5 Kualiti Yang Akan Dituntut Dari Pengganti Zlatan Ibrahimovic Di Manchester United

Kami memahami kekecewaan penyokong ‘The Red Devil’ sejak nama Zlatan Ibrahimovic digugurkan daripada skuad Manchester United untuk saingan pada musim hadapan.

Sejak Ibrahimovic disahkan tidak tersenarai, nama-nama seperti Alvaro Morata, Robert Lewandowski, Andrea Belotti dan malah Cristiano Ronaldo dikaitkan akan ke Manchester United pada musim panas ini.

Sabar! Jangan terlampau ghairah dengan nama-nama besar ini.

Jika benar, apakah kualiti yang perlu mereka bawa untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zlatan Ibrahimovic?

Kami di Semuanya BOLA merungkai perkara ini untuk peringatan kita bersama. 

1. Penyudah Zlatan ‘Gerunkan’ Lawan

Zlatan Ibrahimovic tidak pernah peduli akan definisi usia. Ketika diperkenalkan sebagai pemain Manchester United, Ibrahimovic hadir dengan reputasi sebagai antara penyerang terbaik di Eropah.

Secara keseluruhan, Ibrahimovic tampil sebagai penjaring terbanyak skuad Manchester United dengan 28 gol dalam semua pertandingan membabitkan pasukan itu pada musim lalu.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

Dengan pengecualian pemain muda Josh Harrop (1 gol, 90 minit), Ibrahimovic memiliki ratio jaringan 1 gol untuk setiap 137 minit aksi di atas padang.- tertinggi di dalam skuad United.

124 percubaan ke arah gol dengan 58% percubaan tepat direkodkan sepanjang musim, jelas membuktikan kebergantungan Jose Mourinho kepada beliau untuk mencari penyudah.

Dengan rekod ini, tidak dapat dinafikan kehadiran Zlatan Ibrahimvic sentiasa menggerunkan pertahanan lawan di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Tanyakan sahaja kepada mana-mana pengurus lawan yang berhadapan dengan United pada musim ini. Taktikal untuk menghalang Ibrahimovic untuk menghasilkan jaringan pasti menjadi keutamaan.

Bolehkah pengganti beliau menghadirkan rasa gerun yang sama?

2. Sukses Itu Kewajiban

Ibrahimovic telah memenangi 13 kejuaraan liga di Liga Eredivisie, Serie A, La Liga dan juga Ligue 1 sepanjang kariernya sebelum tiba di England.

Sejak meninggalkan Malmo pada pada usia 20 tahun, Ibrahimovic hanya gagal bergelar juara untuk tempoh dua musim.- 2002/2003 dan 2011/2012.

Di sebalik ratio jaringan yang tinggi, musim pertama di Manchester United menjadi musim ketiga beliau gagal meraih kejuaraan liga.

(Photo credit should read IAN KINGTON/AFP/Getty Images)

Statistik ringkas ini menjelaskan satu perkara. Zlatan Ibrahimovic tahu apa yang perlu dilakukan untuk bergelar juara.

Walaupun tanpa kejuaraan EPL pada musim ini, kehadiran Zlatan Ibrahimovic di dalam skuad United sudah terbukti signifikan.

Sumbangannya memastikan Manchester United tidak ketandusan trofi pada musim 2016-2017. Debut beliau memastikan United muncul pemenang perlawanan Charity Shield.

Dua gol jaringan beliau pada Februari lalu memastikan Manchester United muncul juara Piala EFL. Semestinya sumbangan beliau dalam pertandingan UEFA Europa League (UEL) turut sama penting.

(Photo credit should read JONATHAN NACKSTRAND/AFP/Getty Images)

Lima gol dalam pertandingan UEL sehingga muncul juara kejohanan kedua kelab di Eropah itu memastikan Manchester United terus mara sehingga bergelar juara pertandingan tersebut musim ini.

Anda mempersoalkan kegagalan beliau membantu Manchester United dalam saingan EPL?

Beliau telah melakukannya di setiap negara dan kelab yang beliau sertai. Siapa tahu apa yang akan berlaku pada musim hadapan jika kecederaan tidak memaksa United menyingkirkan namanya.

Siapa pun pengganti beliau, tidak akan ada pemain yang memiliki pengalaman sekaya Zlatan Ibrahimovic.

3. Karakter Dan Ego Yang Membina

Tipikal Zlatan? Ke mana pun Zlatan Ibrahimovic pergi, kata-kata beliau sering mendapat perhatian ramai. Tidak boleh dinafikan beliau adalah seorang pemain dengan karakter yang unik.

Kita semua tahu karakter membentuk peribadi seseorang pemain untuk berjaya. Bagi Zlatan Ibrahimovic, karakter itu diadun dengan ego.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)
Restrictions

Bagi lawan, ia adalah perkara yang jelik. Bagi pasukan yang diwakili oleh beliau, ia adalah perkara yang melegakan.- kerana kejayaan itu pasti.

Bagaimana itu seharusnya berlaku?

Zlatan Ibrahimovic memastikan karakter dan egonya memacu dirinya untuk lebih berjaya. Seperti satu frasa Inggeris yang berbunyi: ‘If you talk the talk, you better walk the walk’.

Apakah makna frasa ini?

Bagi Zlatan Ibrahimovic, beliau akan mengotakan apa yang dikatakannya. Ia berbalik kepada ‘winning mentality‘ yang hilang sejak persaraan Sir Alex Ferguson sebagai pengurus Manchester United.

Di dalam satu temu ramah ringkas bersama BBC, Zlatan Ibrahimovic menyatakan beliau memiliki sebuah rumah khas untuk dijadikan muzium koleksi kejuaraan dan trofi yang dimenangi oleh beliau.

Kendengaran seperti melucukan. Secara literal, ia bermakna Zlatan Ibrahimovic tidak akan berhenti untuk memenangi trofi untuk pasukan yang diwakilinya.

Siapa tahu trofi apa yang akan dimenangi oleh Zlatan Ibrahimovic untuk Manchester United pada musim hadapan jika beliau tidak tercedera?

4, Aura Kepimpinan Cikgu ‘Zlatan’

Pada usia 35 tahun, Zlatan Ibrahimovic boleh dianggap sebagai ‘warga tua’ di dalam dunia bola sepak!

Bagaimanapun, Garth Crooks (pundit BBC) menyifatkan pemain ini telah membawa kembali kekuatan mental yang telah sekian lama hilang dari Old Trafford.

Ada yang menyamakan aura yang dimiliki oleh Ibrahimovic dengan kehadiran Eric Cantona satu masa dahulu.

Sejak Roy Keane meninggalkan Manchester United pada tahun 2005, skuad ‘The Red Devils’ telah kehilangan seorang pemimpin kepala angin yang keras sehinggalah kedatangan Zlatan Ibrahimovic.

(Photo by Ben Hoskins/Getty Images)
Restrictions

Manchester United jelas beruntung untuk memerah karakter Ibrahimovic kepada kalangan pemain muda yang terdapat dalam pasukan ini.

Beliau diibaratkan mentor di kalangan pemain-pemain muda di Old Trafford.

Malah pemain-pemain seperti Jesse Lingard, Marcus Rashford, Luke Shaw dan Paul Pogba gemar berkongsi meja makan bersama Ibrahimovic.

“Dia gemar bergaul dan membantu pemain-pemain muda di sini. Dia sering bercakap dengan saya, Marcus, Pogba, Fosu-Mensah dan juga pemain lain.”

“Dia membantu kami ketika perlawanan dan memberi dorongan dalam perlawanan sukar.”

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

“Zlatan sentiasa ada untuk kami dan juga untuk pasukan apabila diperlukan,” ujar Jesse Lingard dalam satu temuramah bersama MUTV.

Di sebalik sikap yang disifatkan bongkak oleh lawan, Zlatan Ibrahimovic nyata bukan pemain bintang yang kedekut untuk berkongsi ilmu dan pengalaman beliau.

Pada Zlatan Ibrahimovic, pasukannya adalah segala-galanya.

5. Nilai Pemasaran Zlatan

Zlatan Ibrahimovic bukan sekadar pembelian pertama Jose Mourinho pada musim panas yang lalu. Lebih daripada itu Zlatan Ibrahimovic memberi nilai pasaran luar biasa buat Manchester United.

Tidak adil untuk menyamakan Zlatan Ibrahimovic dengan bekas bintang Old Trafford yang lain seperti David Beckham atau pun Cristiano Ronaldo.

Ibrahimovic bukanlah seorang poster boy yang tipikal seperti bintang yang lain pada usia 35 tahun.

(Photo by Lukas Schulze – UEFA/UEFA via Getty Images)

Namun begitu, kehadiran beliau di Old Trafford telah memberi impak yang sangat tinggi buat kelab yang sinonim dengan kejayaan dari segi strategi pemasaran ini.

Untuk itu, Zlatan tidak perlu menyepak bola atau memerah keringat di padang untuk memastikan Manchester United berjaya.

Baru sahaja seminggu diumumkan sebagai pemain Manchester United, nilai jualan jersi Manchester United yang tertulis nama Ibrahimovic mencapai angka £76 juta!

(Photo by Matthew Ashton – AMA/Getty Images)

Nilai jualan jersi Ibrahimovic menimbulkan cakap-cakap di dalam media, ia mampu untuk membantu membayar yuran perpindahan untuk Paul Pogba dari Juventus.

Rangkaian peralatan dan pakaian sukan terkemuka, Sport Direct kemudiannya mendedahkan penjualan jersi Zlatan Ibrahimovic adalah kedua tertinggi selepas Paul Pogba di England pada Oktober tahun lalu.

Total Sportek turut mendedahkan jersi Zlatan Ibrahimovic adalah ke-4 tertinggi dalam jualan di seluruh dunia selepas Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan juga Paul Pogba.

Ya. Zlatan Ibrahimovic pasti tersenyum mendengar perkhabaran ini.

Rumusan

Kami telah menggariskan 5 kualiti yang telah dibawa oleh Zlatan Ibrahimovic ke Old Trafford. Sayang sekali kecederaan yang dialami telah memendekkan tempoh beliau bersama Manchester United.

Siapa pun pengganti Ibrahimovic yang akan dibawa masuk oleh Jose Mourinho pada musim panas ini, ia bukanlah perkara yang mudah untuk pemain tersebut memberi impak yang sama.

Zlatan Ibrahimovic telah memberi ‘benchmark’ yang tinggi kepada pemakai No.9 baru di Old Trafford.

Apa pandangan anda? Anda mempunyai pendapat lain? Kongsikan dengan kami.

 

Sumber:

1. IAN TUCKEY, The Sun (2016): GOLD TRAFFORD Will Manchester United superstar Zlatan Ibrahimovic’s shirt sales pay for Paul Pogba’s transfer fee;
https://www.thesun.co.uk/sport/football/1523273/will-manchester-united-superstar-zlatan-ibrahimovics-shirt-sales-pay-for-paul-pogbas-record-112m-transfer-fee-within-a-fortnight/

2. Mark Ogden, INDEPENDENT (2016): Manchester United news: Zlatan Ibrahimovic’s leadership qualities will benefit us, says Jose Mourinho;
http://www.independent.co.uk/sport/football/premier-league/zlatan-ibrahimovics-leadership-qualities-will-benefit-manchester-united-says-jose-mourinho-a7149136.html

3. ESPN FC (2017): Zlatan Ibrahimovic; http://www.espnfc.com/player/11001/zlatan-ibrahimovic

4. TEDDY CUTLER, Newsweek (2016): MANCHESTER UNITED: WHY ZLATAN IBRAHIMOVIC IS GOOD FOR JOSE MOURINHO;
http://www.newsweek.com/manchester-united-why-zlatan-ibrahimovic-good-jose-mourinho-477128

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN