5 Ejen Bola Sepak Paling Berpengaruh Di Dunia

Hari ini kita tidak boleh menafikan pengaruh kewangan di dalam bola sepak. Anda mahu menonton perlawanan di stadium, anda perlukan wang untuk membeli tiket perlawanan.

Anda mahu menontonnya di rumah, rata-rata perlawanan secara siaran langsung akan disiarkan melalui siaran satelit digital berbayar. Semua pendapatan dari tiket perlawanan dan juga hak penyiaran tersebut akan pergi kepada kelab yang diwakili pemain sebelum turut diterjemah kepada pendapatan pemain.

Belum lagi kita berbicara mengenai tajaan syarikat-syarikat gergasi yang mempunyai kepentingan dan sebagainya yang sedikit sebanyak turut menyumbang kepada kekayaan pemain bola sepak berstatus profesional pada hari ini.

Pendek kata semuanya wang. Kerana itulah wujudnya ejen bola sepak di dalam industri ini. Fungsi mereka ialah untuk mengurus prihal pemain bola sepak untuk memperolehi pendapatan yang setimpal, atau pun lebih daripada apa yang pemain mampu tawarkan.

Artikel pada kali ini membawa anda mengenali 5 ejen bola sepak paling berpengaruh di dunia.

1. Volker Struth

Jumlah klien: 88
Klien utama: Toni Kroos, Marco Reus, Benedikt Höwedes, Ömer Toprak, Gonzalo Castro.
Anggaran komisen 2017: $34.3 juta.

(Photo by Juergen Schwarz/Bongarts/Getty Images)

Volker Struth adalah ejen bola sepak daripada Jerman dan mewakili ramai bintang bola sepak yang beraksi di Bundesliga.

Salah satu urusniaga besar yang pernah dikendalikan oleh Struth ialah ketika berjaya mengendalikan perpindaghan Tony Kroos dari Bayern Munich untuk menyertai Real Madrid pada 2014.

Selain daripada perpindahan Tony Kroos ke La Liga, Struth turut bertanggungjawab menguruskan perpindahan Marco Reus daripada Borussia Monchengladbach ke Borussia Dortmund.

Struth juga adalah individu yang bertanggungjawab menemui bakat Mario Goetze sebelum menjadikan pemain tersebut sebagai pemain termahal di Jerman sehingga kini, dengan perpindahan ke Bayern Munich.

Kejayaan mengendalikan beberapa perpindahan berprofil tinggi menjadikan Volker Struth antara ejen bola sepak paling berpengaruh di dalam industri ini.

2. Mino Raiola

Jumlah klien: 55
Klien utama: Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba, Romelu Lukaku, Blaise Matuidi, Henrikh Mkhitaryan, Marco Verratti.
Anggaran komisen 2017: $43.5 juta

(Photo by AMA/Corbis via Getty Images)

Siapa yang tidak mengenali ejen berketurunan Itali-Belanda yang penuh kontroversi ini. Raiola memulakan tugas sebagai ejen pada akhir lewat 1990an.

Perpindahan utama pertama yang diuruskan oleh Raiola melibatkan perpindahan Pavel Nedved daripada Sparta Prague ke Lazio, sebelum menjana perpindahan pemain tersebut ke Juventus.

Nama Raiola semakin dikenali ramai apabila beliau mengikat Zlatan Ibrahimovic ketika pemain tersebut masih bersama Ajax. Beliau kemudiannya bertanggungjawab akan perpindahan penyerang antarabangsa Sweden tersebut ke Barcelona, Inter Milan, PSG dan kemudiaannya Manchester United.

Musim panas 2016, Raiola sekali lagi menjadi perhatian apabila berjaya meyakinkan Juventus untuk menjual Paul Pogba untuk kembali menyertai Manchester United dengan nilai perpindahan £100 juta.

Beliau turut dilaporkan menerima komisen sebanya £41 juta melalui perpindahan tersebut. Raiola terus menjadi rakan baik Manchester United sejak persaraan Sir Alex Ferguson.

Selepas Pogba, Romelu Lukaku dan juga Henrikh Mkhitaryan adalah 2 lagi pemain dibawah kendalian Raiola berpindah ke Old Trafford. Untuk itu, beliau dianggap antara ejen bola sepak terbaik melengkapkan proses rundingan dalam industri ini.

Raiola mungkin tidak memiliki ramai pemain di bawah kendaliannya. Namun beliau mempunyai ramai nama besar di dalam bola sepak bernaung di bawah syarikat milik beliau.

3. Jonathan Barnett

Jumlah klien: 116
Klien utama: Gareth Bale, Gylfi Sigurdsson, Grzegorz Krychowiak, Adrien Silva, Adam Lallana, Luke Shaw, Joe Hart
Anggaran komisen 2017: $53.4 million

(Photo by Dave Thompson/Getty Images)

Jonathan Barnett (gambar atas, kanan sekali) adalah ejen bola sepak berusia 67 tahun dan merupakan pengerusi kepada syarikat Stellar Group. Barnett dikenali sebagai antara ejen bola sepak paling berpengaruh dan telah mengendalikan beberapa nama besar di dalam industri bola sepak di seluruh dunia.

Di bawah syarikat Stellar Group, terdapat lebih 500 klien bernaung di bawahnya, termasuk atlet-atlet terkenal daripada pelbagai jenis lapangan sukan.

Antara urusniaga terkenal yang dikendalikan sendiri oleh Barnett ialah perpindahan bernilai  £86juta Gareth Bale daripada Tottenham Hotspur ke Real Madrid, yang turut mengembalikan komisen bernilai £14 juta.

Barnett juga merupakan arkitek kepada perpindahan Luke Shaw ke Manchester United dan yang terbaru ialah Gylfi Sigurdsson dari Swansea ke Everton pada musim panas yang lalu.

Antara bintang bola sepak muda yang bernaung di bawah syarikat Jonathan Barnett ialah Timothy Fosu-Mensah di Manchester United.

Beberapa fakta menarik mengenai Barnett ialah beliau telah dinobatkan sebagai  Forbe’s “The World’s Most Powerful Sports Agents 2017”.

Dan klien pertama kendalian Barnett ialah legenda sukan kriket Trinidad & Tobago, Brian Lara.

4. Jorge Mendes

Jumlah klien: 102
Klien utama: Cristiano Ronaldo, Angel Di Maria, James Rodriguez, Diego Costa, Bernardo Silva, Jose Mourinho
Anggaran komisen 2017: $76.9 juta

(Photo by Juan Naharro Gimenez/FilmMagic)

Ejen kelahiran Portugal ini adalah yang pertama mendapat gelaran ‘super-agent’ dan turut menerima anugerah “FIFA’s Agent of the Year” sebanyak 3 kali sepanjang kariernya.

Beliau turut diiktiraf dengan anugerah “Best Agent of the Year” ketika Globe Soccer Awards sebanyak 6 kali berturut-turut di antara, tahun 2010 sehingga 2015.

Beliau mulai mencipta nama di dalam industri ini apabila membantu melengkapkan perpindahan Cristiano Ronaldo dari Sporting Lisbon ke Manchester United pada 2003, sebelum perpindahan bintang Portugal itu ke Real Madrid dengan rekod perpindahan £80 juta pada masa itu.

Beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Jose Mourinho ke kancah saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), ketika pengendali berbangsa Portugis itu menyertai Chelsea daripada Porto.

Antara perpindahan bintang bola sepak terkenal lain yang berada di bawah kendalian Jorge Mendes ialah perpindahan James Rodriguez ke Real Madrid, Diego Costa ke Chelsea, dan juga Angel Di Maria ke Manchester United sebelum pemain tersebut beralih ke PSG.

Cristiano Ronaldo sangat memandang tinggi akan kemampuan Mendes melakukan rundingan. beliau pernah dipetik sebagai berkata:

“Kekuatan utama yang ada pada Jorge ialah kejujuran, keikhlasan dan etika profesional beiau. Tidak ada ejen lain yang sanggup bekerja keras seperti yang ditunjukkan oleh beliau. Tanpa ragu-ragu, Jorge ialah ejen bola sepak No.1 dunia.”

5. Constantin Dumitrascu

Jumlah klien: 87
Klien utama: Edinson Cavani, Philippe Coutinho, Douglas Costa, Nemanja Matic, Dimitri Payet, N’Golo Kante, Raphael Varane, Olivier Giroud
Anggaran komisen 2017: $107.8 million

(Photo by Spencer Platt/Getty Images)

Constantin Dumitrascu adalah pengarah dan juga pemilik kepada Mondial Sports Management yang berpengkalan di Jerman. Di bawah bumbung syarikatnya, Dumitrascu turut mengendalikan beberapa nama besar di dalam arena bola sepak.

Antara perpindahan yang mendapat perhatian dunia dijana oleh Dumitrascu ialah perpindahan bernilai €64 juta Edison Cavani dari Napoli ke PSG.

Beliau turut bertanggungjawab melengkap rundingan perpindahan N’golo Kante dari Leicester City ke Chelsea pada awal musim lali, dan yang terbaru ialah ketika Nemanja Matic melengkapkan perpindahan daripada Chelsea ke Manchester United.

Majalah Forbes menyenaraikan Dumitrascu di atas Jorge Mendes dan Mino Raiola sebagai ejen bola sepak No.1 dunia dari segi nilai kutipan komisen pada 2017.

Beliau mungkin kurang mendapat perhatian ramai sepertimana Mendes dan Raiola kerana kaedahnya yang lebih menjurus kepada urusniaga seorang ala seorang usahawan dan eksekutif.

Namun beliau digemari oleh pemain yang berada di bawah naungannya kerana kecekapan menjaga aspek kebajikkan pemain.

Rumusan

Senario dan pengunaan ejen bola sepak sebenarnya bukan perkara yang asing, termasuk di negara kita. Tetapi buat masa ini, penggunaan ejen bola sepak di Liga Malaysia lebih menjurus kepada pengambilan pemain import.

Mungkinkah anda berminat untuk menjadi seorang ejen pada masa hadapan? Atau adakah anda mempunyai pengalaman sebagai seorang ejen dalam kancah bola sepak tempatan?

Satu perkara yang pasti sebagaimana ditunjukkan di eropah, ia adalah pekerjaan yang lumayan di dalam industri ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN