Adakah tarikan beraksi di pentas Asia menjadi faktor penghijrahan empat pemain Penang FC ke Kedah Darul Aman FC waima diketahui, kedua-dua pasukan merupakan musuh ketat dalam saingan Liga Malaysia?
Setakat ini, telah disahkan empat pemain Penang FC memilih untuk berkelana ke musuh setempat, Kedah Darul Aman FC iaitu Amer Azahar, Al-Hafiz Harun, Khairu Azrin Khazali dan bek kiri meningkat naik, Azmeer Aris.
Mereka berempat merupakan tonggak penting Penang FC dalam meraih kedudukan ketiga Liga Super dalam penampilan semula mereka di pentas tertinggi Liga Malaysia musim ini. Namun, ditakdirkan, Penang FC kehilangan mereka serentak dalam persediaan mengharungi musim hadapan yang pasti lebih mencabar.
Mencabar kerana Harimau Kumbang perlu memastikan kedudukan ketiga mereka musim ini bukanlah satu kebetulan. Tetapi dengan kehilangan majoriti tonggak utama termasuk mereka berempat tentu memberi kesan besar terhadap prestasi skuad kendalian Tomas Trucha nanti. Bagaimana nasib mereka musim depan?
Penang FC gagal melangkah ke saingan Piala AFC selepas KL City FC berjaya mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final Piala Malaysia, baru-baru ini. Jika JDT menang, Penang FC secara automatik akan meraih tiket ke kejohanan Asia itu berdasarkan kedudukan ketiga mereka di saingan Liga Super, namun ia tidak berlaku.
Adakah empat pemain ini ‘lari’ ke pasukan musuh disebabkan peluang untuk tampil beraksi di pentas Asia? Atau sebagaimana perkhabaran sebelum ini, Penang FC melalui masalah dalaman sehingga majoriti pemain memilih untuk angkat kaki sebagaimana kenyataan ‘tidak rasmi’ bekas kapten musim 2019, Azmi Muslim sebelum ini?
Jelas, peluang beraksi di pentas Asia bersama Kedah adalah tarikan terbaik buat Amer Azahar, Al-Hafiz Harun, Khairu Azrin dan Azmeer Aris untuk melangkah melewati sempadan Pulau Pinang-Kedah. Malah, dua pemain tersebut memiliki perkaitan dengan pasukan Kedah sama ada dilahirkan atau keluarga berasal dari sana.
Untuk Al-Hafiz Harun, beliau merupakan pemain yang dilahirkan di Sik, Kedah, sementara Azmeer Aris pula, keluarganya berasal dari Baling, Kedah. Ini yang membantu mereka membuat keputusan untuk pergi ke Kedah.
Untuk pemain sayap lincah, Amer Azahar, beliau adalah pemain kelahiran Pulau Pinang, namun apabila telah ditawarkan menyertai Kedah, ia peluang terbesar dalam kariernya yang bermula di UiTM FC sebelum ini. Khairu Azrin pula diketahui seorang pemain tengah bertahan yang bagus dalam membantu Penang FC musim lalu.
Ketiadaannya dalam pasukan menyaksikan Penang FC bergelut dalam fasa bertahan, malah kalah dalam majoriti perlawanan tanpanya. Kedah yang bermasalah di posisi itu nampaknya mendapat pemain yang berkualiti pada musim depan. Selain bertahan, beliau bijak merencana hantaran ‘missile’ ke kubu lawan.
Setakat ini, pengumuman empat pemain itu sangat mengujakan penyokong Kedah, tambahan pula mereka datang daripada pasukan musuh mereka. “Sapu bersih pemain terbaik depa” merupakan antara kata-kata yang diungkap oleh penyokong skuad Hijau Kuning. Siapa pula pemain yang akan diumumkan selepas ini?