Tua-tua ubi berisi, makin tua, terus maintain power. Mungkin itu ungkapan ringkas yang boleh kita katakan kepada lima pemain yang berada di dalam senarai di bawah.
Kelima-lima pemain sudah melewati usia 30 tahun. Malah pada satu ketika, ada diantara mereka kelihatan seperti berada di penghujung karier.
Namun usia sekadar angka. Prestasi di atas padang pula menceritakan kisah sebaliknya. Berikut adalah sedikit data dan statistik ringkas yang kami kongsikan mengenai lima pemain ini – dan mengapa mereka dianggap sebagai antara pemain veteran yang menyerlah pada musim ini.
1. Shukor Adan (Melaka United)
Lebih dikenali sebagai seorang jeneral di bahagian tengah sepanjang karier profesional, Shukor Adan mempunyai peranan baharu sepanjang beraksi bersama Melaka United pada musim ini. Di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan, pemain berusia 39 tahun ini sering kali digunakan sebagai pertahanan tengah.
Di sebalik usia tersebut, Shukor masih lagi menjadi pemain utama dan pemain kepercayaan Zainal untuk memakai lilitan kapten. Tampil di dalam 19 perlawanan setakat ini, Shukor turut menjaringkan dua gol sehingga minggu ke-21 Liga Super yang lalu. Jika berjaya menewaskan Pahang pada malam ini, Shukor dan Melaka United berpeluang menamatkan saingan di tangga ke-3 – kedudukan terbaik Melaka sejak beberapa dekat lalu di pertandingan domestik.
2. Indra Putra Mahayuddin (Kuala Lumpur)
Nasib Kuala Lumpur akan ditentukan pada malam ini, sama ada akan terus kekal di saingan Liga Super atau pun bakal ke saingan Liga Premier pada musim hadapan. Berada di kedudukan tercorot, segala-galanya kelihatan serba tidak menjadi buat skuad warga kota pada musim ini – termasuk memiliki tiga pengendali yang datang silih berganti. Namun prestasi pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin yang kini berusia 37 tahun mungkin satu-satunya perkara positif mengenai Kuala Lumpur pada musim ini.
Turut berperanan sebagai kapten pasukan, Indra telah menghasilkan 6 gol dari 20 penampilan setakat ini. Adakalanya Indra kelihatan seperti berseorangan memikul beban Kuala Lumpur di bahunya. Walaupun mungkin akan tersingkir ke saingan Liga Premier pada musim hadapan, Indra dan Kuala Lumpur masih berpeluang beraksi di saingan Piala Malaysia sekiranya menewaskan Perak dan keputusan lain membabitkan PKNP FC serta Felda United memihak kepada mereka.
3. Helmi Eliza (Pahang)
Penjaga gol berusia 36 tahun dan berasal daripada Alor Setar ini adalah antara penjaga gol paling konsisten sejak beberapa musim yang lalu. Berhijrah ke Kuantan untuk menyertai Pahang FA pada 2016, Helmi kini adalah penjaga gol utama Tok Gajah.
Musim ini, Helmi bagaimanapun digilirkan oleh Dollah Salleh dengan seorang lagi penjaga gawang veteran Remezey Che Ros. Walaupun hanya tampil dalam 15 perlawanan, Helmi masih memiliki rekod clean sheet terbaik di Liga Super dengan enam perlawanan – menyamai rekod pemain yang lebih muda seperti Khairul Fahmi, Farizal Marlias, dan Mohd Ifwat.
4. Safiq Rahim (Melaka United)
Safiq Rahim adalah pemain yang seangkatan dengan Khyril Muhymeen dan kedua-dua pemain berada bersama-sama dalam skuad kebangsaan yang muncul juara Piala AFF Suzuki pada 2010. Selepas meninggalkan JDT pada penghujung musim lalu, ramai yang skeptik akan kemampuan pemain ini dengan cakap-cakap di kalangan pengkritik yang menyatakan Safiq sudah tidak lagi relevan.
Disambar oleh Melaka United selepas itu, pemain ini dianggap berjaya mendiamkan pengkritik dengan prestasi dan ‘winning mentality’ luar biasa yang dimiliki beliau. Musim ini, Safiq merupakan tunjang kekuatan Melaka di bahagian tengah. Beraksi di dalam 19 perlawanan pada musim ini, Safiq menjaringkan tiga gol dan menghasilkan empat bantuan gol untuk rakan sepasukan. Sentiasa memberikan aksi terbaik di atas padang, Safiq dilihat sebagai pemain profesional yang wajar dicontohi oleh generasi baharu pemain pada hari ini.
5. Khyril Muhymeen (Selangor)
Setelah beraksi hanya 10 perlawanan bersama PKNS FC pada musim lalu, Khyril Muhymeen pada mulanya adalah antara pemain yang diperkenalkan oleh Perlis FA – sebelum fiasco penyertaan pasukan dari utara itu dibatalkan akibat masalah kewangan yang serius. Melihat peluang yang ada, khidmat Khyril pantas disambar Selangor pada Februari lalu.
Khyril Muhymeen mungkin bukan pemain pilihan pertama di dalam skuad Selangor. Namun kehadiran beliau tidak dinafikan telah memberikan depth kepada skuad sedia ada bimbingan B. Sathianathan. Tampil dalam tujuh perlawanan untuk Selangor di Liga Super setakat ini, Khyril telah menjaringkan tiga gol – menentang JDT, Pahang dan PJ City FC.
Rumusan
Kami pasti masih ada beberapa pemain lain di luar sana yang masih menampilkan aksi meyakinkan – walaupun usia mereka seperti sudah tidak memihak kepada mereka.
Penyerang PJ City FC, Safee Sali adalah salah seorang daripada mereka selain daripada penjaga gol Terengganu FC, Suffian Abdul Rahman.
Bak kata rakan penulis, ‘otai masih berbisa!’