Persoalan yang mungkin giat berlegar di minda semua pemerhati bola sepak tanah air, siapakah pemain yang akan menggambil alih posisi sayap kanan Safawi Rasid.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dikhabarkan sudah menerima tawaran kelab di Liga Premier Portugal, Portimonense SC dan menurut pemilik kelab, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Safawi Rasid akan berkelana ke sana sebaik sahaja musim ini berakhir.
Mohamadou Sumareh
Mungkin antara nama yang pertama berlegar di minda semua ketika ini adalah pemain sayap Pahang dan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh. Sudah agak lama namanya ‘dipetik’ akan menyertai skuad Harimau Selatan.
Kehilangannya daripada sesi latihan skuad Pahang sudah disahkan oleh pengendali, Dollah Salleh yang sedang giat menyiapkan skuadnya untuk berdepan JDT pada Jumaat malam. Bercakap kepada Astro Arena, beliau tidak berselindung.
“Mengenai Sumareh, sebenarnya dia tidak lagi bersama pasukan sejak sebulan yang lalu, dia tidak muncul dalam sesi latihan. Apa sebab di sebalik perkara yang berlaku, kami akan mendapatkan penjelaskan daripada pihak pengurusan,” jelasnya.
Adakah Sumareh sedang menuju ke JDT? Namun, melihat kepada perkongsiannya di Instagramnya, Selangor juga dilihat antara destinasi baharu yang berpotensi.
Ramadhan Saifullah
Mungkin sedikit mengejutkan apabila Benjamin Mora memberikannya penampilan sulung untuk posisi Safawi Rasid ketika menang ke atas Pahang, malam tadi.
Namun, tidak mengecewakan, pemain berusia 19 tahun itu telah meledak gol untuk debutnya selain menghadiahkan JDT sepakan penalti apabila dikasari oleh Herold Goulon. Mungkin Harimau Selatan mahu menyediakannya lebih awal?
Bekas pengendali JDT II, Ervin Boban pernah memuji penampilannya. Menurutnya, “Biarpun masih muda, tapi Ramadhan begitu matang beraksi dan memperagakan aksi terbaik apabila sering memberi tekanan kepada pasukan lawan.”
Adakah Ramadhan Saifullah sudah bersedia untuk saingan Liga Super dan mungkin Liga Juara-Juara Asia (ACL)? Benjamin Mora tidak kedekut untuk memberi peluang.
Akhyar Rashid
Pemain berusia 21 tahun ini sudah lebih setahun berada di kem JDT, namun belum diletakkan sebagai pemain utama pasukan disebabkan persaingan yang sengit. Adakah musim depan akan menjadi musim pertamanya sebagai pemain utama?
Safawi Rasid telah menjadikan posisi itu tidak memerlukan lagi pemain import selepas pemergian Jorge Pereyra Diaz. Dan sekiranya beliau pergi ke Portugal nanti, adakah Akhyar Rashid boleh melakukan perkara yang sama?
Secara keseluruhannya, beliau telah tampil sebanyak 34 kali bersama JDT, lebih 90 peratus daripadanya adalah sebagai pemain gantian. Walaupun bukan posisi utamanya, mungkin inilah masa buatnya untuk mendapatkan minit permainan.
Mungkin satu perkara yang perlu diperbaikinya adalah menunjukkan lebih komitmen dalam sesi latihan dan bersaing dengan pemain-pemain sedia ada termasuklah pemain muda, Ramadhan Saifullah yang telah memikat Benjamin Mora.
Nazmi Faiz Mansor
Tidak dinafikan, ia bukanlah posisi terkuat buat pemain berusia 26 tahun itu, namun beliau tidaklah terlalu asing untuk bermain di posisi sayap kanan.
Nazmi Faiz pernah menggantikan Safawi Rasid yang tidak dapat beraksi pada permulaan musim tempohari dan telah mempamerkan aksi yang baik. Malah, ketika menewaskan UiTM FC 2-1, beliau berhasil meledak gol kemenangan.
Menurutnya yang ditemui Harian Metro, beliau tidak cepat berpuas hati dengan aksinya. Tambahnya, “Tidak kisah posisi mana yang diarahkan oleh jurulatih, yang penting saya dalam skuad utama dan komited 100 peratus dalam perlawanan.”
Persaingan di jentera tengah JDT sangat sengit, menjadikannya sering tersisih di bangku simpanan. Bersama JDT sejak berusia 22 tahun, beliau telah dipintas oleh Afiq Fazail yang lebih banyak berada dalam kesebelasan utama.
Penutup
Ini merupakan antara empat pemain yang memiliki potensi untuk mengambil alih posisi Safawi Rasid musim hadapan. Walaupun belum sah menyertai kem JDT, Mohamadou Sumareh mungkin calon utama untuk merebut posisi tersebut.
Jika tidak, mereka masih memiliki dua pemain senior yang boleh diadaptasikan untuk bermain di sayap kanan sambil menanti Ramadhan Saifullah lebih matang.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST