5 Pasukan Buru Gelaran Naib Juara Liga Super 2018

Kejohanan Piala Dunia kini sudah melabuhkan tirainya pada hari Ahad lalu. Maka, para peminat bola sepak tempatan sudah boleh menumpukan perhatian kepada saingan liga domestik yang masih berbaki 3 perlawanan untuk ditamatkan.

Walaupun Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali kelima berturut-turut setelah mendahului dengan 50 mata, perebutan gelaran naib juara yang melibatkan 5 pasukan tetap mencuri tumpuan dan menjanjikan saingan yang sengit.

5 pasukan tersebut ialah Perak (32 mata), Pahang (30 mata), Kedah (30 mata), Terengganu FC (30 mata) dan PKNS FC (29 mata). Pemenang tempat kedua Liga Super mungkin ditawarkan slot ke kelayakan AFC Champions League 2019 memandangkan Pahang selaku juara Piala FA telah digantung daripada memohon lesen AFC.

Kedudukan terkini Liga Super selepas 19 perlawanan. Grafik: MFL

3 Perlawanan terakhir Liga Super akan menentukan segalanya

Berdasarkan pemerhatian penulis, 5 pasukan ini tidak boleh tewas atau seri dalam 3 perlawanan terakhir mereka. Malah, ada diantara 5 pasukan ini akan bertembung sesama sendiri dan ini merupakan peluang terbaik untuk mendapatkan 3 mata penuh.

Berikut ialah jadual 3 perlawanan terakhir liga super yang membabitkan 5 pasukan tersebut:

1) Perak
18/7: vs Kuala Lumpur (Away)
22/7: vs Kedah (Home)
28/7: vs PKNS FC (Away)

2) Pahang
18/7: vs Melaka United (Away)
21/7: vs PKNS FC (Home)
29/7: vs Kelantan (Away)

3) Kedah
17/7: vs Terengganu FC (Home)
22/7: vs Perak (Away)
29/7: vs PKNP FC (Home)

4) Terengganu FC
17/7: vs Kedah (Away)
23/7: vs Kelantan (Home)
29/7: vs Selangor (Away)

5) PKNS FC
18/7: vs PKNP FC (Away)
21/7: vs Pahang (Away)
28/7: vs Perak (Home)

Berdasarkan jadual ini, Pahang dan Terengganu FC akan menghadapi satu pasukan yang menghuni kedudukan 5 teratas liga super. Manakala pasukan Perak, Kedah dan PKNS FC berdepan tugas berat apabila bakal berdepan 2 pasukan daripada kedudukan 5 teratas liga super.

Ini bermakna mereka tidak akan bertembung dengan pasukan juara Liga Super iaitu JDT yang mungkin akan menyekat impian mereka untuk mengutip 3 mata penuh.

Perak berdepan tugas berat untuk kekalkan kedudukan kedua

Skuad The Bos Gaurus gagal manfaatkan peluang untuk menjarakkan mata apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan juara Piala FA 2018, Pahang di halaman sendiri.

Malah, keputusan itu memastikan Pahang yang sebelum ini menghuni kedudukan ke 5 naik ke kedudukan ke 3 dan seterusnya menjadikan persaingan untuk merebut gelaran naib juara kembali terbuka.

Kedudukan mata yang sangat rapat dengan pesaing terdekat bermakna Perak tiada pilihan lain dan perlu mencuri 3 mata penuh dalam 3 perlawanan terakhir ini.

Berdasarkan jadual, Perak mempunyai 2 perlawanan di tempat lawan dan 1 perlawanan di tempat sendiri iaitu menentang Kedah. Tugas berat menanti mereka apabila berdepan Kuala Lumpur di tempat lawan yang seperti kita sedia maklum, skuad City Hawk itu merupakan “silent killer” yang pernah mengejutkan JDT, 1-0 di pusingan pertama liga super.

Malah, mereka juga bakal menentang PKNS FC yang turut memburu kedudukan kedua Liga Super.

Pahang mahu ulangi pencapaian musim lalu

Juara Piala FA 2018, Pahang juga tidak mahu melepaskan peluang untuk memburu kedudukan terbaik dalam Liga Super. Musim lepas, skuad tok gajah muncul naib juara Liga Super 2017 apabila mengutip 40 mata ketinggalan 9 mata di belakang pendahulu Liga ketika itu, JDT.

Namun sejak kebelakangan ini, aksi skuad Tok Gajah tidak begitu konsisten apabila hanya mampu mencatat 3 keputusan seri, 1 kemenangan dan 1 kekalahan dalam 5 perlawanan terakhir liga super.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, skuad kendalian Dollah Salleh itu akan bermain mati-matian ketika menentang Melaka United bagi memastikan sasaran mengutip 3 mata penuh tercapai

“Kita akan mulakan dengan sasaran tiga mata bertemu Melaka malam esok, diikuti pertemuan dengan PKNS pada 21 Julai ini dan Kelantan (29 Julai).

“Ini kerana Perak, Kedah dan Terengganu turut bersaing dan menyasarkan kedudukan kedua sebagai penamat terbaik buat pasukan masing-masing.

“Oleh itu, saya mengharapkan semua pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka selepas hanya seri dengan Perak dan PKNP FC,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.

Walaubagaimanapun, mereka terpaksa beraksi menentang Melaka United tanpa kelibat 2 tonggak pertahanan yang masih dibelenggu masalah kecederaan.

“Biarpun tanpa dua pemain pertahanan, Muslim Ahmad dan Mohd Faisal Rosli yang masih lagi belum pulih daripada kecederaan, saya percaya Pahang akan membawa pulang tiga mata,” katanya.

Kedah tempang hadapi 3 perlawanan terakhir

2 kekalahan berturut-turut kepada Melaka United (1-4) dan JDT (1-2) pasti telah melemahkan semangat para pemain Kedah untuk menghadapi perlawanan yang seterusnya.

Apatah lagi, skuad mereka kini tempang apabila kehilangan 6 tonggak utama yang digantung perlawanan dan dilanda kecederaan.

Ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff berharap barisan tempangnya mampu melakukan keajaiban apabila melayan kunjungan Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

6 tonggak utama yang tidak dapat diturunkan ialah 4 pemain import iaitu Paulo Rangel, Alvaro Silva, Liridon Krasniqi dan Andik Vermansyah dan 2 pemain tempatan, Akhyar Rashid dan Ariff Farhan.

“Ketiadaan enam pemain utama itu meresahkan saya, tetapi kita perlu teruskan perjuangan dengan semangat yang kental dan mahu pastikan semua pemain yang dipilih menggunakan peluang sebaik mungkin dalam misi mendapatkan tiga mata yang berharga di laman sendiri.

“Saya akui perlawanan ini penting, apatah lagi, kedua-dua pasukan mengumpul 30 mata dan bersaing dengan Perak serta Pahang untuk tempat kedua.

“Jadi, ia umpama larian pecut dan semua pasukan mahukan kedudukan terbaik dalam liga apabila tinggal tiga saja perlawanan berbaki sebelum saingan menutup tirai,” katanya kepada Berita Harian.

Nidzam berkata, perlawanan itu juga harus mengukur sejauh mana kemampuan barisannya bangkit selepas tewas kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim 1-2, Jumaat lalu.

“Walaupun tampil dengan barisan tempang, saya yakin semangat kental pemain yang ada mampu membawa cabaran kali ini sekali gus mendapatkan tiga mata bagi membuka peluang untuk memburu tempat kedua,” katanya.

Terengganu FC lakukan rombakan untuk elakkan keputusan seri dan kalah

Prestasi merundum yang diperagakan oleh pemain skuad Terengganu FC ketika tewas 0-4 kepada PKNS FC sabtu lalu telah membangkitkan kemarahan ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim.

Malah bagi memastikan impian untuk bergelar naib juara liga super tercapai, Irfan mengesahkan akan melakukan rombakan ke atas pasukannya menjelang pertemuan Liga Super dengan Kedah malam ini.

“Terus terang saya katakan begitu kecewa dengan aksi teruk beberapa pemain sekali gus membawa padah kepada pasukan sehingga tewas besar.

“Justeru, saya akan melakukan rombakan bagi memastikan kami dapat bangkit semula mencari kemenangan ketika menentang Kedah.

“Saya juga menuntut pemain yang disenaraikan memperagakan aksi lebih 100 peratus selain mereka perlu mengamalkan disiplin yang tinggi di dalam padang,” kata Irfan Bakti.

Irfanturut  meminta pemainnya belajar daripada kesilapan dan bertekad tidak mengulanginya lagi pada tiga baki perlawanan termasuk menentang Kelantan dan terakhir Selangor.

“Saya kerap beritahu pemain supaya lebih fokus ketika beraksi selain tidak mengambil mudah dalam setiap perlawanan biarpun pasukan yang bakal ditentang itu adalah pasukan yang pernah ditewaskan kerana setiap perlawanan adalah berbeza.

“Jadi, pertemuan malam esok kami tiada pilihan lain kecuali perlu menang walaupun bertandang di laman lawan kerana sebarang kekalahan atau seri bakal menyukarkan lagi misi kami untuk mencapai sasaran tiga pasukan terbaik liga,” kata pengendali berusia 67 tahun itu.

PKNS FC enggan lepaskan peluang buru kedudukan terbaik liga super

Pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal diselubungi perasaan gembira dan pada masa sama kecewa ketika menyaksikan pasukannya meraih kemenangan besar 5-3 ke atas Negeri Sembilan dan 4-0 ke atas Terengganu FC.

Walaupun kemenangan itu jadi hadiah ulang tahun kelahirannya yang ke 62, bekas jurulatih kebangsaan itu nyata kurang senang dengan cara permainan anak buahnya.

“Memang ia kemenangan yang cukup penting bagi kita, ketika ada pasukan lain turut mengejar kedudukan lebih baik malah jurang mata juga tidak begitu jauh,” kata Rajagobal.

“Namun secara keseluruhan, saya tidak berpuas hati dengan corak permainan. Walaupun apa yang kita rancang menjadi namun ada ketikanya pergerakan pemain nampak perlahan.

“Selepas itu, kita juga cepat bolos dan kemungkinan pemain berasa selesa.”

Malah Rajagobal turut dilihat resah dengan kegagalan anak buahnya menyempurnakan banyak peluang terhidang.

“Berapa peluang kita dapat? Kita kena lebih agresif untuk dapatkan gol kerana kalau pemain tidak manfaatkan setiap peluang tercipta, kita pasti akan dihukum,” katanya.

Kesimpulan

Dalam persaingan merebut gelaran juara, kunci kejayaan tersebut ialah prestasi yang konsisten. Penulis berpendapat, pasukan yang konsisten mengutip mata dalam 3 perlawanan terakhir ini akan berpeluang cerah untuk merampas kedudukan kedua liga super yang kini dihuni oleh Perak.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah kecederaan pemain dan penggantungan perlawanan, ini akan menguji kebijaksanaan jurulatih daripada 5 pasukan ini untuk memikirkan strategi yang terbaik dengan pilihan pemain yang terhad.

Namun, siapakah yang akan memenangi pertarungan terakhir? Sangat menarik untuk disaksikan oleh para peminat bola sepak tempatan.

Leave a Reply