berbanding Mamut yang membuat tiga percubaan tepat daripada 11 percubaan yang berjaya dilakarnya.
Adriano juga tumpul walaupun merupakan pemain ketiga tertinggi melakar percubaan terbanyak. Malah percubaan tepatnya cuma dua sahaja.
Lira mungkin sedikit bertuah berjaya menjaringkan satu gol daripada 11 percubaannya, tetapi hanya mampu membuat satu percubaaan tepat.
Statistik ini mungkin tidak mengejutkan jika melihat jumlah sentuhan bola di dalam kotak penalti lawan. Dua minggu berturut-turut, Terengganu adalah ‘top’ 2 pasukan yang merekodkan jumlah sentuhan bola dalam kotak penalti lawan. Jadi, peluang untuk mereka melakar gol sebenarnya sangat tinggi.
Sentuhan Dalam Kotak Lawan #LS3
1️⃣ JDT, 30
2️⃣ TFC, 23
3️⃣ SFC, 21
4️⃣ KUN, 20
5️⃣ PNG, 20— Atlead Pass (@AtleadPass) March 7, 2023
Mungkin aspek sentuhan akhir perlu diberikan fokus utama pada ketika ini oleh Tomislav Steinbruckner untuk membolehkan jaringan terhasil.
Agak mengejutkan melihat senarai ini apabila ia didominasi oleh pemain-pemain daripada pasukan yang jentera depannya kurang efektif setakat ini. Ini menjadikan hanya Forestieri lebih efisien apabila membuat banyak percubaan serta memanfaatkan hampir kesemuanya – 66.7 peratus.
Pemain-pemain lain dalam senarai tersebut, mungkin hanya membuat percubaan melulu dan mensia-siakan peluang yang dimiliki oleh mereka.
Statistik ini tidak mencerminkan keberkesanan jentera depan sesebuah pasukan. Tetapi, ia hanyalah perbandingan bagaimana pemain yang memiliki banyak percubaan dan mensia-siakannya, bukan hanya satu atau dua, malah ada yang semua percubaan telah disiakan dengan rembatan liar.
Jika mahu memenangi perlawanan, setiap percubaan mestilah tepat dan tentunya meledak gol adalah satu kemestian. Bak kata watak Sarjan Razak dalam filem Darah Satria hasil lakonan A Galak, “Setiap pertempuan, satu peluru, satu musuh“. Jadi, janganlah disia-siakan setiap percubaan dimiliki.