Lelaki Ini Beri 4 Sebab Kenapa Perpindahan Pemain Import Penting Untuk Liga Malaysia

Penulisan ini kami peroleh dari laman Facebook Hairi Mohd. Jom baca apa yang dikatakan oleh beliau!

Apabila peraturan perpindahan pemain diubah (para pemain asing dibenarkan untuk berpindah ke kelab lain di Malaysia), seperti jangkaan ianya menjadi ledakan bom yang telah meledak di media-media sosial.

Amat menghairankan apabila pelbagai kecaman dan polemik timbul apabila peraturan ini diubah. Bukankah kaki bola di Malaysia ini fanatik kepada Premier League?

Bukankah kita sendiri saban hari mengikuti dan menunggu berita perpindahan pemain-pemain dalam EPL dengan penuh debaran?

Bagaimanakah kita dapat menerima proses perpindahan pemain di pertengahan musim EPL di antara kelab kecil dengan kelab besae di sana namun tidak di liga kita?

Format ini bukanlah sesuatu yang asing tetapi apabila mula diperkenalkan di Malaysia, ianya menjadi suatu polemik yang besar dan pelbagai pandangan dan komen negatif muncul.

Sedangkan inilah perubahan-perubahan yang amat dinantikan oleh para pemain dan kelab kerana pelbagai kesan positif dapat diwujudkan melalui perubahan ini:

Peluang kedua buat pemain

Sesetengah pemain itu mempunyai skil, kebolehan dan karakter bermain bola yang berbeza.

Tak semua pemain dapat mengasimilasikan diri mereka dengan taktik dan gaya permainan kelab yang diwakili oleh mereka.

Sebagai contoh, Brian Ferreira mempunyai pakej yang lengkap sebagai pemain hebat namun tidak memberikan impak kepada JDT.

Jadi kemungkinkan dengan adanya perpindahan antara kelab ini dapat memberikan peluang kedua kepada para pemain seperti beliau untuk membuktikan kemampuan mereka dengan pasukan lain yang lebih serasi dengan kebolehan mereka.

Perlu diingat sesetengah pemain mengambil masa sehingga beberapa bulan untuk menonjol dan membiasakan diri dengan corak pemain yang disajikan oleh liga tersebut.

Sesetengah pemain asing juga mungkin akan ditimpa kecederaan pada awal musim, namun bangkit menunjukkan kehebatan mereka pada satu atau dua bulan terakhir sebelum jendela dibuka.

Namun malangnya, apabila mereka mula menunjukkan taring mereka yang sebenar, kelab pula sudah mula berkira-kira untuk membawa masuk pemain baharu. Jadi siapa rugi?

Peluang untuk tambah kekuatan tanpa perlu belanja lebih

Tahukah anda setiap kali pertukaran pemain melibatkan pemain asing memakan belanja yang cukup besar?

Setiap kali kelab ingin mencari pemain asing yang baharu, kelab terpaksa membelanjakan wang untuk membayar kos perkhidmatan kepada ejen pemain, memberikan wang pendahuluan kepada pemain dan juga kos menerbangkan pemain ke negara ini juga akan ditanggung oleh pasukan.

Tidak termasuk juga kelab terpaksa membayar pampasan kepada pemain tersebut kerana ditamatkan kontrak awal.

Oleh itu, perubahan format perpindahan ini akan memberi peluang kepada pasukan untuk berjimat dan cuba untuk membeli atau meminjam pemain daripada pasukan lain yang dirasakan sesuai untuk bermain dengan pasukan mereka.

Manakala pasukan asal pemain tersebut dapat mengelak daripada terpaksa membayar wang pampasan kepada pemain terbabit.

Tahukah anda kebanyakan isu-isu pemain asing yang mendakwa tidak dibayar gaji ini adalah disebabkan kontrak mereka ditamatkan awal?

Contohnya, jika pemain asing ditawarkan kontrak setahun: Januari hingga November, dan walaupun pemain asing ditamatkan kontrak pada bulan Mei dan tidak akan bermain untuk bulan seterusnya, pemain tersebut berhak untuk menuntut baki gaji mereka untuk bulan Jun hingga November dan berhak membuat aduan kepada pihak FIFA.

Masihkah anda ingat kes Borji? Justeru, sesungguhnya peluang perpindahan ini akan memberi kebaikan kepada kedua-kedua pihak iaitu pemain dan pasukan.

Mendidik pasukan

Kebiasaannya pasukan akan memberikan kontrak satu atau 2 musim kepada pemain.

Oleh itu, dengan saluran, panduan dan peluang yang diberikan ini. Para kelab akan terdidik untuk melakukan urusan pembelian secara teratur dan ‘gentlemen’.

Seperti isu Ghaddar, pihak pengurusan JDT telah menghantar tawaran rasmi kepada KAFA untik mendapatkan Ghaddar dengan harga yang dirasakan sesuai.

Berikutan prestasi hebat Ghaddar sehingga pertengahan musim ini, tidak hairan JDT sanggup berbelanja besar untuk mengikat Ghaddar.

Perak vs Kelantan ,Kelantan player,Mohamad Ghaddar (22),(Left),and,Perak player,Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (22),(Right),during Super League match at Stadium Ipoh Perak on,1 March 2017,Photo by Zulfachri Zulkifli / www.asiana.my,

Secara tidak langsung perpindahan ini boleh dianggap sebagai suatu perniagaan yang baik dan dapat membantu klab-kelab mencari dana tambahan dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan dan tajaan semata-mata.

Disamping itu ianya akan dapat membantu kelab menyelesaikan pelbagai masalah kewangan yang membelenggu kelab.

Ia juga bakal menaikkan nilai liga itu sendiri. Dengan terjadinya perkara ini, pasukan akan berlumba-lumba untuk memperbaiki pasukan dan dalam masa yang sama menaikkan kualiti liga itu sendiri.

Elak lebihan pemain

Masih ingatkah anda kepada isu yang amat menarik kepada Thiago Augusto dan Forkey Doe?

Pada awal musim kecederaan Thiago berulang dan FELDA United bernasib baik kerana dapat menggantikan beliau dengan Doe pada saat-saat akhir.

Namun dilema bermula apabila Forkey Doe menonjolkan permainan terbaiknya dan pada masa yang sama Thiago pula sembuh daripada kecederaanya dan bersedia untuk bermain semula.

FELDA United dan Thiago Augusto bernasib baik kerana pada masa itu FELDA United masih belum mendaftarkannya sebagai pemain untuk musim 2016.

Oleh itu FELDA United meminjamkan beliau ke Kedah dan membantu mereka menjimatkan kos daripada terpaksa membayar gaji atau pampasan kepada Thiago kerana pemain ini masih mempunyai kontrak bersama mereka.

Thiago Augusto dipinjamkan ke Kedah oleh FELDA United. Gambar: ESPN

Apakah akan terjadi pada waktu itu jika Thiago telah didaftarkan pada musim lepas? Pasti FELDA United tidak dapat menggunakan Forkey Doe dan mereka terpaksa bermain tanpa seorang pemain import.

Selepas itu, pada pertengahan musim pula jika Felda United mahu mendaftarkan Forkey Doe di FELDA United, mereka terpaksa menamatkan kontrak Thiago ataupun terus membayar gaji Thiago sehingga kontraknya tamat walaupun tidak bermain.

Thiago pula terpaksa melupakan liga-M apabila FELDA mengambil keputusan untuk mengekalkan Forkey kerana tidak dapat didaftarkan untuk bermain dalam dua pasukan berbeza dalam satu musim.

Begitu juga dengan Kelantan, Alessandro Celin ditimpa kecederaan pada awal musim dan mula diturunkan pada akhir-akhir perlawanan liga pusingan pertama.

Hasilnya beliau berjaya mencetak gol tetapi pada masa yang sama, KAFA sudah mula berkira-kira untuk mencari pengganti beliau apabila telah mendatangkan 2 pemain baharu untuk menjalani percubaan.

Oleh itu perubahan pada perpindahan kedua ini pasti akan banyak membantu KAFA memikirkan sama ada untuk menyimpan, menjual atau meminjamkan pemain ini kepada pasukan lain.

Konklusinya, peraturan ini tidak pelik dan tidak pula kejam. Peraturan ini juga bukan diimplementasikan untuk memberikan kelebihan kepada sesetengah pihak dan individu.

Peraturan ini ialah sesuatu yang normal di liga luar tetapi dianggap pelik dan baharu oleh peminat tempatan.

Hal ini berlaku kerana masih wujud banyak pandangan skeptikal dalam kalangan penyokong yang sedikit sebanyak akan merencatkan kerancakan perjalanan liga itu sendiri.

Kini, masanya telah tiba untuk permulaan kepada perubahan liga kita.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN