Kapten adalah individu penting untuk memimpin pasukan di dalam padang. Jurulatih hanya berperanan di luar, namun tugas kapten adalah bersama pasukan sepanjang perlawanan.
Bukan hanya tugasan ketika lambungan duit syiling atau ‘coin toss’ sahaja, seorang kapten akan ada pelbagai tanggungjawab lain lagi yang perlu digalas di bahunya.
Kapten juga bukanlah semata-mata memakai ‘armband’ kapten di lengannya dan bermain sehabis baik bagi dirinya semata-mata. Pengaruhnya di dalam padang sangat diperlukan.
Antara tugasan seorang kapten
Tugas utama seseorang kapten pastinya adalah untuk memimpin dan membantu menaikkan motivasi rakan sepasukan ketika sedang beraksi di dalam satu-satu perlawanan.
Seseorang kapten itu seharusnya berusaha menjadikan dirinya, para pemainnya, pasukannya dan juga permainan pasukannya itu untuk menjadi lebih baik.
Selain daripada itu, kapten juga memiliki tugas-tugas di luar padang yang adakalanya memerlukannya menjadi seakan-akan duta pasukan. Skil komunikasi sangat diperlukan.
Antaranya sebagai penghubung antara pemain-pemain dan barisan kejurulatihan pasukan tersebut. Skil komunikasi sangat penting agar mesej dapat disampaikan dengan berkesan.
Kapten juga penting kepada jurulatih untuk mengukuhkan pengaruhnya di dalam pasukan. Adakalanya pasukan lebih menghormati kapten berbanding jurulatih.
Oleh itu, pemilihan kapten adalah aspek penting membentuk sesebuah pasukan dan dengan pemilihan yang tepat, pasukan tersebut mampu menghasilkan keputusan yang baik.
Perkara tersebut turut dipersetujui menerusi kajian tesis ‘The Role And The Experiences Of The Sports Team Captain‘ hasil tulisan Michelle Nelson dari Universiti Edith Cowan, Australia.
Apakah kriteria atau ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang kapten itu? Pemain yang bergaji paling mahal? Pemain yang ada skil yang menarik? Ayuh kita soroti beberapa kriteria yang disenaraikan.
1. Pemain utama pasukan
Seseorang kapten yang ingin dilantik perlulah pemain utama untuk pasukan tersebut dan memiliki keupayaan permainan yang lebih bagus berbanding rakan sepasukan yang lain.
Ini kerana, kapten tersebut akan lebih dihormati oleh para pemain dan mereka pastinya akan rasa lebih bermotivasi untuk bermain di bawah kepimpinannya.
Namun, menurut penulis buku Rugby Union Captain, David Frost dan Roger Uttley, seseorang kapten tidak semestinya adalah pemain terbaik yang berada dalam pasukan.
“Dia seharusnya mampu menjadi contoh tauladan dan juga memimpin menerusi teladan yang dipamerkannya.”
2. Personaliti dan keterampilan diri yang bagus
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pemain itu perlulah seorang yang mampu dijadikan contoh kepada semua pemain, tidak kira pemain utama atau pemain-pemain muda.
Sebagai kapten, pemain tersebut perlu memiliki sikap positif yang mampu dipamerkan kepada para pemain dan sesuai untuk dijadikan suri teladan kepada pemain muda.
Adakalanya ungkapan pendek seperti ‘Kita Boleh!’ atau ‘Ayuh buat sehabis baik!’ daripada seorang kapten sudah mampu untuk membantu rakan sepasukannya bersemangat.
Bahasa badan juga penting. Jangan tunjukkan kekecewaan dengan kesilapan rakan sepasukan. Ia secara tidak langsung akan menyampaikan ‘rasa’ negatif kepada rakan-rakan.
Kapten perlu bantu mereka untuk bangkit semula bermula dengan diri kapten itu sendiri.
3. Umur yang bersesuaian
Umur juga memainkan peranan penting dalam pemilihan kapten. Kenapa? Jika pemain tersebut lebih senior di dalam pasukan, tentunya dia akan lebih dihormati.
Selain umur, tempoh masa pemain tersebut di dalam pasukan juga wajar dipertimbangkan. Idealnya, kapten tersebut mestilah seorang yang senior dan sudah bersama pasukan beberapa musim.
Ini kerana, pemain yang sudah lama bersama pasukan dan lebih senior akan mempunyai reputasi yang tinggi dikalangan rakan sepasukan mahupun pihak lawan.
Kapten dengan kriteria sebegini mampu mewujudkan keharmonian dalam pasukan, menyelesaikan isu-isu dan mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh rakan sepasukan.
Bukankah ada kata-kata yang menyebut, pengalaman mengatasi segalanya atau pepatah lama, ‘yang lebih dahulu makan garam’?
4. Posisi pemain tersebut
Posisi pemain mungkin sedikit subjektif. Tetapi ia juga adalah salah satu aspek yang perlu dipertimbangkan. Kapten yang berpengaruh perlu dirasai kehadirannya di dalam padang.
Contohnya, seorang penjaga gol hanya mampu mempengaruhi zon pertahanannya sahaja kerana limitasi jarak, sementara pemain tengah mampu ke semua posisi secara menyeluruh.
Dalam tesis tulisan Michelle Nelson ada menyebut untuk sukan bola sepak dan hoki, kedudukan yang sesuai buat kapten adalah di tengah yang mana terdapat banyak ‘interaksi’.
Pemenang Anugerah Pengurus Terbaik PFA Scotland tahun ini, Jack Ross pernah menyatakan dalam penulisannya pada 2010, majoriti pasukan menjadikan pemain tengah sebagai kapten.
Dalam artikelnya bertajuk, ‘How crucial is the captain’s role?‘, dia menjelaskan jurulatih percaya bahawa posisi terbaik untuk kapten adalah di mana semua pemain dapat melihatnya dengan jelas.
Penutup
Artikel ini adalah sebagai panduan bagaimana untuk memilih kapten untuk sesebuah pasukan dan pastinya terdapat pelbagai kaedah dan kriteria lain boleh dipertimbangkan.
Waima seorang kapten itu dibebani dengan tanggungjawab yang berat, tidak dinafikan terselit juga kemegahan, kehormatan dan kejayaan yang bakal diraih jika pasukan berjaya.
Jika kapten tersebut telah berjaya memimpin pasukan dengan jayanya untuk satu tempoh yang lama, penulis percaya, dia berada di tahapnya yang tersendiri.
Layanan ‘buruk’ kepada seorang kapten yang banyak berjasa kepada pasukan seperti yang dilalui oleh Badhri Radzi ketika ini dilihat oleh penulis sebagai satu tindakan tidak wajar.
Pelbagai kejuaraan di poketnya sepanjang 10 tahun menjadi kapten antaranya Juara Liga Super Malaysia pada 2011 dan 2012, kejuaraan Piala Malaysia (2010, 2012) dan Piala FA (2012, 2013).
Piya juga tersenarai dalam 7 Kapten Pasukan Paling Berpengaruh Sepanjang Zaman Dalam Liga Malaysia pilihan Semuanya BOLA.
Pada pandangan pembaca, apa lagi kriteria atau ciri-ciri yang perlu ada pada seorang kapten? Sila kongsikan bersama kami di Semuanya BOLA pendapat anda.