5 Kisah ‘Pengorbanan’ Pemain Bola Sepak Di Malaysia

Malaysia Korban

Hari Raya Aidil Adha yang disambut pada tanggal 10 Zulhijjah mengikut kalendar hijrah merupakan perayaan yang membawa mesej serta pengajaran yang cukup besar tentang nilai pengorbanan.

Hikmah tentang ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang diuji oleh Allah SWT membuktikan betapa teguhnya tahap keimanannya dan ia memperlihatkan secara jelas sifat ketakwaan seorang hamba kepada penciptanya.

Semangat pengorbanan ini harus diterapkan dalam jiwa diri dan keluarga dan seterusnya menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat agar nilai-nilai luhur ini terus hidup subur dalam kehidupan.

Dalam sukan bola sepak juga kita dapat menyaksikan wujudnya nilai pengorbanan ini yang menjadi pengajaran dan tauladan buat peminat sukan ini.

Berikut adalah lima kisah tentang ‘perngorbanan’ pemain bola sepak di negara kita.

Brendan Gan

Tahun 2019 menyaksikan nama Brendan Gan menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air di atas prestasi cemerlang yang ditampilkan bersama Perak.

Beliau seterusnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih skuad Malaysia, Tan Cheng Hoe untuk mewakili negara dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand pada November 2019.

Namun Brendan terpaksa mengambil keputusan yang cukup besar. Beliau meninggalkan bayi lelakinya, Koa Brooklyn Gan di Australia yang usianya baru menjengah dua hari serta isteri tercinta.

Pengorbanan tersebut bagaimanapun tidak sedikit pun menyentap semangat juangnya untuk beraksi cemerlang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas menewaskan skuad Gajah Perang dengan keputusan 2-1.

“Untuk datang ke sini selepas dua hari melihat anak lelaki saya, benar, ini merupakan hadiah yang sempurna buatnya,” ujarnya.

“Pemain-pemain lain memberitahu saya bahawa kami semua mengorbankan segala-galanya untuk berada di sini. Sama ada keluarga atau waktu rehat, kami sedia mengorbankan segala-galanya untuk negara. Kami berada di sini kerana kami mahu berjuang untuk negara.

“Semuanya untuk anda Koa!”

Jordan Mintah

Menjelang aksi terakhir Terengganu di peringkat kumpulan B kejohanan Piala Malaysia 2021 menentang Selangor, Jordan Mintah sebenarnya masih belum cergas 100 peratus daripada kecederaan siku kanannya.

Namun berbekalkan tekad dan jiwa besar, beliau tidak menjadikan kecederaan tersebut sebagai halangan untuk menjadi tulang belakang pasukan dalam perlawanan tersebut.

Pemain import dari Ghana itu telah meledak dua jaringan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya untuk membantu skuad Penyu meraih kemenangan 3-1 dan meletakkan pasukannya selaku juara Kumpulan B.

“Sebenarnya perlawanan tadi saya masih rasa sakit lagi dan belum cergas sepenuhnya sebab setiap kali kalau terjatuh memang akan rasa sakit di bahagian siku,” ujarnya dalam sidang media selepas perlawanan.

“Tetapi, saya tahu saya perlu berkorban untuk Piala Malaysia ini sebab saya mahu berikan apa yang penyokong mahu dan setiap kali saya di padang, saya akan lupa semua rasa sakit dan hanya fikirkan untuk beraksi sahaja.”

Paulo Josue

Tahun 2022 menyaksikan Kuala Lumpur City merekodkan sejarah yang cukup menakjubkan dalam kejohanan Piala AFC.

Dalam perjalanan sebelum ke final, kelab ibu kota itu telah muncul juara dalam saingan Piala AFC peringkat zon Asia Tenggara setelah membenam cabaran PSM Makassar dengan keputusan 5-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

3 Cara Nak ‘Upgrade’ Pengalaman Layan Liga Malaysia Anda

Antara pemain yang mencuri tumpuan adalah pemain berpengaruh yang juga kapten KL City iaitu Paulo Josue yang meledak dua gol pada perlawanan tersebut.

Sebenarnya, pemain kelahiran Brazl ini berpeluang untuk mencatat hatrik menerusi sepakan penalti di akhir perlawanan, namun tugas tersebut telah beliau berikan kepada pemain gantian, Hadin Azman.

Paulo menjelaskan beliau mempunyai alasan tersendiri mengapa dirinya rela ‘berkorban’ dan sepakan tersebut diberikan kepada Hadin meskipun beliau berpeluang untuk mencatat hatrik.

Jelas beliau, sepakan penalti tersebut dihadiahkan kepada Hadin Azman yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi dan pemain tersebut berjaya menyempurnakannya dengan baik.

“Penalti tersebut akan mengakhiri permainan malam ini, dan secara normal para pemain berada pada tahap keyakinan terbaik untuk mengambilnya,” jelas Paulo.

“Hadin mahu hadiahkan gol untuk anaknya dan saya cuma katakan, jadikan penalti itu untuk bayi anda serta pastikan ia gol.”

David Rowley

Pemain kacukan Malaysia-Australia, David Rowley bukanlah nama yang menjadi pilihan utama untuk membarisi skuad kebangsaan, tetapi pada penghujung tahun lalu, aksi positifnya bersama Sri Pahang telah mendapat perhatian Kim Pan-gon.

Dengan ketiadaan sebahagian besar pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Rowley telah menerima kejutan apabila beliau telah dipanggil untuk mewakili negara di kejohanan Piala AFF 2022.

Apa yang lebih mengharukan lagi, beliau sebenarnya baru tiga hari mendarat di Jerman untuk bertemu keluarga yang sudah tiga tahun berpisah dengannya.

“Saya balik Jerman dan selepas 3 hari, saya cakap kepada isteri saya, ‘maaf saya mesti balik, balik Malaysia’ dan dia terkejut tetapi gembira [dapat mewakili negara].

“Saya memang dah ada perancangan, saya tak jumpa keluarga isteri dan tiga tahun, tetapi inilah bola sepak.”

Para peminat bola sepak tempatan sangat terharu mendengar komen dari Rowley itu apa lagi selepas melihat semangat yang ditampilkan demi beraksi bersama skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Beliau sanggup mengetepikan segala hal yang sepatutnya menjadi keutamaan beliau semata-mata untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Hariz Irffan

Masih segar di ingatan kita bagaimana seluruh dunia diancam dengan pandemik Covid-19. Malaysia yang berusaha untuk membendung wabak tersebut telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Turut sama terlibat secara langsung dalam operasi tersebut adalah pemain tengah PDRM, Muhammad Hariz Irffan yang bertugas sebagai anggota keselamatan polis trafik yang bertanggungjawab melakukan sekatan jalan raya dan rondaan.

Tatkala pemain-pemain lain sedang berada di rumah bersama keluarga tersayang, beliau selaku barisan hadapan negara telah berkorban demi memastikan keadaan di negara ini kembali pulih.

“Rehat pun tidak cukup, kadang-kadang balik rumah sempat makan sekejap, mandi dan terus tertidur sebelum sambung bekerja keesokan harinya,” kongsinya dalam satu temubual.

“Kadang-kadang saya kena bertugas untuk 24 jam dan kadang-kadang untuk 12 jam, jadi memang tidak menentu waktu kerja kami di sini.

“Kalau buat sekatan jalan raya, memang macam macam alasan yang kami terima dan ada yang tidak masuk akal, tetapi kami harus bertegas dalam melaksanakan tugas kerana ini demi keselamatan semua pihak.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN