4 Pasukan Liga Super Bakal Berdepan Hukuman Pemotongan Mata

Skrip yang sama masih berulang lagi gara-gara kerana sikap pengurusan pasukan melakukan kerja sambil lewa yang mengundang hukuman berat daripada pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

4 pasukan Liga Super berada dalam bahaya kerana bakal berdepan hukuman pemotongan mata dan kemungkinan tidak dibenarkan membuat pertukaran pemain pada jendela perpindahan kedua nanti kerana kegagalan melengkapkan beberapa dokumen pendaftaran pasukan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang menggesa agar semua pasukan melengkapkan segala dokumen pendaftaran jika tidak mahu insiden dikenakan hukuman pemotongan mata seperti musim lalu berulang.

Bercakap kepada the star, Kevin berkata pasukan tersebut sepatutnya menghantar dokumen pendaftaran yang lengkap sebelum 31 Disember tahun lepas dan sudah diberi tempoh masa sehingga 3 Februari 2018 tetapi tiada sebarang maklum balas daripada mereka.

“Kami tidak boleh mendedahkan nama pasukan itu lagi. Kami tidak tahu apa masalah mereka. Mereka langsung tidak berkomunikasi dengan kami.

“Tanpa mengetahui masalah yang sebenarnya, kami tidak dapat bantu mereka dan pada masa yang sama kami menganggap mereka gagal membuat pembayaran jika mereka tidak menyatakan bukti pembayaran yang lengkap.

“Penghantaran dokumen ini merupakan syarat wajib dalam Liga Malaysia setiap tahun, oleh itu saya tidak faham kenapa mereka enggan berkerjasama dengan kami,” katanya.

Tahun lepas, pemotongan 6 mata dalam saingan Liga Super dikenakan ke atas pasukan Kelantan, T-Team dan 2 pasukan dari liga perdana, ATM dan Perlis kerana kesalahan yang sama iaitu gagal melengkapkan pendaftaran pasukan.

“Kami mengambil tindakan ke atas pasukan ini musim lepas atas kesalahan yang sama tetapi musim ini beberapa pasukan masih tidak belajar darinya.

“Kami benar-benar kecewa dengan sikap mereka. Kami tidak mahu menghukum pasukan itu tetapi nampaknya beberapa pihak masih tidak mahu berkerjasama.

“Ia mengambil masa yang cukup lama sejak tahun lepas dan kami akan mengenakan tindakan ke atas pasukan itu pada tahun ini,” tegasnya.

Menurut kenyataan melalui laman facebook FMLLP, sebelum bermulanya musim baharu, setiap pasukan perlu membuat pengesahan penyertaan terlebih dahulu.

Kebiasaannya surat akan dikeluarkan oleh FMLLP dan diberikan kepada pasukan yang layak untuk beraksi pada musim hadapan.

Contohnya, FMLLP telah mengeluarkan surat seawal bulan November 2017 kepada pasukan yang telah layak untuk bermain pada musim 2018 dan perlu membuat pengesahan dalam masa 7 hari bekerja selepas tempoh surat berkenaan dikeluarkan.

Setelah pasukan membuat pengesahan, setiap pasukan perlu menghantar dokumen melalui emel kepada Unit Pertandingan FMLLP untuk disemak. Antara dokumen tersebut adalah;

1) Sijil pendaftaran oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS)
2) Dokumen / surat bukti pembayaran gaji, KWSP, PERKSEO, LHDN bagi pemain dan pegawai untuk musim lepas.
3) Surat menyatakan telah menyelesaikan pembayaran tanggungan denda pemain, pegawai dan pasukan bagi musim lepas.
4) Menamakan 2 pilihan venue pertandingan, venue latihan dan hotel penginapan (45 minit jarak dari venue pertandingan).
5) Bukti pembayaran yuran penyertaan.
6) Mengemukakan bukti pembayaran deposit pemain asing.
7) Perjanjian penyertaan Pertandingan Liga Malaysia anjuran FMLLP.

“Dalam menjadikan setiap pasukan Liga Malaysia berdaya saing, FMLLP mengambil langkah dengan meneliti dokumen setiap pasukan agar mereka benar-benar mengurus sesebuah pasukan dengan telus.

“Dokumen berkaitan diambil bertujuan untuk menjaga hal kebajikan pemain dan pegawai supaya mereka dapat berkhidmat dengan penuh komited.

“Kebajikan pasukan yang terpelihara dapat meningkatkan lagi prestasi sesebuah pasukan tanpa ada gangguan dari segi emosi.

“Contohnya seperti yang selalu kita lihat isu keluhan pemain yang tidak dibayar gaji. Ini juga dapat membendung isu salah laku pasukan yang mungkin akan dilaporkan ke peringkat lebih tinggi sekali gus mencalarkan imej bola sepak Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN