5 Pemain Yang Tak Jadi Bersara Untuk Bantu Pasukan Kebangsaan

Anda pasti pernah mendengar kisah Allayarham Mokhtar Dahari yang pernah bersara dari skuad kebangsaan kemudian main semula kan? Tapi tahukah anda insiden tersebut berlaku sebanyak dua kali? Apa sebabnya?

Kali ini kami akan menampilkan kisah 5 pemain yang tak jadi bersara untuk membantu pasukan kebangsaan mereka – termasuklah kisah Mokhtar Dahari yang bersara sebanyak tiga kali!

1. Zinedine Zidane (Perancis)

Zinedine Zidane of France during the Soccer World Cup Final between Brazil and France on July 12 1998 in Paris Saint Denis, France.
Photo : Eric Renard / Onze / Icon Sport

Selepas 10 tahun menabur bakti untuk Les Bleus, Zinedine Zidane mengumumkan persaraannya pada Ogos 2004 ketika berusia 32 tahun. 

Zidane mengumumkan persaraannya selepas Perancis tersingkir dari EURO 2004, ditewaskan 0-1 oleh Greece yang kemudiannya menjadi juara kejohanan tersebut. Beliau mengikut jejak langkah Lilian Thuram, Bixente Lizarazu dan Marcel Desailly yang turut bersara selepas EURO 2004.

Karier Zidane bersama Les Bleus sangat dikenang oleh peminat bola sepak atas kejayaannya merangkul kejuaraan Piala Dunia 1998 dan EURO 2000. Dalam tempoh itu, beliau tiga kali memenangi Anugerah Pemain Terbaik FIFA dan sekali menjulang anugerah Ballon d’Or.

Bagaimanapun segalanya berubah ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2006.

Menyedari skuad Perancis kekurangan pemimpin dalam bilik persalinan, pengurus Perancis Raymond Domenech memujuk Zidane untuk kembali menyarung jersi Les Bleus. Turut diajak keluar dari persaraan adalah Claude Makekele dan Thuram.

Zidane bersetuju. Begitu juga dengan Makelele dan Thuram. Sekembalinya beliau ke dalam pasukan kebangsaan, Zidane terus diberikan jawatan kapten.

Inspirasi Zidane di atas padang dan dalam bilik persalinan sangat jelas apabila berjaya membantu Perancis layak sehingga ke perlawanan akhir Piala Dunia 2006.

Bagaimanapun beliau gagal mengakhiri karier antarabangsanya dengan nota ceria selepas ia dicemari oleh insiden kad merah kerana menanduk Marco Materazzi. Tak cukup dengan itu, Perancis turut tewas penentuan penalti 3-5 kepada Itali selepas terikat 1-1 dalam 120 minit aksi.

Meskipun begitu, sumbangan beliau untuk Perancis dalam Piala Dunia 2006 tetap tidak dipandang sepi oleh FIFA. Selepas perlawanan akhir tersebut, Zidane dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia 2006.

2. Henrik Larsson (Sweden)

 

Henrik Larsson terkenal dengan naluri pembunuhnya dalam kotak penalti. Pernah mewakili Sweden dalam tiga edisi Piala Dunia dan tiga edisi EURO Championship, Larsson juga pernah dua kali keluar dari persaraannya di peringkat antarabangsa.

Kali pertama adalah selepas cemerlang membantu Sweden dalam kempen Piala Dunia 2002. Sweden mara hingga ke pusingan kalah mati sebelum tewas kepada Senegal. Selepas kekalahan itu, Larsson mengumumkan persaraan.

Tetapi persaraan Larsson turut bermakna Sweden kekurangan penggempur berkaliber untuk EURO 2004. Selepas dipujuk oleh pengurus Sweden, Lars Lagerback untuk membantu negara Scandivania itu dalam EURO 2004, beliau bermain sekali lagi.

Kelas Larsson nyata belum hilang walaupun sudah bersara. Dalam EURO 2004, Henrik cemerlang menjaringkan tiga gol sepanjang kejohanan untuk membantu Sweden mara ke pusingan kalah mati – sekali lagi dalam kejohanan besar selepas Piala Dunia 2002.

Selepas disingkirkan Belanda di suku akhir, Larsson terus mengumumkan persaraan.

Menjelang kempen Piala Dunia 2006, Larsson sekali lagi dipujuk untuk menyertai Sweden sebagai polisi insuran memandangkan Sweden kekurangan penyerang berkaliber. Beliau bersetuju.

Sekali lagi Larsson menunjukkan mengapa Lagerback mati-mati mahukannya dalam skuad. Jaringan minit akhir beliau ke atas England membantu Sweden mara ke pusingan kalah mati.

Selepas tamat kempen Piala Dunia 2006, beliau memberitahu jika Sweden mara ke EURO 2008, beliau akan terbuka menerima panggilan skuad kebangsaan. Mungkin dah bosan rasanya terpaksa keluar persaraan sebanyak dua kali. Sweden mara lagi ke EURO 2008 dan Larsson menyertai skuad mereka.

Dalam EURO 2008, beliau bermula dalam semua tiga perlawanan peringkat kumpulan. Namun Sweden tersingkir awal. Pulang dari EURO 2008, Larsson mengumumkan persaraannya buat kali ketiga dan terakhir. 

3. Jamie Carragher (England)

Pertahanan Liverpool yang pada ketika itu berusia 32 tahun sudah pun mengumumkan persaraannya sebelum ini pada tahun 2007 selepas sering diketepikan oleh England. Carragher pada mulanya menolak, tetapi rayuan dari England FA melembutkan hatinya.

Dalam Piala Dunia 2010, Carragher dapat bermain dalam dua perlawanan peringkat kumpulan. Walaupun tidak beraksi di peringkat kalah mati, Carragher tetap berpuas hati dapat membantu negaranya.

Selepas Piala Dunia 2010, beliau mengumumkan persaraan beliau. Dan kali ini bukan main-main.

4. Claude Makelele (Perancis)

Tidak tersenarai dalam skuad Perancis dalam Piala Dunia 1998, Claude Makelele kemudiannya menjadi pemain penting dalam kejohanan besar pertama beliau; Piala Dunia 2002 dan seterusnya; EURO 2004.

Selepas EURO 2004, Makelele memutuskan untuk bersara dari peringkat antarabangsa kerana mahu fokus kepada karier di Chelsea.

Tetapi seperti Zidane dan Thuram, pemain tengah defensif ini terpaksa akur dengan pujukan Raymond Domenech untuk keluar dari persaraan. Misi yang diberi oleh Domenench kepadanya adalah membantu skuad Perancis yang dilihat bergelut di peringkat kelayakan Piala Dunia 2006.

Selepas layak ke peringkat kumpulan, Makelele dan Zidane menunjukkan mengapa Domenech memerlukan mereka di tengah. Perancis menjadi pasukan berbeza dengan kehadiran mereka berdua sehingga mampu mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2006.

Selepas tewas perlawanan akhir tersebut, Makelele sekali lagi memikirkan untuk bersara. Tetapi Domenech merayu agar beliau menangguhkannya dahulu. Ini kerana Domenech melihat Makelele boleh menjadi pemimpin di bilik persalinan susulan persaraan Zidane.

Makelele bersetuju dan beraksi untuk Perancis dalam EURO 2008. Selepas pulang awal pada temasya tersebut, Makelele bersara sepenuhnya dari peringkat antarabangsa.

5. Mokhtar Dahari (Malaysia)

Mokhtar Dahari bersara buat kali pertama pada 1979. Ketika itu Malaysia baru sahaja memenangi pingat emas Sukan SEA. Keputusan tersebut dibuat selepas berhadapan dengan krisis prestasi kerana kecederaan lama.

Persaraan tersebut membuatkan Supermokh tidak terlibat dalam kempen kelayakan Olimpik 1980 yang bersejarah selepas turut tidak terpilih dalam skuad Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Dipetik dari laman Chedinsphere:

“Lagenda negara, Supermokh tidak terpilih ke Sukan Olimpik 1972 di Munich – kerana dikatakan masih mentah (19 tahun).”

“Mokhtar Dahari turut tidak beraksi sewaktu kelayakan Sukan Olimpik 1980, kerana bersara atas beberapa faktor (yang enggan diulas lanjut oleh Supermokh). Dalam temubualnya dengan Majalah Arena Bola Sepak pada 1986, Supermokh mengakui bahawa beliau merasa terkilan kerana tidak dapat bermain dengan pasukan kebangsaan sewaktu Kelayakan Olimpik 1980.”

Namun dek kerana Malaysia masih memerlukan sentuhan beliau, Supermokh dipujuk semula untuk mewakili Malaysia bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 1982 di Kuwait.

Malaysia beraksi hambar dalam pusingan kelayakan tersebut. Selepas tewas 1-2  kepada Korea Selatan, Harimau Malaya tumbang pula 0-4 kepada Kuwait. Satu-satunya mata yang dikutip oleh skuad negara pada ketika itu adalah ketika seri 2-2 menentang Thailand di perlawanan kumpulan terakhir.

Kecewa dengan kritikan oleh media selepas penyingkiran tersebut, Mokhtar Dahari bersara buat kali kedua.

Namun pada 1985, beliau sekali lagi terbuka pintu hatinya untuk membantu Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Dunia 1986 menentang Korea Selatan.

Malaysia tewas 0-2 dan ketika inilah Mokhtar Dahari bersara buat kali ketiga dan terakhir. Agak sedih apabila melihat kariernya bersama skuad kebangsaan berakhir dengan kekalahan.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai persaraan pemain:

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN