Kerap diletakkan di bangku simpanan sepanjang musim ini menjadi petanda jelas bahawa Harry Maguire tidak lagi diperlukan di Manchester United.
Projek revolusi Erik ten Hag menyaksikan Raphael Varane dan Lisandro Martinez lebih diberi kepercayaan untuk mengemudi barisan pertahanan berbanding kapten pasukan itu yang hanya memulakan 11 perlawanan sahaja setakat ini.
Bagaimanapun seperti yang diketahui, kapten United ini masih menjadi pemain penting buat Gareth Southgate untuk skuad England. Jadi sudah tentu dirinya masih bernilai untuk beraksi di peringkat tertinggi di Eropah.
1. Tottenham Hotspur
Pilihan yang ada di Spurs ketika ini mungkin belum cukup mantap. Ben Deviers, Eric Dier, Cristian Romero, Japhet Tanganga dan Clement Lenglet telah pun dibolosi 41 gol pada musim ini – hanya 6 pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) mempunyai rekod yang lebih teruk.
Justeru gandingan Maguire, Romero dan Dier mungkin menjanjikan prospek trio yang lebih menggerunkan pasukan lawan.
Penghijrahannya ke London juga mungkin lebih mudah untuk direalisasikan memandangkan Harry Kane juga dilaporkan sedang bersiap untuk menuju ke Old Trafford.
2. PSG
Mungkin ada yang mentertawakan kemungkinan ini, Tetapi faktanya pada Mac lalu, terdapat laporan mendedahkan PSG telah menawarkan £50 juta untuk pemain pertahanan England ini dengan gaji £200,000 seminggu – nilai sama yang diterima di United.
🚨 Manchester United captain Harry Maguire is a shock £50m summer target for PSG, who already put a deal on the table for the defender in January.
(Source: Sun Sport) pic.twitter.com/jaNyW08mUe
— Transfer News Live (@DeadlineDayLive) March 10, 2023
Unit pertahanan PSG agak bermasalah pada musim ini terutamanya selepas kecederaan berulang Presnel Kimpembe. Kelab Perancis ini terpaksa bergantung kepada ‘kuda tua’ Sergio Ramos.
Dengan ketua jurulatih Christophe Galtier juga seorang peminat sistem bek bertiga, tidak hairan mengapa PSG mahu membawa masuk bek tengah yang serasi dengan taktikal tersebut dan seterusnya menyasarkan untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pertama mereka.
3. Newcastle United
Seperti PSG, Newcastle United juga pasukan yang tidak akan berdepan sebarang masalah untuk ‘menabur’ wang bagi mendapatkan mana-mana pemain.
Jika The Magpies berhasil mendapatkan slot ke UCL musim depan, sudah tentu Eddie Howe mahu mengukuhkan kedalaman skuad dan semestinya bahagian pertahanan akan menjadi salah satu keutamaannya.
Bulan lalu, Maguire sudah pun dikaitkan dengan Newcastle yang ketika ini sememangnya pasukan dengan rekod pertahanan terbaik EPL. Penambahannya sudah tentu akan menjadikan kelab ini lebih ampuh pada musim depan.
4. Leicester City
Leicester mungkin ada sedikit lebihan untuk dibelanjakan jika dapat menjual James Maddison yang dianggarkan sekitar £50 juta dan Wilfred Ndidi juga sudah dikaitkan dengan beberapa kelab lain. Begitu juga dengan Tielemans yang sudah diintai beberapa kelab ternama Eropah.
🚨Harry Maguire wants to go back to Leicester if they are still in the Premier League next season. Loan with an option to buy at the end of next season for £35m is being discussed from both clubs. #mufc #Maguire pic.twitter.com/fYFOhGED6Y
— Manchester United Forever (@Utd_Forever7) April 2, 2023
Maka Maguire mungkin berpeluang untuk kembali menjadi pemain yang disanjung oleh penyokong di Stadium King Power seperti yang dinikmatinya lima tahun lalu.
5. Sheffield United
Siapa yang tidak gembira jika dapat kembali ke pangkuan kelab yang membangunkan bakat mereka. Sheffield ketika ini dalam landasan terbaik untuk kembali ke pentas EPL musim depan berdasarkan prestasi semasa di Championship.
Jika kelab tersebut dijual kepada bakal pemilik baharu Dozy Mmobuosi, mungkin The Blades akan mempunyai bajet yang mencukupi untuk menggoda Maguire kembali ke kelab zaman kanak-kanaknya.