5 Kekalahan Paling Memalukan Lionel Messi Sepanjang Kariernya

Bintang Argentina dan Paris Saint Germain, Lionel Messi merupakan salah seorang pemain yang dianggap antara yang terhebat sepanjang zaman.

Beliau sepanjang kariernya berjaya memenangi enam kali gelaran Ballon D’or, 10 gelaran La Liga, empat gelaran Champions League dan satu gelaran Copa America.

Lionel Messi juga sepanjang kariernya, beliau berjaya menjaringkan 672 gol dan turut mencatatkan 301 assists untuk Barcelona sebelum melengkapkan perpindahan menyertai PSG pada musim panas lalu.

Seandainya semuanya berjalan dengan lancar, beliau mungkin akan berjaya untuk menambah lagi koleksi kejayaannya bersama gergasi Perancis itu.

Kehebatan Lionel Messi sering kali membantu beliau dan rakan sepasukannya untuk melalui malam yang indah selepas mencatatkan kemenangan serta kejayaan bersama.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermaksud beliau tiada kenangan pahit di atas padang, dengan Messi juga sebenarnya pernah beberapa kali berdepan dengan kekalahan memalukan.

Memang sangat jarang untuk melihat pasukan yang beliau wakili diaibkan oleh mana-mana pasukan, namun ia tetap pernah berlaku dan kekal menjadi hari yang tidak mahu Messi ingat kembali.

Berikut merupakan lima kekalahan terbesar pernah Messi hadapi sepanjang kariernya, baik diperingkat kelab, mahupun di pentas bola sepak antarabangsa.

5. UEFA Champions League 2018-19: Liverpool 4-0 Barcelona

Barcelona dan Liverpool telah dijadualkan untuk bertemu dalam aksi peringkat separuh akhir saingan Champions League musim 2018/19.

Aksi leg pertama dilangsungkan di Nou Camp dengan Barcelona berjaya mencatatkan kemenangan selesa 3-0 menewaskan Liverpool.

Ketua pasukan Barcelona, Lionel Messi merupakan bintang paling menyerlah ketika aksi yang memperlihatkan Barca membelasah Liverpool itu.

Berbekalkan tiga gol tanpa balas, skuad Barcelona turun ke Anfield dengan penuh keyakinan dan percaya yang mereka sudah selangkah menuju ke aksi perlawanan akhir.

Malang sekali, kunjungan mereka ke bumi Anfield sebenarnya menjadi mimpi ngeri untuk kem Barcelona, dengan mereka dikejutkan dengan kekalahan 4-0.

Lionel Messi gagal untuk membantu rakan sepasukannya bersaing dalam perlawanan itu, dengan skuad Liverpool berjaya mendominasi perlawanan sepenuhnya walau kehilangan beberapa nadi penting.

Antara detik paling diingati dalam perlawanan ini adalah ketika Divock Origi menjaringkan gol keempat Liverpool, dengan jaringan itu merupakan hasil dari kebijaksanaan Trent Alexander Arnold yang pantas mengambil sepakan percuma.

4. Piala Dunia 2010: Argentina 0-4 Germany

Detik paling diingati antara Argentina dan Jerman adalah ketika Mario Gotze berjaya meledak gol kemenangan di minit-minit akhir permainan.

Namun perlawanan tersebut bukanlah aksi pertama Messi bertemu Jerman di pentas Piala Dunia dengan beliau sebenarnya sudah pernah dikecewakan oleh pasukan sama sebelum itu.

Kedua-dua gergasi dunia bola sepak itu bertemu di peringkat suku akhir saingan Piala Dunia 2010, dan Messi bersama rakan sepasukannya ditewas dan disingkirkan oleh Jerman pada ketika itu.

Dengan Diego Maradona ketika itu mengurus mereka, Messi berjaya memukau peminat dengan aksi beliau sepanjang kejohanan tersebut.

Mereka turut dianggap pasukan pilihan yang akan menewaskan Jerman dalam perlawanan itu, namun sayangnya mereka gagal untuk kekalkan momentum kemenangan.

Gol jaringan dari Thomas Muller membangkitkan semangat para pemain Jerman, dengan Lionel Messi kaku di kawal ketat oleh Bastian Schweinsteiger sepanjang perlawanan itu.

Miroslav Klose berjaya meledak dua gol dalam perlawanan tersebut sementara satu lagi gol dijaringkan oleh Arne Friedrich untuk mengesahkan kemenangan 4-0 Jerman menewaskan Argentina.

Lionel Messi teruk dihentam pada ketika itu dengan ramai yang beranggapan Messi sebenarnya tiada hati untuk bantu negaranya menang.

3. UEFA Champions League 2012-13: Bayern Munich 4-0 Barcelona

Walau hanya 4-0, namun perlawanan ini merupakan yang mengecewakan untuk Messi dengan skuad Barcelona, yang mana mereka dibelasah oleh Bayern Munich.

Musim sebelumnya Barca terpaksa melepaskan gelaran Champions League kepada Chelsea dengan mereka pada musim itu mahu berusaha sehabis daya untuk mencipta rekod.

Barcelona sendiri pada ketika itu sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka, namun Barca tetap gagal untuk memenangi gelaran Champions League pada ketika itu.

Ketika aksi leg pertama dalam perlawanan di peringkat separuh akhir itu, Thomas Muller berjaya meledak gol pada minit ke-25 permainan, seterusnya menaikkan semangat para pemain Bayern untuk kenduri gol.

Bayern Munich kemudiannya menambah tiga lagi gol menerusi Muller, Mario Gomez dan Arjen Robben pada aksi babak kedua perlawanan, untuk mengesahkan kemenangan 4-0 mereka menewaskan Barcelona.

Lionel Messi yang baru pulih dari kecederaan gagal untuk melakukan apa-apa untuk membantu rakan sepasukannya dari berdepan kekalahan memalukan.

Pemain terhebat sepanjang zaman Barca itu kemudiannya tidak diturunkan ketika aksi leg kedua di Nou Camp, dengan Barcelona ketika itu ditewaskan 3-0.

2. Kelayakan Piala Dunia 2010 : Bolivia 6-1 Argentina

Kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan merupakan antara yang paling sengit dan menarik berbanding benua lain.

Bermain di Bolivia tidak dinafikan antara tugas yang sukar untuk mana-mana pasukan, dengan Lionel Messi sendiri pernah mengalami hal itu pada tahun 2009 yang lalu.

Aura para penyokong di Estadio Hernando Siles menyebabkan Messi bersama rakan sepasukannya sukar untuk beraksi dengan baik dan tidak mampu untuk pamer aksi persembahan terbaik mereka.

Para pemain Bolivia pula pada ketika itu menikmati hari yang menakjubkan dengan kesemua mereka mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Pasukan tuan rumah berjaya membelasah Argentina 6-1 ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2010 itu dan ia merupakan satu keputusan yang mengejutkan ramai pihak.

Pemain handalan Bolivia, Joaquin Botero berjaya mencatatkan hat-trick dan turut memenangi anugerah pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Sementara Luis Gonzales menjadi satu-satunya pemain Argentina yang berjaya menjaringkan gol dalam aksi kekalahan paling teruk dalam sejarah mereka sejak 60 tahun sebelum itu.

1. UEFA Champions League 2019-20: Barcelona 2-8 Bayern Munich

Bayern Munich sememangnya ada rekod yang sangat baik ketika beraksi bertemu Barcelona dalam aksi saingan Champions League.

Namun begitu, dari semua kekalahan yang Barca hadapi, kekalahan di peringkat suku akhir musim 2019/20 merupakan yang paling menyakitkan untuk mereka.

Memandangkan dunia pada ketika itu diserang wabak pandemik, perlawanan tersebut terpaksa diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penyokong.

Menurunkan kesebelasan terbaik mereka pada ketika itu, Barcelona dijangka bakal membuat kejutan dan akan menyingkirkan Bayern Munich.

Namun malang untuk mereka, Barcelona telah dibelasah teruk oleh Bayern Munich dalam perlawanan itu, dan ia kekal menjadi aksi kekalahan paling memalukan dalam sejarah bola sepak Barca.

Thomas Muller sekali lagi menjadi pemain yang membuka tirai jaringan dengan beliau meledak gol seawal minit keempat perlawanan.

Gol sendiri jaringan David Alaba membantu Barcelona untuk kembali bernafas dan memberi cabaran kepada Bayern Munich dalam perlawanan tersebut.

Namun gol tersebut gagal untuk menaikkan semangat Messi dan rakan sepasukannya untuk memenangi perlawanan ini, dengan mereka bolos tiga lagi gol selepas itu.

Luis Suarez kemudiannya berjaya menjaringkan gol semangat untuk bantu Barcelona melakukan comeback, namun Bayern membalas semula dengan gol jaringan Robert Lewandowski, Joshua Kimmich dan Philippe Coutinho untuk mengesahkan kemenangan 8-2 Bayern.

Lionel Messi merupakan antara pemain paling tidak berprestasi dalam perlawanan tersebut dan aksi kekalahan itu menjadi kekalahan paling teruk sepanjang kariernya.

Leave a Reply