Apakah status industri bola sepak negara pada hari ini setelah lebih setahun berhadapan dengan pandemik Covid-19. Negatif! Itulah jawapan mudah untuk memberikan gambaran keseluruhan situasi bola sepak pada hari ini.
Bola sepak sama sahaja seperti industri lain. Tanpa sebarang perlawanan dibenarkan, mana mungkin bola sepak boleh menjana pendapatan.
Timbul pula cakap-cakap dari kalangan komuniti bola sepak di dalam negara bahawa Kerajaan Malaysia kurang prihatin dengan nasib bola sepak sebagai sebuah industri.
Ekosistem bola sepak negara
Pada fasa ini, sukar untuk menafikan dakwaan sedemikian. Lagi pun apakah perkara yang telah dilakukan kerajaan terutama melalui Kementerian Belia dan Sukan untuk menyelamatkan industri bola sepak negara?
Mereka yang berada di dalam kerajaan mungkin tidak faham akan struktur bola sepak, dan bagaimana pandemik ini menjejaskan industri.
Ekosistem bola sepak di negara sebenarnya amat luas. Ia bukan sekadar melibatkan pemain dan jurulatih.
Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail berkata Liga Malaysia merupakan sektor profesional di mana semua pemegang taruh berkait antara satu sama lain.
1. Benarkan saingan Liga Malaysia 2021 diteruskan
Cara paling mudah dan perkara pertama yang harus dilakukan oleh kerajaan demi memastikan kelangsungan industri bola sepak di dalam negara terus bernyawa ialah dengan membenarkan musim baharu Liga Malaysia 2021 diteruskan.
Buat masa ini Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menangguhkan sepak mula saingan Liga-M tahun ini daripada 26 Februari kepada 5 Mac depan disebabkan pelaksanaan PKP yang tidak membenarkan semua pasukan menjalankan latihan berpasukan.
Apa yang mengecewakan ialah apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) ‘melayan’ industri bola sepak di negara ini seperti acuh tak acuh.
Beberapa sektor ekonomi lain terutamanya industri perkilangan terus diberi ‘keistimewaan’ untuk meneruskan operasi mereka seperti biasa sekalipun ratusan kluster baharu melibatkan tempat kerja telah dilaporkan setiap hari.
Sedangkan sejak pandemik COVID-19 ‘menyerang’ bermula awal tahun lalu sehingga hari ini, masih belum ada kluster atau penyebaran yang berpunca daripada aktiviti bola sepak terutamanya melibatkan industri bola sepak profesional.
Bayangkan sejak aktiviti sukan bola sepak dibenarkan sepanjang tempoh PKP Pemulihan sebelum ini, lebih kurang 50 perlawanan sosial berlangsung di padang-padang bola sepak di seluruh negara sepanjang tiga bulan, di mana kluster padang bola?
Akibat rombakan jadual dan format pertandingan pada tahun lalu – termasuk pembatalan pertandingan Piala Malaysia – telah menyebabkan beberapa penaja menarik diri. Keadaan ini akan menjadi semakin parah jika pertandingan tidak boleh diteruskan mengambil kira penaja dan hak penyiaran yang menjadi sumber pendapatan utama setiap pasukan bertanding.
2. GLC penyelamat kewangan
Selepas mengharungi musim serba tidak menentu pada musim lalu, maka berbohonglah kita jika enggan mengaku kedudukan kewangan kebanyakan kelab bola sepak pada hari ini berada di dalam keadaan tidak stabil. Beberapa pasukan terpaksa melakukan rombakan besar-besaran dengan melupakan khidmat pemain tertentu demi kelangsungan pasukan. Malaysian Football League (MFL) sebagai badan pentadbir dan penganjur juga pasti runsing selepas satu persatu penaja menarik diri akibat kesan pandemik yang turut dialami.
Salah satu cara kerajaan boleh membantu industri ialah dengan menghulurkan bantuan melalui syarikat GLC. Untuk rekod, negara mempunyai hampir 500 buah syarikat berkaitan kerajaan. Petronas misalnya merupakan salah sebuah syarikat gergasi dan mampu melakukan penajaan di dalam sukan Formula 1 dengan pelaburan sebanyak RM3.18 billion untuk 10 tahun sebelum ini.
Jika industri pemotoran seperti F1 boleh dibantu, mengapa tidak syarikat seperti Petronas membantu menghidupkan industri bola sepak negara di peringkat domestik? Mungkin ada pihak terutama pakar ekonomi akan berkata Liga Malaysia bukan lagi ‘playground’ buat syarikat seperti Petr0nas yang mahukan tumpuan di mata dunia. Bagi penulis tanggapan itu tidak tepat.
Pembabitan Petronas sendiri di dalam industri permotoran bermula dengan penajaan pasukan rali tempatan yang bersaing di peringkat tempatan, serantau sebelum pergi lebih jauh ke peringkat antarabngsa. Pembabitan menerusi penajaan PETRONAS Motorsport itu kemudian dikembangkan membabitkan pelbagai sukan permotoran terutama F1. Inisiatif pembinaan imej dan jenama melalui penajaan oleh PETRONAS Motorsport bertindak sebagai platform terbukti. Bayangkan jika pelaburan sama dilakukan juga di dalam bola sepak bermula dari saingan liga tempatan. Seperti juga di dalam sukan pemotoran, bola sepak juga mempunyai audien yang ramai di seluruh dunia.
3. Pengecualian cukai
Dua perkara pertama di atas adalah contoh bagaimana kerajaan boleh membantu menghidupkan kembali industri bola sepak negara secara atas permukaan/surface sahaja. Seperti yang ditekankan oleh CEO PFAM, Izham Ismail bola sepak negara wujud di dalam satu bentuk kitaran dan mempunyai ekosistem tersendiri.
Apabila kita memberi penekanan kepada bola sepak sebagai industri ia bukan sekadar saingan Liga Malaysia. Bagaimana dengan jurugambar, kakitangan kelab, pengusaha padang/ gelanggang futsal, bola sepak akar umbi termasuk akademi bola sepak, makcik berniaga pisang goreng luar stadium, dan sebagainya? Tanpa sebarang perlawanan dibenarkan, bagaimana mereka mampu meneruskan kelangsungan perniagaan?
Menurut Nadzry Abu Bakar dari Arena Legacy dalam satu program bual bicara pada tahun lalu, beliau berkata kajian yang dilakukan menunjukkan bola sepak sosial dan amatur mengalami kerugian RM11.5 Juta sebulan sepanjang PKP.
Bola Sepak Akar Umbi Dalam Negara Rekod Kerugian Tidak Kurang RM11.5 Juta Sebulan oleh @GrandstandKITA on June 12, 2020https://t.co/qQLl3CZm0X
— padangbolasepak.com🇲🇾 (@padangbolasepak) June 29, 2020
Ia meliputi kos secara langsung melibatkan operator padang dan venue yang ada di dalam negara, pendapatan yang mungkin diperolehi pengadil, pendapatan pasukan dan pengurusan.
Turut terkesan tanpa disedari adalah penganjur liga (sosial dan komuniti), jurugambar, live streaming, pengulas, jurulatih sepenuh masa dan separa masa, fisioterapi. Tidak ketinggalan yang turut menanggung kerugian adalah mereka yang terlibat secara tidak langsung seperti pembekal peralatan sukan, dan akademi bola sepak swasta. Bayangkan impak yang diterima selepas setahun negara dilanda Covid-19? Tanpa sebarang bantuan, segala usaha yang telah dibina selama ini akan bungkus begitu sahaja.
Oleh itu, adalah amat muanasabah bagi pihak kerajaan mempertimbangkan untuk memberi pengecualian kepada syarikat dan individu yang terlibat secara langsung di dalam sukan khususnya bila sepak untuk membayar cukai. Tempoh rehat pembayaran cukai sekurang-kurangnya dapat membantu mereka menyusun strategi untuk pulih dari impak ekonomi akibat pandemik ini.
4. Perkhidmatan enforcement percuma
Jika perkara kedua dan ketiga di atas tampak seperti berat dan sukar untuk kerajaan bantu, maka bantuan paling koman pun yang boleh dihulurkan ialah dengan memberi khidmat JPAM atau RELA secara percuma untuk melaksanakan enforcement di padang bola sepak dan stadium – jika kerajaan sangsi dengan pematuhan SOP di kalangan mereka yang terlibat.
Lagipun tatkala negara masih lagi dilanda pandemik Covid-19 seperti pada hari ini, pematuhan SOP oleh setiap pihak masih dilihat sebagai perkara wajib dan perlu sepertimana yang dilakukan oleh industri lain di dalam negara.
Anggota @relamalaysia Yang Bertugas Ketika Perlawanan Akhir Piala FA Di Stadium Bukit Jalil @Zahid_Hamidi @KP_RELA pic.twitter.com/nQ6yHWAtuR
— Nama Saya Rain (@Nazrin_17) July 1, 2013
Walaupun tanpa kehadiran penonton di stadium, kehadiran penguatkuasa seperti JPAM atau RELA diperlukan demi memastikan setiap pasukan bertanding mengikuti SOP yang ditetapkan pada hari perlawanan. Langkah ini sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan kos kepada pemilik kelab bola sepak amatur dan juga penganjur pertandingan. Janganlah kerana ada VIP sahaja barulah ditugaskan anggota secara percuma.
Dan jika benar kerajaan berniat untuk membantu mengurangkan kos ini, dana yang diperuntukkan boleh disalurkan terus melalui permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan yang akan bekerjasama secara terus dengan MFL, pengusaha padang dan sebagainya.
5. Kerajaan kena bertindak
Sebenarnya tiada guna kita menyenaraikan walaupun sejuta cara dan kaedah yang perlu diambil jika tindakan drastik diambil oleh kerajaan. Apa yang penting keputusan harus dibuat oleh pihak kerajaan demi kelangsungan industri. Perkara dan isu ini bukan kali pertama dibawa ke perhatian pihak berkenaan.
Bila dikata kerajaan tidak peduli, sudah pasti pihak berkenaan pantas menafikannya. Tetapi sampai ke hari ini apakah bentuk bantuan yang kerajaan berikan kepada industri?
KBS tlh mengadakan satu sesi libat urus bersama pengusaha padang & gelanggang komersil serta akademi utk sukan bola sepak & futsal utk bertukar pandangan mengenai pembangunan sukan bolasepak dan untuk mendapat cadangan memperkukuhkan lagi SOP pembukaan sektor sukan dan rekreasi. pic.twitter.com/SnGGvOuYre
— KBSMalaysia (@KBSMalaysia) July 3, 2020
Setakat panggil media turun padang untuk rakam kehadiran ‘mereka-mereka yang berkenaan’ yang kononnya faham akan pergumulan dan masalah pemain industri tetapi tanpa tindakan susulan pun tiada gunanya. Apa yang paling penting ialah tindakan. Tanpa gula sudah tentu kopinya pahit. Begitulah juga kata-kata dan publisiti tanpa tindakan.
Penutup
Penulisan ini bukanlah bertujuan mencari dan menuding jari kepada pihak kerajaan semata-mata. Tetapi niat itu lebih kepada mencari penyelesaian terbaik agar industri bola sepak negara terus berkembang maju pasca pandemik nanti.
Pemain bola sepak, jurulatih, pengusaha padang, jurugambar, wartawan sukan, mereka juga tergolong sebagai rakyat Malaysia dan menyumbang kepada negara dalam bentuk cukai dan sebagainya demi kelangsungan industri selama ini. Apa yang dipinta hanyalah sedikit sifat prihatin daripada pihak kerajaan.
Akhir sekali janganlah kita bermimpi nak ke Piala Dunia kerana sembang kosong pun tiada gunanya.
Nota editor: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak menggambarkan pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.
Baca artikel menarik daripada kami yang lain melalui pautan di bawah:
‘Dah 10 Kali Tengok Ulang Tayang’ – Arteta Tak Puas Hati Kad Merah David Luiz
Senarai 10 Perpindahan Keluar ‘Masterstoke’ Liverpool Yang Dianggap Genius
Senarai Lengkap Aktiviti Perpindahan Januari 2021 Melibatkan 20 Kelab EPL