4 Sebab Tunku Ismail Tidak Patut Menjadi Presiden FAM

Perlantikan DYAM Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak dilihat sebagai satu lembaran baru yang positif dalam kancah bola sepak Malaysia.

Kehadiran presiden baru bolehlah dilihat sebagai tonik yang bakal memperkasakan skuad Harimau Malaysia menjelang kejohanan Sukan SEA pada bulan Ogos tahun ini.

Namun, disebalik beberapa perubahan positif yang berlaku dalam atmosfera bola sepak negara, terdapat beberapa kegusaran yang boleh menjejaskan kredibiliti TMJ sebagai pucuk pimpinan FAM.

Berikut ada beberapa sebab mengapa Tunku Ismail bukanlah individu yang benar-benar layak untuk menerajui FAM.

1. Masalah ‘anak emas’ takkan selesai

Sewaktu Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah memegang tampuk kepimpinan FAM, negeri Pahang tidak lekang dari menerima layanan istimewa sewaktu beraksi dalam Liga M.

Antara kronologi yang paling hangat diperkatakan adalah apabila Pahang ‘diselamatkan’ pada saat-saat akhir pada tahun 2006 dan yang terbaru pada musim yang lepas.

Jika anda terlupa, suka saya ingatkan bahawa pada tahun 2006, pasukan yang bertanding dalam liga tiba-tiba ditambah yang menyaksikan Pahang kekal dalam saingan Liga Super Malaysia.

Pada tahun lepas pula, Pahang mendapat 3 mata setelah Kedah didapati bersalah pada penghujung musim setelah pasukan Helang Merah didapati bersalah menurunkan pemain yang sepatutnya digantung perlawanan.

Setelah Tunku Ismail dilantik sebagai Presiden FAM, status ‘anak emas FAM’ kini pula disandarkan kepada pasukan JDT, pasukan yang ditatang bagai minyak yang penuh oleh beliau.

Tidak perlu menunggu lama pun untuk melihat perkara ini. Terbaru, pasukan Pahang berkemungkinan didenda setelah mereka gagal memainkan lagu negeri Johor ketika pasukan JDT berkunjung ke sana untuk saingan suku akhir Piala FA 2017.

Yang menghairankan, JDT adalah pasukan bola sepak yang berstatus kelab, mengapa mereka perlu menyanyikan lagu negeri Johor walhal mereka bukan pasukan berstatus FA?

Sedangkan, sewaktu liga M mula-mula diswastakan, pihak FMLLP dengan jelas menyatakan bahawa lagu negeri tidak akan dimainkan sebelum perlawanan kerana dikhuatiri akan membuatkan badan pemain menjadi sejuk selepas warm up.

Namun, setelah lagu tersebut tidak dimainkan di Stadium Darul Makmur, mengapa FMLLP bertindak memperbesar-besarkan hal tersebut? Adakah FMLLP juga kini berada dibawah telunjuk seseorang?

Penyokong mahukan liga yang lebih adil dan kompetitif. Jadi mengapa tak sampai sebulan Tunku Ismail menjadi presiden FAM, badan induk bola sepak ini sudah mula kelihatan berat sebelah?

2. Masih dipimpin oleh individu yang tidak mempunyai kepentingan

Sejak pucuk kepimpinan FAM diambil alih oleh Sultan Haji Ahmad Shah pada tahun 1984, dominasi kerabat diraja dalam stuktur organisasi ini masih tidak berubah.

Peletakan jawatan oleh Sultan Haji Ahmad Shah pada tahun 2014 tidak merubah apa-apa apabila anakanda beliau, Tengku Abdullah memegang jawatan tersebut setelah mengenepikan cabaran Tunku Ismail.

Tidak keterlaluan jika dikatakan selepas lebih 30 tahun kerabat di Raja memegang kepimpinan FAM, kita masih gagal menjadi pasukan digeruni di Asia.

Untuk rekod, kita hanya sekali sahaja layak ke kejohanan Piala Asia pada tahun 2007, itupun kerana kita menjadi tuan rumah dan bukannya secara merit.

Perkara pokok yang ingin diketengahkan disini adalah golongan kerabat diraja ini sebenarnya tidak mempunyai kepentingan dalam badan induk ini.

Kalah atau menangnya skuad Harimau Malaysia, ia tidak memberikan sebarang kerugian kepada mereka.

Sebagai contoh, sewaktu Malaysia tewas teruk 10-0 menentang UAE pada tahun 2015, tiada apapun tindakan yang signifikan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan FAM selain menyandarkan kesalahan tersebut kepada Dollah Salleh secara total.

Adakah kerana TMJ mempunyai minat dalam bidang bola sepak semata-mata melayakkan beliau diangkat sebagai Presiden FAM?

Mengambil Thailand FA sebagai pembandingan, negara jiran kita melalui zaman emas bola sepak mereka zaman FAT diterajui oleh Worawi Makudi, seorang rakyat marhaen yang merupakan seorang penggiat bola sepak dan salah seorang ahli konsul FIFA.

Malahan, zaman emas bola sepak Malaysia pada sekitar tahun 70-an dan 80-an juga ketika pucuk pimpinan FAM diterajui oleh Tan Sri Dato Setia Raja Haji Hamzah bin Abu Samah, seorang rakyat marhaen merangkap seorang ahli politik.

Adakah ia hanya kebetulan bahawa zaman emas sebenar bola sepak Malaysia adalah ketika ia diterajui oleh rakyat marhaen?

3. Memenangi Kerusi Panas FAM Dengan ‘Mensabotaj’ Bola Sepak Malaysia

Terdapat pergolakan luar biasa yang menimpa bola sepak Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Peristiwa yang paling diingati adalah apabila 4 tonggak utama pasukan Malaysia secara tiba-tiba membuat persaraan dari skuad kebangsaan.

Yang menjadi perhatian adalah keempat-empat pemain ini merupakan pemain pasukan JDT dan seolah-olah mendapat arahan tersebut dari sesuatu pihak.

Lebih menarik, sebaik sahaja Tunku Ibrahim sah menjadi presiden baru FAM, keempat-empat watak ini tiba-tiba menyatakan kesediaan mereka untuk menyarung jersi kebangsaan semula.

Malah, perlukah kita diingatkan bahawa pemain yang menyarung skuad JDT pernah dilarang untuk mewakili skuad kebangsaan.

Terdapat juga satu ketika yang pemain-pemain JDT tidak diberikan masa secukupnya untuk berlatih bersama skuad kebangsaan.

Jujurnya, siapakah yang mendapat keuntungan di sewaktu pasukan kebangsaan ‘disabotaj’ sehingga gagal menunjukkan prestasi yang cemerlang di persada antarabangsa akibat “diboikot” oleh pemain sendiri?

Lebih ironinya, setelah berjaya melemahkan pasukan kebangsaan, kehadiran Tunku Ismail dalam kancah bola sepak Malaysia dilebelkan sebagai ‘penyelamat’ yang akan membawa ‘penawar’ kepada pasukan kebangsaan yang sedang tenat.

Sedangkan, jika dilihat semula, kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaya juga berpunca angkara siapa?

4. Anak raja yang sukar menerima teguran

Perlantikan Tunku Ismail sebagai Presiden FAM juga membayangkan akan berlakunya ‘power distance’ dalam barisan kepimpinan FAM.

Suka diingatkan bahawa Tunku Ismail merupakan kaum kerabat di Raja Johor dan meletakkan beliau di kelasnya yang tersendiri berbanding rakyat jelata.

Sewaktu Sultan Haji Ahmad Shah menjadi presiden FAM pun, terdapat beberapa tokoh bola sepak yang digantung tugas hanya kerana ‘menegur’ prestasi skuad kebangsaan.

Memang benar, Sultan Haji Ahmad Shah dan Tunku Ismail merupakan dua individu yang berbeza, baik dari segi pengalaman dan peribadi.

Namun, memperlihatkan bagaimana Tunku Ismail menangani beberapa isu yang membabitkan pasukan JDT sudah membuatkan kita tertanya-tanya; adakah ‘dejavu’ sewaktu Sultan Haji Ahmad Shah menjadi Presiden FAM akan berulang?

Adakah individu yang mengkritik Tunku Ismail, FAM dan pasukan kebangsaan selepas ini akan berdepan nasib yang sama?

Adakah kita akan melihat lebih banyak ‘troll’ dipersembahkan di laman web rasmi dan page media sosial FAM seperti yang pernah berlaku di page JST?

Hanya masa yang akan menentukan.

Masa untuk buktikan kata-kata sindiran penyokong adalah salah

Tunku Ismail telah membuktikan bahawa beliau mampu merubah sebuah kelab bola sepak yang sederhana menjadi salah satu pasukan yang digeruni di rantau asia tenggara dan dikenali di Asia.

Tidak dipertikaikan, pasukan JDT telah mencapai satu status yang luar biasa dibawah naungan Tunku Ismail dan barisan kejurulatihan beliau.

Namun, harus diingat bahawa pengurusan sebuah kelab dan sebuah pasukan kebangsaan adalah berbeza. Tidak seperti pengurusan kelab, pengaruh kuasa wang ringgit dalam skuad kebangsaan agak kurang signifikan.’

Buktikan, Tunku adalah orangnya (‘The Man’)!

Jujurnya, visi yang dimiliki oleh Tunku Ismail adalah sesuatu yang bakal memberi nafas baru kepada pengendalian skuad kebangsaan.

Sebagai contoh terbaik, menggunakan pakar taktikal dari luar negara seperti Mario Gomez sebagai jurulatih skuad kebangsaan adalah sesuatu yang amat positif.

Penstukturan semula FAM juga kini giat dilakukan agar persatuan bola sepak tersebut lebih efektif dan telus, terutamanya dalam aspek pengurusan keewangan yang saban tahun dikatakan bermasalah.

Mungkin, kita memerlukan beberapa tahun untuk mula melihat hasil dari transformasi yang dilakukan oleh Tunku Ismail.

Sehingga saat itu, sebagai penyokong skuad Harimau Malaya, kita harus terus menyokong pasukan kebangsaan secara total.

Ayuh TMJ, buktikan kepada kami bahwa Tunku adalah pemimpin bola sepak yang kami tunggu!

Nota: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan SemuanyaBOLA sebagai satu organisasi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN