4 Penyerang Yang Gagal Memberikan Sumbangan Bermakna Buat Tottenham Hotspur

Tottenham Hotspur

Sekiranya menyebut tentang penyerang Tottenham Hotspur ketika ini, sudah pasti nama Harry Kane yang akan menjadi bualan peminat bola sepak. Pelbagai rekod jaringan telah dicipta pemain antarabangsa England berusia 24 tahun itu.

Selain itu, Teddy Sheringham juga merupakan antara penyerang yang menyerlah ketika bersama Tottenham Hotspur. Beliau yang beraksi di White Hart Lane pada tahun 1992 berhijrah ke Manchester United sebelum kembali semula ke kelab London tersebut bagi musim 2001.

Rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab ini masih dipegang penyerang legenda, Jimmy Greaves yang menghasilkan 266 gol dalam 381 perlawanan.

Namun begitu, terdapat juga pemain yang kurang memberikan sumbangan yang bermakna buat Tottenham Hotspur. Antara pemain tersebut adalah:

1) Roberto Soldado

Pemain kelahiran Sepanyol ini dibawa masuk ke White Hart Lane pada 1 Ogos 2013 dengan perpindahan bernilai £26 juta dari Valencia.

Andre Villas Boas yang ketika itu membimbing Tottenham meletakkan harapan yang tinggi kepada Soldado untuk membuktikan bisanya di hadapan gol setelah beliau menjual Gareth Bale ke Real Madrid pada tahun yang sama.

Namun semuanya tidak menjadi kenyataan apabila Soldado hanya mampu mencipta tujuh jaringan sahaja dalam 52 penampilannya di England.

Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke Sepanyol pada Ogos 2015 untuk beraksi bersama Villareal ketika Tottenham dikendalikan oleh Mauricio Pochettino.

2) Vincent Janssen

Pemain antarabangsa Belanda ini tidak bernasib baik kerana beliau berhijrah ke dalam pasukan ketika Harry Kane sudah berada di kemuncak prestasinya.

Beliau yang direkrut Mauricio Pochettino dari AZ Alkmaar dengan nilai £17 juta pada bulan Julai 2016 itu menerima nasib yang sama seperti Soldado apabila hanya mencatatkan enam gol dalam semua kejohanan bersama Tottenham Hotspur.

Prolifik di Belanda tetapi gagal menyinar di England. Itulah nasib yang diterima pemain berusia 23 tahun itu dan kemudiannya dipinjamkan ke Fenerbahce pada September 2017.

Masa depan Janssen di Spurs kelihatan samar dan peluangnya untuk kembali bersama skuad utama bimbingan Pochettino itu tampak semakin tipis.

3) Helder Postiga

Reputasi sebagai pemenang ‘treble’ pada tahun 2003 bersama Porto dibawah kendalian Jose Mourinho, Helder Postiga boleh dilabelkan sebagai aset bernilai buat kelab Portugal itu.

Pengendali Tottenham, Glenn Hoddle mengambil kesempatan untuk membawa Helder Postiga ke London untuk mempertajamkan jentera serangan kelab dengan nilai  £6.25 juta untuk digandingkan dengan Robbie Keane.

Ketika harapan diletakkan di atas bahu beliau untuk menyinar, Postiga dilihat gagal untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di England.

Hanya satu jaringan berjaya dihasilkannya iaitu ketika menang 2-1 keatas Liverpool pada perlawanan di tempat sendiri. Postiga beraksi dalam 19 perlawanan bersama Tottenham.

Selepas gagal memberikan persembahan terbaiknya, beliau kembali ke Porto dan Pedro Mendes menjadi sebahagian daripada pertukaran tersebut. Helder Postiga hanya sempat beraksi semusim dalam kancah Liga Perdana Inggeris.

4) Sergei Rebrov

Superstar Ukraine ini mempunyai rekod yang sangat baik ketika beraksi bersama Dynamo Kyiv.

Beliau bersama-sama seorang lagi pemain Kyiv, Maksim Shatskikh berkongsi kedudukan teratas penjaring terbanyak sepanjang zaman di Liga Ukraine dengan 123 gol.

Rekod Rebrov lebih baik kerana menjaringkan gol tersebut dalam 261 perlawanan berbanding Shatskikh sebanyak 341 perlawanan.

George Graham telah bertanggungjawab membawa beliau ke White Hart Lane pada tahun 2000 dengan perpindahan bernilai  £11 juta.

Rebrov berjaya menghasilkan sembilan gol dalam musim pertamanya di Liga Perdana Inggeris.

Musim kedua beliau dirundung malang apabila sekadar menjaringkan satu gol dan ianya disulitkan lagi dengan pemecatan Graham bagi digantikan dengan Glenn Hoddle. Keadaan tersebut mengehadkan penampilan Rebrov buat kelab tersebut.

Sergei Rebrov kemudiannya dipinjamkan selama dua musim ke Fenerbahce dan pada tahun 2004, beliau berhijrah ke West Ham United yang ketika itu beraksi dalam saingan Liga Championhsip.

 

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN