Wayne Rooney dipilih selaku kapten Manchester United oleh Louis Van Gaal pada musim panas 2014, apabila pengurus dari Belanda itu tiba di Old Trafford untuk menggantikan Nemanja Vidic.
Sejak daripada itu, Rooney telah mengemudi skuad The Red Devil untuk menjulang Piala FA pada musim 2015-2016, Piala EFL dan juga UEFA Europa League (UEL)- walaupun tampil sebagai pemain simpanan dalam kebanyakkan perlawanan pada musim lalu.
Laporan di UK menyatakan Wayne Rooney hampir pasti melengkapkan perpindahan kembali ke kelab lamanya, Everton.
Ini bermakna Manchester United memerlukan kapten pasukan yang baharu untuk saingan pada musim hadapan.
Pada pendapat anda, siapakah yang layak menaruh lilitan kapten skuad The Red Devils? Mampukah pemain tersebut tampil sebagai kapten sehebat Nemanja Vidic, Roy Keane, Eric Cantona atau pun Bryan Robson?
Kami senaraikan 5 calon yang kami fikirkan akan diamanahkan oleh Jose Mourinho untuk menggalas peranan selaku kapten Manchester United yang baharu.
1. Chris Smalling
Pada musim lalu, Chris Smalling merupakan pilihan ketiga untuk memakai lilitan kapten Manchester United.
Smalling beraksi cemerlang pada musim sebelumnya, menjadikan beliau pilihan utama Van Gaal dan juga England.
Namun, Smalling juga kelihatan seperti pilihan ketiga pertahanan tengah yang akan diturunkan oleh Mourinho.
Mourinho lebih gemar akan gandingan Eric Bailly dan Marcos Rojo selepas prestasi tidak menentu Smaliing pada musim lalu.
Setelah dikritik secara terbuka oleh Mourinho pada pertengahan musim, masa depan Smalling di United seperti tidak menentu.
Smalling hanya dipilih menyertai kesebelasan utama Manchester United dalam perlawanan akhir UEL setelah kecederaan melanda Marcos Rojo dan juga Eric Bailly.
2. David de Gea
Tidak dapat dinafikan, David de Gea merupakan penjaga gol paling menyerlah di Liga Perdana Inggeris (EPL)- dan mungkin penjaga gol terbaik dunia?
De Gea hampir meninggalkan Old Trafford pada musim panas 2015, namun mengakhirinya dengan satu kontrak panjang untuk kekal bersama Manchester united.
Corak permainannya terus meningkat selepas itu.
Penjaga gol antarabangsa Sepanyol ini adalah seorang ketua di hadapan gawang dan juga individu yang popular di kalangan rakan sepasukannya.
Ramai yang skeptikal akan peranan seorang penjaga gol sebagai kapten. Namun begitu, posisi berkenaan membenarkan De Gea memerhatikan apa sahaja di depannya.
De Gea kelihatan selesa beraksi di belakang pertahanannya musim lalu, dan tidak teragak-agak mengarahkan rakannya untuk menutup ruang untuk mengawal serangan lawan.
Di sebalik perkara positif yang dibawa oleh De Gea, kita semua tahu bagaimana Real Madrid sangat mengingini khidmat penjaga gol itu.
3. Ander Herrera
Ander Herrera merupakan antara pemain yang menyerlah pada musim pertama Jose Mourinho mengendalikan Manchester United.
Pemain tengah berusia 27 tahun ini mempunyai masa depan yang cerah jika persembahan pada musim lalu diambil kira.
Herrera adalah pemain pilihan penyokong Red Devils. Beliau juga seorang pemain yang memahami kehendak dan kualiti yang diperlukan oleh kelab paling berjaya di England ini.
Jelas Herrera mempunyai dan memahami falsafah yang dipraktikkan oleh Manchester United sejak sekian lama.
Sebelum ini, Herrera seolah-olah seperti tercari-cari posisi tengah yang sesuai dengan corak permainannya bersama United, terutama ketika era Van Gaal.
Namun begitu, Jose Mourinho jelas punyai taktikal yang berkesan untuk menggunakan Herrera bersama Paul Pogba di jentera tengah pasukan itu pada musim lalu.
Ander Herrera kelihatan seperti menikmati karier dan peranannya bersama Manchester United. Penyokong setia The Red Devil pasti mahu melihat beliau terus bermain sehingga akhir kariernya di Old Trafford.
Ketika bertemu Ajax dalam aksi perlawanan akhir UEL, Herrera membuktikan kualiti kepimpinannya dengan mengarahkan Henrik Mkhitaryan untuk masuk ke kawasan penalti sebelum sepakan penjuru yang menghasilkan gol ke-2 buat United.
4. Paul Pogba
Musim hadapan (2017-2018) adalah musim kedua pemain termahal dunia ini bersama Manchester United setelah kembali kembali menyertai United daripada Juventus.
Pada mulanya, tanda harga perpindahan daripada Turin seolah-olah memberikan tekanan buat Pogba untuk menghasilkan permainan yang mantap.
Namun begitu, kebolehannya semakin terserlah ketika Manchester United menuju saingan di penghujung musim.
Akhirnya, Paul Pogba boleh menerima tanda harga dan tanggungjawab sebagai pemain bintang di United dalam beberapa siri perlawanan membabitkan skuad Jose Mourinho.
Kehadiran Pogba turut membangkitkan kualiti pemain-pemain Manchester United yang lain ketika aksi di atas padang. Beliau juga seperti telah menjumpai kembali sentuhan jaringannya.
Pada usia 23 tahun, Pogba boleh mengemudi Manchester United sebagai kapten untuk tempoh satu dekad yang akan datang.
5. Antonio Valencia
Selepas Wayne Rooney dan Michael Carrick yang berada di penghujung karier, pemain pertahanan antarabangsa Ecuador ini adalah pemain terlama menabur khidmat bersama Manchester United.
Valencia telah diamanahkan lilitan kapten oleh Jose Mourinho dalam perlawanan terpenting United pada musim lalu- perlawanan akhir UEL, walaupun dengan kehadiran Chris Smalling.
Antonio Valencia adalah penerima anugerah ‘United’s Players’ Player of the Year’ setelah menunjukkan persembahan yang konsisten sepanjang musim lalu.
Malah Jose Mourinho turut melabel Valencia antara pemain bek kanan terbaik dunia, walaupun posisi asalnya adalah sebagai pemain sayap kanan.
Valencia sudah memahami budaya dan DNA di United sejak berpindah ke Old Trafford pada musim panas 2009 daripada Wigan.
Selain daripada memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan kelab Manchester ini untuk dua tahun berturut-turut, Valencia adalah seorang pemain yang dihormati di dalam bilik persalinan Manchester United.
Kesimpulan
Apa pendapat penyokong Manchester United? Siapakah yang paling layak mendapat penghormatan untuk menyarung lilitan kapten Manchester United pada musim hadapan?
Atau anda punyai cadangan dan calon lain yang lebih layak? Fellaini? Rashford? Mata?
Coretkan pendapat anda di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.
Sumber:
1. Scott Patterson, ESPN FC (2017): After Wayne Rooney, who should be Manchester United’s next captain;
http://www.espnfc.com/club/manchester-united/360/blog/post/3153460/after-wayne-rooney-who-should-be-manchester-uniteds-next-captain
2. Andrew Richardson, The Sun (2017): SKIP, THE QUEUE Paul Pogba, Ander Herrera and David De Gea: Five contenders to be next Manchester United captain after Wayne Rooney;
https://www.thesun.co.uk/sport/football/2525332/paul-pogba-ander-herrera-and-david-de-gea-five-contenders-to-be-next-manchester-united-captain-after-wayne-rooney/