Quantcast

KAJIAN & FAKTA

5 Cadangan Untuk Perlis Northern Lions ‘Restart’ Semula Kebangkitan Mereka

Beberapa minggu ini, kita dihidangkan dengan berita kurang enak daripada pasukan di utara tanah air, Perlis yang pada awalnya seperti bakal menggegarkan arena bola sepak negara. Sememangnya bergegar namun ianya gegaran yang negatif.

Segala yang indah-indah itu rupa-rupanya, indah khabar dari rupa sehinggakan ada pemain yang menyatakan mereka terasa seolah-olah telah ditipu oleh janji manis Presiden Persatuan Bolasepak Perlis  (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

Drama ini kini telah memasuki fasa baharu dimana para pemain dan juga mungkin barisan kejurulatihan pasukan sudah dua bulan tidak mendapat gaji pada 7 Februari. Ada pemain yang mungkin akan mengangkat kaki dan meninggalkan kapal Singa Utara?

Semuanya BOLA turut bersimpati dengan nasib para pemain yang terlibat dan mengharapkan kemelut ini tidak akan berpanjangan. Ini kerana, bola sepak adalah ‘nyawa’ mereka dan pemain-pemain ini bergantung hidup dengan kerjaya bola sepak – ini bukan hobi!

Berikut merupakan 5 cadangan kepada pihak pengurusan pasukan Perlis terutamanya Tuan Presiden mengenai isu berkaitan agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan baik seterusnya kedua-dua pihak akan berpuas hati setelah ianya diselesaikan.

Sesi bersama pemain dan pihak MFL

Pihak pengurusan diterajui oleh Ahmad Amizal wajar mengambil tindakan segera untuk mengadakan sesi perbincangan bersama semua pengurusan pasukan, para pemain bersama-sama pihak pentadbir liga, Malaysian Football League (MFL).

Ini bagi menyelesaikan segala kemelut dalaman pasukan dan memahami setiap isi hati pemain mahupun pihak pengurusan. Tindakan berbincang, menyerang, mempersoalkan di ruangan media tidak akan membantu malah memburukkan keadaan.

Kehadiran MFL adalah perlu agar masalah utama pasukan dapat didengari dan diketahui secara terus menerusi perbincangan ini. Dan sebarang cadangan juga boleh badan pentadbir liga ini sarankan terus kepada pemain dan juga pihak pengurusan.

FOTO: Northern Lions Perlis

Media seboleh-bolehnya akan cuba menghubungi sesiapa sahaja yang berkaitan dengan Perlis waima tukang sapu sekalipun untuk mendapatkan info-info menarik untuk dijadikan bahan berita.

Dengan perjumpaan dari hati ke hati ini akan membantu kedua-dua pihak menghadapi kemelut ini. Selain itu, pemain juga sekurang-kurangnya tidak akan semudahnya mendedahkan isu lain kepada pihak media selepas perbincangan 3 penjuru ini.

Lepaskan ‘beban’ pasukan

Apa itu beban pasukan? Walaupun boleh dianggap sebagai aset pasukan, pemain-pemain bintang dan juga pemain import adalah beban tanpa sedar Singa Utara yang menurut Presidennya, bayi yang baru berusia 3 bulan –¬† apa yang boleh dibuatnya?

Memiliki terlalu ramai pemain ada nama dan juga merekrut pemain import pastinya akan melibat kos yang besar. Ini adalah masalah utama yang perlu diteliti terlebih dahulu sebelum mereka mengorak langkah jauh untuk memikirkan isu lain.

Jika boleh, berbincanglah dengan beberapa pemain yang perlu dilepaskan agar kemelut ini dapat diselesaikan segera. Cukuplah sekadar memiliki seorang, dua pemain sebegini pada awal revolusi kerana anda bukanlah pasukan modal besar dan ada segalanya.

Bukan sahaja pemain ada nama, pemain import yang ikut kuota, Perlis juga dilihat bernafsu besar melantik barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan secara besar-besaran. Ini bukan langkah bayi yang baru berusia 3 bulan – bak kata Presidennya.

Oleh itu, barisan kejurulatihan juga perlu dilihat semula. Adakah semua yang dilantik itu membantu pasukan atau sekadar menjadi liabiliti kepada pasukan. ‘Keep a smaller squad’. Itu lebih afdal kepada pasukan yang baru mahu bertatih semula.

Tindakan ini sudah pasti akan melibatkan beberapa kos seperti pampasan kontrak kepada mereka yang terlibat, namun jika difikirkan ianya secara jangka panjang, ini akan menyelamatkan Perlis di masa hadapan. Bukankah itu lebih baik?

Rekrut semula ‘ubi’ Perlis

Perlis NL 2 yang dijangkakan akan beraksi di Liga M3 juga sudah tidak nampak rupa dan ini telah mengiyakan kenyataan 18 pemain yang paling awal bersuara mengenai isu gaji tertunggak walaupun mereka diserang dari pelbagai sudut – termasuk daripada Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jika benar pasukan tersebut sudah berkubur, bukanlah lebih elok mereka diserap untuk beraksi bersama pasukan utama? Lupakan dendam, ketepikan isu sebelum ini. Gaji mereka tidaklah sebesar pemain-pemain ada nama dan import namun sekurang-kurangnya Perlis akan mampu membayar gaji mereka – tanpa masalah.

Disamping itu, Singa Utara juga boleh menggunakan pemain-pemain muda yang boleh diketengahkan untuk bersama-sama skuad utama. Latih mereka sebaiknya dan beri ruang untuk mereka berkembang bersama pasukan di Liga Premier 2019.

Masih ingat tindakan Kelantan musim lalu yang melepaskan pemain-pemain bintang mereka? Walaupun tindakan tersebut gagal dibuat dengan cara yang baik namun pemain-pemain muda yang mengambil alih pasukan telah beraksi dengan terpuji.

Ketua jurulatih, Manzoor Azwira juga diketahui kemampuannya mengendalikan pemain muda seperti yang dilakukannya bersama Pulau Pinang sebelum ini, jadi langkah menggunakan pemain muda juga dilihat relevan untuk membantu kewangan pasukan.

Susun semula dan ‘restart’ pasukan

Setelah fasa melepaskan pemain dan barisan kejurulatihan yang dirasakan menjadi beban buat pasukan, pengurusan perlu menyusun semula pasukan Perlis agar ianya nampak kecil namun boleh memberi impak dalam masa beberapa tahun.

Jika ini tidak dilakukan, dijangkakan Perlis akan terus dirundung kekalahan demi kekalahan dek kerana ‘mogok’ para pemain di atas padang. Mahu terus turun liga atau kekal kompetitif bertahun-tahun? Itu pilihan yang ada buat pihak pengurusan.

Safee Sali menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad singa utara. FOTO: PFA

Gandingan beberapa pemain berpengalaman dan pemain muda dilihat paling sesuai sebagai langkah permulaan. Jika dirasakan pemain import diperlukan untuk bersaing, cukuplah sekadar seorang, dua pemain – yang mampu digaji oleh pasukan.

Singa Utara perlu dimulakan semula dan kali ini perlu dilakukan dengan betul. Seribu kali sayang jika segalanya ternoktah di sini dengan beban hutang yang kembali menghantui pasukan yang pernah digeruni dalam arena bola sepak tempatan ini.

Dekati penyokong dan masyarakat setempat

Tindakan berani Presiden PFA menjadikan Lembah Klang sebagai pusat latihan atas sebab penaja dilihat sangat tidak bersesuaian dengan mana-mana pasukan bola sepak sekalipun. Pasukan berlatih beratus kilometer daripada gelanggang rasmi?

Kenapa tidak pindahkan terus Stadium Tuanku Syed Putra ke Lembah Klang? Barulah nampak seiring dengan pusat latihan.

Dengan mungkin hanya beberapa hari sahaja berada di Kangar, ia tidak akan membantu mempromosikan pasukan dengan baik. Kos pengangkutan juga perlu difikirkan apabila setiap perlawanan, Perlis perlu berulang alik, tidak kira di stadium sendiri atau lawan.

Apa yang perlu dibuat oleh pengurusan adalah dekati penyokong dan masyarakat setempat untuk meraih dan melobi sokongan mereka. Adakah dengan membawa bintang-bintang ada nama, stadium akan terus gempita? Ia mungkin kesan sementara.

Kembalilah ke Kangar. Kembalilah ke utara tanah air untuk lebih dekat dengan penyokong. ‘Football is nothing without fans’.

Penutup

Diharapkan dengan sedikit cadangan ini mampu menjana idea buat pengurusan Singa Utara. Ini bukanlah serangan apalagi cubaan menjatuhkan mana-mana pihak. Ia sekadar sesi pencambahan idea untuk kebaikkan semua pihak terutamanya buat yang masih belum bergaji sehingga kini.

Hentikan peperangan mulut di media. Ia hanya memberi kesan buruk kepada pasukan dan tidak menyelesaikan isu ini. Langkah segera wajar dimulakan oleh pihak pengurusan yang diterajui Ahmad Amizal. Langkah itu bukan dengan berterusan mengeluh kepada pihak media.

Apa lagi cadangan yang para pembaca mampu fikirkan untuk kemelut pasukan Perlis ini. Sila letakkan di komen, mungkin pengurusan Perlis sudi baca dan pertimbangkannya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!