1. Kemerosotan prestasi
Ia bukanlah perkara yang mengejutkan apabila melihat kemerosotan kualiti permainan Wayne Rooney selepas karier hampir 14 tahun dan lebih 600 perlawanan kompetitif bersama Everton, Manchester United dan England.
Rooney boleh dikatakan matang secara fizikal pada usia remaja.
Ketika majoriti karier pemain Eropah sepertinya bermula pada usia awal 20-an, karier Rooney bermula pada usia 16 tahun di Everton. Pada usia itu, fizikal Rooney sudah mampu bersaing dengan pemain skuad utama.
Lihat saja statistik musim pertama beliau dalam Premier League. Ketika usianya baru menginjak umur 17 tahun, Rooney telah bermain 33 perlawanan liga dan menjaringkan 6 gol.
Kini berusia 30 tahun, Rooney kini bukan lagi pemain yang memberikan peminat Manchester United (dan England) keterujaan yang sama seperti yang pernah mereka saksikan sejak 13 tahun lepas.
Ya. Sejak 3 musim lepas (sejak persaraan Sir Alex Ferguson), Manchester United secara keseluruhannya mengalami kemerosotan. Ini membuatkan penyokong United hilang sedikit keterujaan terhadap pasukan.
Tetapi apabila persembahan Rooney turut merosot, ia hanya menambah garam ke luka pasukan dan penyokong United.
Beliau kelihatan sudah kehilangan kuasa pecutan larian 10 ela yang pernah dimilikinya ketika musim 2009/2010.
Paling tak boleh diterima, beliau juga sudah mula mudah kehilangan bola ketika United mahu mengatur serangan. Ironinya pada satu ketika dulu, Sir Alex Ferguson gemar memberi posisi midfield kepadanya kerana beliau jarang hilang bola apabila diasak.
Rooney kini bukan lagi penyerang yang boleh diharapkan untuk menyumbang sekurang-kurangnya 15 gol semusim seperti dahulu.
2. Tiada apa yang perlu dibuktikan
Sejak menyertai United pada tahun 2004 dengan nilai £30 juta (nilai perpindahan termahal di dunia untuk pemain bawah-20 pada ketika itu), pelbagai kejuaraan dan rekod telah di capai oleh Wayne Rooney.
Dengan 5 kejuaraan Premier League, 1 trofi UEFA Champions League, 1 trofi FIFA Club World Cup, 2 trofi League Cup dan 3 trofi Community Shield, Rooney telah merasai semuanya (kecuali FA Cup).
Untuk anugerah individu, hampir semua anugerah individu yang penting telah beliau menangi kecuali Ballon D’ Or.
Dengan jumlah jaringan 244 gol untuk United, Rooney hanya memerlukan 5 gol saja lagi untuk menyamai rekod jaringan terbanyak kelab yang dipegang oleh lagenda Sir Bobby Charlton.
Selain 5 gol untuk memecah rekod Sir Bobby Charlton, apa lagi motivasi Rooney untuk bermain di United?
3. Kehadiran penyerang baru musim hadapan
Selain Rooney, Manchester United tiada penyerang berpengalaman. Ini menguatkan lagi khabar angin tentang United yang akan menandatangani seorang lagi penyerang baru yang berpengalaman pada musim hadapan.
Antara calon utama adalah Zlatan Ibrahimovic yang kelihatan hampir pasti akan meninggalkan PSG selepas tamat kontrak pada musim panas nanti.
Manchester United adalah antara beberapa kelab yang mampu membayar gaji premium Ibrahimovic – walaupun tanpa menjual Rooney.
Ditambah pula dengan faktor Jose Mourinho yang dikhabarkan bakal mengambil alih United bermula musim depan, ia mungkin bakal menguatkan faktor tarikan United kepada penyerang Sweden tersebut.
Bagaimanapun segala teka-teki masa depan Rooney dan kedatangan penyerang baru masih bergantung kepada siapa yang bakal menjadi pengurus United musim baru 2016/2017 nanti.
4. Tidak layak berada dalam kesebelasan utama
Adalah menakjubkan apabila Manchester United yang bergelut untuk menjaringkan gol pada musim ini terpaksa bergantung harap kepada penyerang muda seperti Anthony Martial, Jesse Lingard dan Marcus Rashford untuk menjaringkan gol.
Penyerang muda yang boleh beraksi sebagai pemain no.9 seperti Martial dan Rashford ini memberikan lebih dinamik dan kepantasan kepada struktur jentera serangan United. Inilah yang tidak lagi dapat diberikan oleh Rooney.
Pada ketika ini, adalah tidak adil bagi Rashford (dan peminat United) jika Rooney terus diberikan tempat kesebelasan utama sekembalinya beliau dari kecederaan.
Bahkan jika Rashford tidak diberikan tugas selaku penyerang utama sekali pun, Martial lebih sesuai bermain di posisi itu.
Tetapi Louis van Gaal seorang pengurus pasukan yang pelik.
Jika beliau sanggup meletakkan Ashley Young di posisi penyerang utama semasa kekelahan 0-3 menentang Tottenham Hotspurs semalam, tak mustahil Martial akan dikorbankan ke posisi sayap kiri sekali lagi untuk memberi ruang kepada Rooney.
Jangan salah sangka. Wayne Rooney di Manchester United akan terus kekal dalam ingatan sebagai watak penting dalam siri sejarah kejayaan United. Namun realiti pahit yang peminat United perlu terima adalah – no one is bigger than the club.
Zaman emas Rooney telah berakhir. Dah tiba masa untuk beliau meninggalkan United.
Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Zulfo Mahadi, penyokong Manchester United sejak era pertengahan 90-an. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].
Baca juga: Blackburn Rovers 1994/1995: Juara Yang Dilatih Dalglish, Diketuai Sherwood, Ditunjangi Gandingan SAS