Kehadiran bintang terkemuka dunia yang menjadi jurulatih skuad kebangsaan Kemboja, Keisuke Honda ternyata telah menarik minat ribuan penyokongnya untuk memenuhi Stadium Olimpik Phnom Penh malam ini.
Aksi persahabatan antarabangsa di antara Kemboja menentang Malaysia sememangnya menjadi tumpuan oleh media di negara tersebut dan juga negara Jepun kerana ia merupakan perlawanan pertama Honda sebagai jurulatih.
Dawn of a new era: What next for Cambodia under Keisuke Honda?
Monday evening, the reign of Keisuke Honda begins when Cambodia host Malaysia in a friendly at the Olympic Stadium in Phnom Penh.https://t.co/7Wkk3odskM
— The Cambodia Daily – ឌឹ ខេមបូឌា ដេលី (@cambodiadaily) September 9, 2018
Kehadiran bintang berpengalaman yang pernah bermain untuk AC Milan itu menyebabkan penyokong tuan rumah meletakkan harapan tinggi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
“Saya mahu anda semua (penyokong) bertenang. Fokus utama adalah untuk memastikan pemain kita terus meningkat. Saya percaya kita memiliki pemain yang berpotensi,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Mengulas mengenai perlawanan malam ini, Honda memberi amaran kepada skuad Tan Cheng Hoe bahawa anak buanya sudah siap sedia untuk melakar kejutan di hadapan ribuan penyokong sendiri.
“Kami tidak sabar untuk bertemu Malaysia. Kami sudah menjalani latihan dalam beberapa hari dan saya percaya kami memiliki pemain yang bagus, berpengalaman dan muda.
“Memang bukan mudah untuk meraih kemenangan ke atas Malaysia tapi kami tidak gentar. Saya jangkakan perlawanan yang sukar tapi akan cuba yang terbaik,” katanya dalam sidang media.
Honda yang bersara daripada bola sepak antarabangsa bulan lalu selepas Jepun tewas kepada Belgium di Piala Dunia Rusia, akan membantu bola sepak Kemboja dan mempromosi negara berkenaan.
“Saya akan membantu Kemboja membangunkan gaya permainan bola sepak sebenar.
“Projek kami baru sahaja bermula. Kami masih dalam sistem baharu, program pembangunan baharu dan saya sudah jelaskan kepada para pemain, mereka faham dengan perancangan kami,” kata bekas penyerang Jepun yang sudah menubuhkan akademi bola sepak sendiri di Kemboja bersama Angkor FC.
Kemboja dan Malaysia akan bertemu lagi dalam perlawanan pembukaan dalam aksi Kumpulan A kejohanan Piala AFF pada 8 November ini.
Selepas selesai minggu perlawanan antarabangsa, Keisuke Honda akan kembali ke Australia sebagai pemain Melbourne Victory sebaik sahaja saingan A-League bermula Oktober ini.