Nafuzi Zain selaku pengendali utama Terengganu memaklumkan lima pemain import pilihan beliau yang bakal beraksi bersama skuad kendaliannya bakal diumum setelah selesai kejohanan empat penjuru di laman sendiri serta aksi siri persahabatan yang bakal dihadapi di Kuala Lumpur, bulan depan.
Jelas beliau, setakat ini semua pemain import masih dalam proses untuk dinilai prestasi mereka berdasarkan keadaan semasa yang dipamerkan mereka dalam latihan dan aksi persahabatan.
“Insyallah, kita akan putuskan sebelum Liga Super bermula bagi memberi peluang kepada pemain yang tidak tersenarai dalam skuad utama berlatih dengan TFC II yang juga memerlukan masa untuk melakukan persediaan menghadapi Liga Perdana,” katanya ketika ditemui Berita Harian selepas sesi latihan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, semalam.
Nafuzi juga sempat mengulas mengenai prestasi semasa keseluruhan para pemain dalam pasukannya setelah lebih sebulan menjalani latihan bersama dengan segalanya berjalan lancar dan masih dalam keadaan menyesuaikan diri. Tambah beliau, setakat ini juga semua pemain import sudah melapor diri dalam latihan.
“Dengan masa yang ada kira-kira enam minggu lagi sebelum aksi pertama liga, jadi saya rasa mencukupi buat kami untuk melakukan persediaan rapi. Lagipun semua pemain import sudah tiba.
“Dengan aksi kompetitif iaitu kejohanan empat penjuru bermula 5 hingga 9 Februari di Kuala Terengganu dan selepas itu pada 17 hingga 20 TFC bakal ‘berkampung’ di Kuala Lumpur bertembung dengan Kelantan FC, Selangor FC dan PDRM FC, kita yakin dapat membentuk gandingan mantap,” katanya.
Untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga-M), Terengganu sudah menandatangani tiga import berbisa iaitu dua bekas penyerang import Kedah, Kpah Sherman dari Liberia serta Tchetche Kipre dari Ivory Coast.
Manakala tiga pertahanan import pula, Terengganu berjaya mendapatkan dua pemain iaitu Argzim Redzovic yang sebelum ini beraksi bersama pasukan ‘feeder’ berasal dari Montenegro, Luke Woodland dari Filipina serta Pape Diakite yang berasal dari Senegal.
Terengganu juga telah mengikat dua pemain tengah untuk memperkuatkan posisi tersebug dengan Manuel Ott yang cemerlang beraksi sebelum ini bersama Melaka United berasal dari Filipina dan pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon yang disambung kontrak.
Pada perlawanan pertama Liga Super yang akan berlangsung 5 Mac ini, Terengganu akan berdepan lawan pertama mereka iaitu Sri Pahang di tempat lawan bagi membuat perhitungan.