Jika kekalahan memalukan 5-0 Manchester United kepada Liverpool pada malam tadi dalam saingan Premier League adalah satu suratan, maka Ole Gunnar Solskjaer tidak boleh dipersalahkan.
Begitu juga jika kekalahan tersebut disebabkan oleh faktor nasib. Pengurus dari Norway itu harus dimaafkan.
Sejauh manakah kekalahan 5-0 kepada Liverpool di Old Trafford itu adalah suratan atau nasib? Tanggapan ia adalah suratan dan nasib mungkin adalah perkara tahyul dan mungkar untuk dipercayai.
Tetapi tahukah anda lima kekalahan terbesar Manchester United di saingan Liga Inggeris semuanya di era Premier League hanya berlaku pada Oktober?
Newcastle United 5 Man Utd 0 (St. James’ Park, 20 Oktober 1996)
Ia adalah antara musim terbaik Newcastle United di dalam sejarah Premier League. Malah pada satu ketika, kelab Tyneside itu adalah pilihan utama untuk menjuarai liga.
Kunjungan ke St. James’ Park pada 20 Oktober 1996 memberi mimpi ngeri buat anak buah Ferguson.
Dalam perlawanan tersebut Newcastle mendahului anak buah Ferguson 2-0 hasil jaringan Darren Peacock dan David Ginola.
Tiga lagi jaringan dihasilkan oleh Les Ferdinand, Alan Shearer dan Philippe Albert pada separuh masa kedua untuk melengkapkan kemenangan 5-0.
Malangnya Newcastle gagal mengekalkan momentum kecemerlangan sehingga ke akhir musim, membenarkan Manchester United muncul juara dengan kelebihan tujuh mata pada akhir musim.
Chelsea 5 Man Utd 0 (Stamford Bridge, 3 Oktober 1999)
Bukannya sekali sahaja Manchester United dibelasah dengan jaringan besar di era Sir Alex Ferguson.
Tiga tahun selepas dibelasah Newcastle United dengan jaringan 5-0, Red Devils mengalami nasib yang sama pada musim 1999/00 ketika berkunjung ke London berhadapan Chelsea.
Ia adalah kekalahan pertama pada musim tersebut dan yang ketiga dialami Manchester United sepanjang musim itu. Dua lagi kekalahan ialah ketika berhadapan Tottenham Hotspur dan Newcastle United.
Dalam kunjungan ke Stamford Bridge itu, semuanya serba tidak menjadi buat anak buah Sir Alex. Ketinggalan seawal minit pertama oleg gol Gustavo Poyet, Man United turut beraksi dengan 10 pemain apabila Nicky Butt dilayangkan kad merah.
Mendahului 2-0 pada babak pertama, The Blues tidak memberi peluang membelasah Man United dengan jaringan 5-0, termasuk satu jaringan gol sendiri oleh Henning Berg.
Man Utd 1 Man City 6 (Old Trafford, 23 Oktober 2011)
Walaupun beberapa tahun sebelum persaraannya, Sir Alex masih lagi melalui pengalaman diaibkan dengan kekalahan besar bersama Manchester United.
Kali ini kekalahan tersebut berlaku kepada seteru setempat Manchester City. Ia juga petanda bermulanya era baharu Premier League, dengan City mulai menunjukkan taring sebenar mereka selepas diambil alih oleh pemilik dari UAE.
Dalam perlawanan pada 23 Oktober 2011 di hadapan penyokong sendiri, Red Devils diaibkan oleh jiran mereka itu dengan jaringan 1-6.
Anda pasti ingat akan gelagat pemain penuh kontroversi, dan tulisan ‘Why Always Me?’ Mario Balotelli. Begitu juga dengan bagaimana Rio Ferdinand yang tersingung oleh sifat provokatif penyerang Itali itu selepas perlawanan.
Mancheser City muncul juara Premier League buat kali pertama pada musim tersebut, dipisahkan hanya oleh perbezaan jaringan dengan Manchester United, dan musim tersebut kekal sebagai musim paling sengit di dalam sejarah Premier League sehingga ke hari ini.
Man Utd 1 Tottenham Hotspur 6 (Old Trafford, 4 Oktober 2020)
Prestasi Manchester United sentiasa mengalami pasang surut sejak berada di bawah kendalian Ole Gunnar Solksjaer.
Tetapi kekalahan 1-6 kepada Tottenham menjadi kekalahan besar pertama Red Devils di bawah kendalian pengurus Norway itu.
Harus diakui ramai yang skeptikal dengan perlantikan tetap Solskjaer sebagai pengurus tetap Manchester United, dan kekalahan sebegini seperti dijangka akan menghadirkan tekanan.
Dalam perlawanan tersebut, bruno Fernandes terlebih dahulu menjaringkan gol awal buat Man United. Spurs di bawah kendalian Jose Mourinho – bekas pengendali Man United – bagaimanapun bangkit membalas melalui jaringan Tanguy Ndombele, Son Heung-min (2 gol), Harry Kane (2 gol), dan Serge Aurier.
Selepas separuh musim pertama yang tidak menentu, Solskjaer bagaimanapun berjaya menyeimbangkan pasukannya sehingga muncul naib juara pada penghujung musim lalu.
Man Utd 0 Liverpool 5 (Old Trafford, 24 Oktober 2021)
Selang setahun, Manchester United sekali lagi dibelasah di Old Trafford – kali ini oleh seteru utama mereka Liverpool.
Perlawanan yang dinanti ramai dengan jangkaan akan berlangsung dengan sengit bertukar menjadi mimpi ngeri buat Solskjaer dan Manchester United.
Ramai penyokong Red Devils semakin hilang sabar dengan prestasi yang ditampilkan.
Apatah lagu selepas Solskjaer berbelanja besar mendapatkan pemain-pemain yang mereka mahukan seperti Cristiano Ronaldo, Raphael Varane dan Jadon Sancho pada musim panas lalu.
Dengan skuad sedia ada, ramai meramalkan Manchester United mampu bersaing untuk merebut kejuaraan Premier League pada musim ini selepas menamatkan saingan pada musim lalu sebagai naib juara – di belakang Manchester City.
Namun demikian Manchester United kini sudah tewas tiga kali dan berada lapan mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.
Prestasi semasa Manchester United di bawah Solskjaer turut dikritik hebat oleh bekas pemain seperti Gary Neville, dan Paul Scholes.