Bola sepak merupakan permainan yang paling diikuti di seluruh dunia dengan ianya dimainkan di mana-mana sahaja.
Pengaruh sukan ini cukup luas sehingga ada yang menganggap bola sepak adalah sebahagian daripada gaya hidup. Bagi sesetengah pihak, ianya dianggap sebagai jalan untuk keluar dari kemiskinan dan tekanan hidup.
Populariti bola sepak cukup meluas dengan pelbagai kejohanan diadakan seperti saingan Premier League di England.
Premier League adalah saingan liga bola sepak paling ditonton di seluruh dunia. Malah, populariti bola sepak Inggeris itu sendiri terserlah sehingga ke saingan divisyen bawahan.
Oleh kerana itu, pelbagai kempen sosial diadakan dengan menjadikan saingan bola sepak sebagai platform untuk menyampaikan mesej kepada penyokong.
Jom kita saksikan lima jenis kempen yang sering diadakan menggunakan platform bola sepak Inggeris.
Remembrance Day
Sambutan Remembrance Day adalah satu tradisi yang dilakukan dalam bola sepak Inggeris yang diadakan setiap November.
Mula dilakukan pada 2012, sambutan ini adalah untuk memperingati jasa perjuangan askar-askar Britain yang berbakti ketika Perang Dunia Pertama.
Remembrance Day disambut secara rasmi pada setiap 11 November yang menjadi tarikh penamat kepada Perang Dunia Pertama. Ketika sambutan, pasukan-pasukan di Premier League dan juga English Football League (EFL) akan memakai lencana bunga poppy pada jersi mereka.
Lazimnya, kesemua pemain akan memakai lencana tersebut tetapi pemain seperti James McLean tidak melakukannya kerana beliau lebih menghormati negarannya iaitu Ireland yang sebelum ini mempunyai konflik dengan United Kingdom.
No Room For Racism
No Room For Racism adalah sebuah kempen yang dijalankan oleh Premier League sebagai usaha untuk mengeluarkan unsur perkauman dalam bola sepak.
Kempen rasmi yang dibawakan oleh Premier League ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada penyokong mengenai buruknya sifat perkauman dan ianya harus dihentikan.
Kempen ini juga selari dengan gerakan Black Lives Matter (BLM) yang turut dibawa dalam bola sepak Inggeris.
Berakar umbi dari tragedi kematian George Floyd di Amerika Syarikat, gerakan BLM mendapat sambutan meluas dengan Premier League juga mengikutinya dengan para pemain akan melutut sebelum perlawanan dimulakan sebagai simbolik menolak sifat perkauman.
Thank You NHS
Thank You NHS adalah sebuah kempen yang dilakukan sebagai tanda bola sepak Inggeris menzahirkan penghargaan kepada petugas kesihatan di United Kingdom.
Kempen ini dilancarkan pada 2020 ketika Premier League kembali bersambung menerusi Project Restart selepas saingan tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Ketika pandemik, petugas National Health Service adalah golongan paling sibuk di negara kerana mereka berusaha keras untuk memastikan jumlah yang terkorban akibat Covid-19 terkawal walaupun jumlah mereka tidak mencukupi untuk berhadapan dengan krisis kesihatan ini.
Sebagai tanda yang komuniti bola sepak England tidak melupakan jasa NHS, mereka memakai lencana berwarna biru cair berbentuk hati di jersi mereka pada hari perlawanan.
Movember
Kempen Movember atau No Shave November adalah sebuah gerakan untuk memberikan kesedaran kepada kesihatan lelaki.
Movember bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada lelaki untuk berani tampil ke depan untuk bercerita mengenai kesihatan mental mereka dan mendapatkan bantuan.
Bukan itu sahaja, Movember turut ingin mewujudkan kesedaran mengenai kanser prostat, kanser testikular serta pencegahan dari membunuh diri.
Simbolik kepada kempen ini adalah lelaki tidak akan bercukur sepanjang November sebagai tanda sokongan sesama kaum Adam.
Untuk Movember, logo simbol gender lelaki sering digunakan kerana ia mewakili Prostate Cancer UK yang merupakan penggerak kepada kempen ini.
Logo tersebut sering dilihat pada jersi pasukan EFL yang begitu menyokong gerakan ini serta di dalam permainan video Football Manager.
Rainbow Laces
Rainbow Laces adalah sebuah kempen yang kontroversi dalam kalangan penyokong bola sepak kerana Premier League mengangkat golongan LGBT.
Kempen ini diadakan bertujuan untuk mengalu-alukan golongan seperti lesbian, gay, bisexual dan transgender ke dalam bola sepak selepas mereka sering didiskriminasi oleh masyarakat sekeliling.
Ketika kempen ini dibuat, pemain lazimnya akan menggunakan tali kasut berwarna pelangi yang merupakan simbolik kepada LGBT sementara ketua pasukan akan menyarung lilitan lengan warna yang sama.
Kempen ini dilakukan dengan harapan ianya akan mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat dan golongan ini sering diherdik.
Namun, melihat kepada lumrah mereka yang bertentangan dengan hukum alam, kita sendiri boleh faham kenapa mereka tidak disenangi oleh majoriti orang.