Pemain asing (import) mulai beraksi di kancah Liga Malaysia sejak lewat 80an. Antara pemain import terawal yang mewarnai kancah bola sepak tempatan ialah Ristomoyo Kassim (Selangor) dan juga Ronnachai Sayomchai (Pahang).
Kehadiran mereka sedikit sebanyak telah merancakkan saingan pada ketika itu. Antara pemain import yang telah memberi impak dan meniti di bibir peminat bola sepak tempatan ibarat tak lekang oleh panas, tak lapuk dek hujan ialah seperti Fandi Ahmad, Alan Davidson, Ervin Boban dan juga Alistair Edwards.
Kancah Liga Malaysia turut pernah menyaksikan kehadiran nama-nama besar bola sepak dunia. Pablo Aimar, Tony Cottee dan Emile Mbouh Mbouh adalah antaranya.
Perubahan kuota import
Di era semi pro, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membenarkan setiap pasukan yang bertanding menggunakan maksimum 3 pemain import.
Namun demikian FAM telah melaksanakan beberapa perubahan dalam peraturan bola sepak tempatan membabitkan pengambilan pemain import sejak beberapa tahun yang lalu.
Tahun 2009-2011 misalnya, FAM tidak membenarkan pemain import untuk beraksi dengan pasukan-pasukan yang bertanding di dalam Liga Malaysia.
Pada ketika itu kemeruduman prestasi skuad kebangsaan dikaitkan dengan kehadiran pemain import yang dikatakan menutup peluang pemain tempatan untuk menyinar.
Pada 2012 FAM terpaksa mengubah kembali polisi pengambilan pemain import, selepas saingan Liga Malaysia jelas hambar tanpa kehadiran mereka.
Ketika itu badan bola sepak negara itu membenarkan setiap pasukan untuk menggunakan 2 khidmat pemain asing, sebelum menambah kuota kepada 3 pemain pada musim berikutnya.
Bertujuan untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pasukan yang mampu berbuat demikian, tahun 2014 menyaksikan setiap pasukan dibenarkan menandatangani sehingga 4 pemain import, namun hanya 3 dibenarkan beraksi dalam setiap perlawanan.
Sejak penganjuran Liga Malaysia diambil alih oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) pada 2015, 4 pemain asing termasuk satu kuota daripada Asia dibenarkan sehinggalah ke musim 2017.
Dan untuk saingan Liga Malaysia 2018, 12 pasukan yang akan beraksi di Liga Super dibenarkan menambah 1 lagi kuota pemain import, khas daripada rantau ASEAN.
Ini menjadikan 5 pemain import dibenarkan beraksi untuk setiap pasukan mulai musim hadapan.
Reaksi berbeza
Pengumuman terbaru oleh FMLLP ini telah mendapat reaksi berbeza daripada pemerhati, penganalisis dan juga penyokong bola sepak tanah air.
Ada yang menyokong. Tidak kurang juga yang kurang bersetuju. Begitu juga dengan segelintir daripada mereka yang tampil dengan beberapa cadangan pengubahsuaian.
Baru-baru ini penulis melakukan satu tinjauan ringkas di laman media sosial Facebook mengenai penambahan kuota pemain import di dalam Liga Malaysia pada musim hadapan.
Artikel ini merumuskan kebaikan, keburukan serta cadangan daripada penyokong-penyokong bola sepak Malaysia.
1. Pro: Penambahan kuota kepada 3+1+1
Sebagai badan penganjur bola sepak tempatan, salah satu tanggungjawab FMLLP yang harus kita jelas ialah untuk mempromosi serta memperkasakan Liga Malaysia.
Tatkala Liga Thailand sudah mulai mengorak langkah mempromosikan liga bola sepak mereka di peringkat serantau dengan mewajibkan setiap pasukan bertanding memiliki pemain dari rantau ASEAN, tindakan yang sama oleh FMLLP turut boleh difahami.
Selain daripada merancakkan saingan bola sepak tempatan, langkah ini dipercayai mampu menarik penyokong dan juga penaja dari kalangan negara Asia Tenggara untuk terlibat sama mewarnai kancah bola sepak tempatan. Ini sekaligus bakal memartabatkan Liga Malaysia dari segi nilai pemasaran.
Salah satu sebab pengenalan sehingga 5 pemain import untuk musim hadapan juga ialah untuk kelab dan pasukan yang mewakili negara di pertandingan peringkat Asia mampu bersaing secara kompetitif.
Rata-rata pasukan yang bertanding turut menampilkan 5 pemain asing di dalam pasukan masing-masing. Jika pasukan daripada Malaysia mampu bersaing secara kompetitif, secara automatik gred Liga Malaysia turut boleh dinaikkan di mata Konfederasi Bola Sepak Asia (AFF).
Kehadiran pemain import turut dipercayai mampu meningkatkan kualiti pemain tempatan sedia ada. Pada masa ini, rata-rata pemain tempatan hanya beraksi di saingan liga tempatan.
Oleh itu, pengalaman beraksi dengan pemain asing hanya boleh diperolehi sekiranya Liga Malaysia membuka pintu kepada lebih ramai pemain asing.
Harapan kita sudah tentu pemain tempatan sedia ada mengambil kesempatan ini untuk belajar sebanyak mungkin daripada pemain asing, terutama dari aspek mentaliti sebagai pemain profesional yang kita harus akui berada di tahap berbeza.
Kehadiran pemain import pasti akan turut menghadirkan persaingan untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama pasukan. Namun aspek sebegini harus dipandang secara positif oleh pemain tempatan.
Mereka harus berusaha lebih gigih untuk memastikan mereka mampu bersaing dan beraksi setaraf atau lebih baik dari pemain import yang membarisi pasukan masing-masing.
Kehadiran lebih ramai pemain import di dalam pasukan turut mampu untuk menarik lebih banyak tajaan daripada syarikat-syarikat berkepentingan untuk tampil sebagai pemegang taruh.
Langkah ini sekaligus akan membantu persatuan dan kelab bola sepak di Malaysia untuk menjana pendapatan mereka sendiri dan tidak bergantung kepada dana kerajaan negeri semata-mata.
2. Kontra: Penambahan kuota kepada 3+1+1
Perkara yang paling membimbangkan kebanyakkan daripada kita ialah masa hadapan skuad kebangsaan. Kehadiran pemain import dikatakan mampu untuk menghalang peluang dan perkembangan pemain tempatan sendiri.
Ini adalah disebabkan kecenderungan jurulatih di Malaysia yang terlampau memandang tinggi akan kebolehan pemain import. Ini bukan perkara baru di dalam kancah saingan Liga Malaysia. Perspektif sebegini perlu diubah di kalangan pengendali di Malaysia.
Kita pernah menyaksikan pemain import tidak dibenarkan beraksi di pertandingan bola sepak tempatan di antara 2009-2011 kerana prestasi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa yang mengecewakan.
Hasilnya, muncul kelompok pemain seperti Safie Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Khairul Fahmi dan ramai lagi yang kembali membantu negara kembali dihormati sekurang-kurangnya di peringkat Asia Tenggara.
Kelompok pemain ini telah menjadi tunjang kepada kejayaan Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki 2010. Skuad muda negara turut menyerlah dengan muncul pemenang pingat emas acara bola sepak lelaki di Sukan SEA pada 2009 dan 2011.
Kita tidak pernah memenangi mana-mana pertandingan sejak daripada itu. Kebetulan atau tidak, pemain import kembali ke kancah Liga Malaysia mulai musim 2012.
Satu lagi kerisauan kita mengenai pengambilan sehingga 5 pemain import oleh setiap pasukan Liga Super pada musim hadapan ialah ia mampu menjejaskan ‘pool’ pemain tempatan untuk dipilih menyertai skuad kebangsaan.
Jika 5 pemain import membarisi kesemua 12 pasukan Liga Super, ini bermakna kita hanya memiliki 72 pemain yang beraksi secara konsisten pada setiap minggu untuk dipilih berada di dalam skuad kebangsaan dari divisyen teratas bola sepak kita.
Logiknya, setelah membayar jumlah gaji yang lebih tinggi kepada pemain import berbanding tempatan, pasukan manakah yang tidak akan menurunkan pemain import masing-masing?
Ia adalah sesuatu yang merugikan jika pasukan tidak menurunkan mereka di dalam perlawanan (jika cergas), walaupun pemain tempatan menunjukkan pretasi yang lebih memberangsangkan.
Antara persoalanan yang turut menjadi tanda tanya ialah: Mampukah setiap pasukan di dalam Liga Super membayar gaji sehingga 5 pemain asing?
Jangan nafikan. Aspek pengurusan bola sepak di Malaysia adalah antara yang terlemah di rantau ini dengan isu pembayaran gaji dan elaun pemain menjadi masalah yang tidak pernah menemui noktah.
Adakah FMLLP dan FAM menggalakkan isu yang memalukan bola sepak negara ini untuk berterusan?
Pemain import sudah tentu akan dibayar dengan gaji yang lebih tinggi. Namun demikian, ia tidak akan menjamin kejayaan. Industri bola sepak kita masih rapuh.
Berbelanja dengan sewenang-wenangnya dengan mengharapkan pulangan dari kejayaan semata-mata juga adalah pemikiran yang naif. Pasukan anda boleh muncul juara di dalam setiap pertandingan.
Namun urusan kewangan adalah perkara utama yang perlu dititiberatkan terlebih dahulu. Harus kukuh, stabil, terurus dan sistematik. Satu perkara yangs sering dilupakan oleh penggiat industri ini ialah kejayaan bukan sahaja diukur melalui jumlah kejuaraan.
Lebih daripada itu ia turut melibatkan nilai etika, perancangan jangka masa panjang, serta kelangsungan dan masa hadapan pasukan untuk terus bersaing sebelum mencapai kejayaan.
Seorang penulis terkenal dalam kesasteraan Arab moden kelahiran Syria pernah berkata:
“Progress lies not in enhancing what is, but in advancing toward what will be.” –Kahlil Gibran
Cadangan
Hasil kaji selidik ringkas yang dilakukan oleh penulis tempoh hari turut memperolehi beberapa cadangan bernas daripada setiap lapisan pengikut bola sepak tanah air.
Antaranya ialah:
- Pengambilan jumlah pemain import dikekalkan untuk kesemua pasukan dengan maksimum 4 pemain. Pecahan kuota 2+1+1 diperkenalkan dengan 2 slot adalah untuk pemain universal, 1 slot untuk Asia, dan 1 slot untuk pemain dari negara ASEAN.
- Syarat pengambilan pemain berdasarkan posisi diperkenalkan (Contoh: 1 penyerang, 1 atau 2 pemain tengah, 1 atau 2 pemain pertahanan, dan pilihan 1 untuk penjaga gol)
- Jumlah pengambilan 5 pemain import boleh dipersetujui, namun untuk pertandingan Piala Malaysia, diwajibkan semua pasukan bertanding menggunakan khidmat 100% pemain tempatan.
- Format Piala Malaysia turut perlu diubah dengan melibatkan lebih banyak pasukan bertanding, sekaligus membenarkan pemain tempatan memiliki lebih minit untuk beraksi.
- Wujudkan lebih banyak divisyen di dalam saingan bola sepak tempatan. Ini akan memberi ruang kepada lebih ramai pemain khususnya pemain muda untuk memperagakan aksi masing-masing.
- Hanya pasukan yang diaudit dan memiliki lesen FAM & AFC dibenarkan beraksi di Liga Super Malaysia sebelum dibenarkan memiliki 5 pemain import untuk memastikan pasukan/kelab benar-benar memiliki kemampuan kewangan.
- FMLLP wajib menguatkuasakan undang-undang ‘Fair Play Financial’ sepertimana yang dipraktikkan oleh UEFA di Eropah untuk memastikan setiap pasukan yang bertanding di dalam Liga Malaysia bersaing dengan cara yang sihat.
- FMLLP wajar memperkenalkan ‘home grown players’ yang dihasilkan oleh akademi bola sepak masing-masing, dan wajib didaftarkan oleh setiap pasukan berdasarkan kuota yang difikirkan wajar.
- Setiap pasukan yang bersaing di Liga Malaysia wajib menurunkan sekurang-kurangnya seorang pemain di bawah umur 23 tahun di dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan.
Jika kita perhalusi antara cadangan-cadangan yang penulis kumpulkan di atas, ia jelas kelihatan lebih holistik dalam membangunkan bola sepak di Malaysia secara menyeluruh.
Rumusan
Apa pendapat anda? Anda mempunyai cadangan lain yang ingin dikongsikan? Nyatakan di ruangan komen. Namun kami harus memberi peringatan.
Berikan cadangan atau pendapat. Bukan komen bernada provokasi. Bola sepak kita tanggungjawab kita. Bola sepak kita wajah kita. Sama-sama kita melakukan yang terbaik demi masa depan bola sepak kita.
Untuk renungan kita bersama, peraturan pengambilan 5 pemain import ini akan mulai dikuatkuasakan mulai tahun hadapan, untuk tempoh 4 tahun seterusnya.
Jika ia gagal memartabatkan Liga Malaysia dan skuad kebangsaaan, apakah yang bakal terjadi seterusnya?
Nota editor: Artikel ini adalah pendapat penulis semata-mata dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.