Quantcast

KAJIAN & FAKTA

5 Fakta Menarik Mengenai Pertemuan Malaysia VS UAE Yang Perlu Anda Tahu

Malaysia akan turun bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di pusingan kedua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Selain daripada memburu kejutan menentang salah sebuah pasukan yang dianggap gergasi di Asia, kemenangan juga akan memberikan pasukan negara kelebihan ketara sebelum berhadapan Thailand dan juva Vietnam.

Berikut adalah beberapa fakta menarik menjelang perlawanan pada malam ini.

Perlawanan kompetitif pertama

Sejak mengambil alih jawatan Ketua Jurulatih dari Alberto Zaccheroni pada Mac 2019, perlawanan menentang Malaysia adalah perlawanan kompetitif pertama Bert Van Marwijk selaku pengendali UAE.

Menjelang perlawanan menentang Malaysia, dua perlawanan persahabatan telah dilalui oleh Van Marwijk bersama UAE iaitu kemenangan 4-0 menentang Dominican Replublikan dan juga kemenangan 5-1 ke atas Sri Lanka.

Tan Cheng Hoe dan Bert Van Marwijk bersalaman selepas sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang tadi.

Misi Van Marwijk ialah untuk melayakkan UAE ke Piala Dunia di Qatar pada 2022. Jelas sekali persiapan rapi telah dilakukan oleh pengendali dari Belanda itu, apabila telah menghimpunkan sejumlah pemain untuk kem latihan pusat di Salzburg, Austria pada bulan lalu, dan di Bahrain, sebelum 23 pemain akhir menentang Malaysia ditentukan.

Falsafah bola sepak Van Marwijk

Bola sepak Belanda dikenali sebagai bola sepak yang berasaskan hantaran pendek, membina serangan dari bahagian belakang dan posisi pemain dalam struktur yang tidak rigid. Untuk itu, falsafah bola sepak yang diterapkan oleh Van Marwijk juga tidak banyak perbezaan.

Ketika bersama Belanda, Arab Saudi atau pun Australia, Van Marwijk selesa dengan formasi 4-3-3 atau pun 4-2-3-1. Namun demikian Van Marwijk juga terkenal sebagai seorang jurulatih yang fleksibel dari segi pendekatan – seperti mana yang dibuktikan ketika bersama Belanda di Piala Dunia 2010.

Australia’s coach Bert van Marwijk attends a training session in Kazan on June 13, 2018, ahead of the Russia 2018 World Cup football tournament. (Photo by SAEED KHAN / AFP) (Photo credit should read SAEED KHAN/AFP/Getty Images)

Skuad Belanda yang muncul naib juara Piala Dunia 2010, misalnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang fizikal. Ini bermakna corak permainan oleh Van Marwijk turut dipengaruhi oleh barisan pemain yang beliau miliki.

Rekod lampau

Kekalahan 10-0 pada 3 September 2015 kepada UAE, adalah rekod terburuk yang pernah dilalui oleh pasukan negara di pentas antarabangsa. Kita semua pasti masih ingat bagaimana Dollah Salleh meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Daripada 12 pertemuan yang direkodkan antara kedua-dua negara, Malaysia hanya pernah menang dua daripadanya. Kemenangan pertama adalah pada 1980 di Kejohanan Piala Asia apabila Malaysia menewaskan UAE 2-0, hasil jaringan Abdah Alif dan Tukamin Bahari.

Kredit: Goh Seng Chong

Dua tahun berikutnya di Pestabola Merdeka, Malaysia merekodkan kemenangan 1-0. Namun kedua-dua pasukan tersingkir seawal pusingan pertama lagi di kejohanan tersebut.

Omar Abdulrahman

Tumpuan peminat dan pemerhati bola sepak tanah air nampaknya terarah kepada Omar Abdulrahman. Ini tidaklah menghairankan, jika reputasi pemain ini yang pernah mendapat lamaran Manchester City dan kebolehan beliau menghasilkan bantuan gol diambil kira.

Namun pemain perancang ini hanya merasai aksi selama 20 minit sejak mengalami kecederaan ACL pada Oktober tahun lalu. Walaupun mengisytiharkan dirinya sebagai cergas sepenuhnya, kelibat Omar masih lagi diragui untuk beraksi sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Omar Abdulrahman UAE

FOTO: UAE FA

Satu-satunya penampilan Omar sejak Oktober lalu adalah dalam perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka sebelum ke Kuala Lumpur. Tanpa Omar, kemampuan UAE tetap masih sama dengan pemain pengganti lain seperti Habib Al Fardan, dan juga Zayed Al-Amri.

Mimpi ngeri Matt Davies dan Nazirul Naim

Dari kalangan skuad yang dibelasah 10-0 oleh UAE pada 2015, hanya Matthew Davies dan Nazirul Naim masih kekal sehingga ke hari ini. Namun kedua-dua pemain menyaksikan perlawanan dari bangku pemain simpanan pada ketika itu.

Untuk perlawanan pada malam ini, Matthew Davies hampir pasti akan diturunkan di posisi bek kanan. Manakala Nazirul Naim harus bersaing dengan Corbin Ong di posisi bek kiri.

Foto: FAM

Di kem UAE, sekurang-kurangnya lapan pemain dari skuad 2015 masin dikekalkan, termasuk penyerang sensasi, Ali Mabkhout dan Omar. Beraksi atau tidak, perlawanan pada malam ini pasti mahu dijadikan oleh Matthew Davies dan Nazirul Naim untuk melupakan keputusan memalukan tersebut.

Penutup

Mampukah skuad kendalian Tan Cheng Hoe melakar kejutan pada malam ini? Bagi kami, perkara terutama ialah mentaliti pemain dan juga penyokong ketika perlawanan.

Usah gentar, usah goyah. Ayuh Harimau Malaya mengaumlah garang. Garuda sudah dibaham di Senayan, jangan biarkan Bukit Jalil UAE berani perlekehkan. Ayuh Harimau ku, kita buktikan, selagi nyawa dikandung badan!