Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) sebentar tadi mengambil keputusan untuk menarik balik larangan perpindahan pemain kepada pasukan T-Team dan Perlis.
Keputusan FMLLP itu turut melibatkan pemotongan mata kedua-dua pasukan yang dikenakan sebelum ini dikurangkan daripada 6 mata kepada 3 mata.
Keputusan ini diumumkan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan penganjur Liga Malaysia tersebut sebentar tadi.
Menurut kenyataan tersebut, 3 pasukan iaitu T-Team, Perlis dan ATM telah mengemukakan rayuan mereka kepada FMLLP terhadap pemotongan 6 mata liga dan larangan perpindahan pemain semasa jendela kedua.
Bagaimanapun, nasib ATM masih belum dijelaskan memandangkan kes berkenaan memerlukan siasatan lanjut daripada pihak FMLLP.
Kenyataan daripada pihak FMLLP turut menyebut satu surat yang dikeluarkan oleh pihaknya pada 2 Mei 2017 dengan jelas menyatakan bahawa pasukan yang tidak mengemukakan dokumen yang diperlukan sebelum 15 Mei 2017 akan dikenakan penggantungan perpindahan pemain pada jendela kedua.
Pasukan T-Team dan Perlis telah mengemukakan dokumen seperti yang dikehendaki sebelum tarikh yang ditetapkan.
Pada awal Mei yang lalu, FMLLP mengumumkan hukuman pemotongan 6 mata dan larangan mendaftar pemain baru bermula 15 Mei 2017 ini (tarikh jendela perpindahan pemain yang kedua dibuka) kepada 2 pasukan Liga Super; Kelantan dan T-Team dan 2 pasukan Liga Premier; ATM dan Perlis.
Hukuman ini dibuat susulan kegagalan 4 pasukan berikut melengkapkan proses pendaftaran melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) sebelum 31 Mac 2017 yang lepas.
Sehari selepas pengumuman hukuman tersebut, CEO pasukan T-Team iaitu Aidi Naim Mohamad Samsani telah mengeluarkan kenyataan di Facebook rasmi T-Team untuk menjelaskan situasi sebenar.
Beliau mengakui berlaku sedikit kelewatan dalam mengemas kini Sistem Pengurusan Maklumat Bola Sepak (SPMB) dan MYPass.
Bagaimanapun T-Team telah pun memaklum perkara ini kepada pihak berkenaan sebelum tarikh akhir diberikan oleh pihak FMLLP pada 31 Mac 2017.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa bbjektif FMLLP adalah pematuhan oleh pasukan. Dalam kes sebegini, ia adalah pematuhan kepada tarikh akhir untuk menghantar dokumen bagi pendaftaran pasukan.
FMLLP berharap agar pematuhan oleh pasukan akan diperbaiki dan tidak berulang untuk masa akan datang.