Quantcast

KAJIAN & FAKTA

380 Perlawanan Semusim, Ini Cara Jadual EPL Disediakan; Apa Yang Boleh Kita Pelajari?

Jadual perlawanan Liga Malaysia sering menjadi tumpuan penyokong dan peminat bola sepak tanah air kerana kontroversinya.

Sering menjadi cemuhan ialah Malaysian Football League (MFL) – sebagai pihak yang bertanggungjawab menyelia dan menganjurkan perlawanan Liga Malaysia sejak ditubuhkan pada 2015.

Kontroversi yang sering timbul ialah jadual perlawanan yang sering berubah selepas musim bermula. Adakala ia terpaksa dilakukan untuk memberi laluan kepada pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat Asia. Begitu juga perlawanan antarabangsa di luar kalendar FIFA dan hari-hari kebesaran negeri yang tidak boleh dielakkan. Semua perkara ini berada di bawah tanggungjawab dan seliaan MFL untuk dipertimbangkan sebelum jadual perlawanan Liga Malaysia dimuktamadkan.

Adakalanya MFL turut dituduh mengamalkan sikap berat sebelah kerana bertindak sedemikian untuk memberi kelebihan kepada pasukan-pasukan tertentu. Sejauh manakah kebenaran dakwaan sebegini? Hakikatnya, tidak mudah untuk menyediakan jadual perlawanan liga bola sepak yang boleh memuaskan hati semua pihak.

Perjalanan Liga Malaysia

Sehingga kini, kita tidak mempunyai sistem jadual liga yang mempunyai turutan atau pola tertentu – dari segi tempoh dan tarikh pelaksanaannya. Dengan kata lain, kita masih tercari-cari formula terbaik bagaimana ianya dilaksanakan disebabkan kekangan-kekangan yang memberi kesan secara tidak langsung kepada perlawanan-perlawanan.

Musim 2017 misalnya, Liga Super Malaysia diadakan dari Januari sehingga Oktober. 10 bulan diperlukan untuk semua perlawanan dilaksanakan. Jun 2017 menyaksikan liga berehat panjang untuk memberi laluan kepada Ramadhan dan acara Sukan SEA yang diadakan di Kuala Lumpur. Musim 2018 pula menyaksikan liga diadakan bermula Februari sehingga Julai. Hanya enam bulan diperlukan untuk menamatkan keseluruhan musim. Setiap pasukan turut beraksi pada bulan Ramadhan dan juga ketika acara utama seperti Piala Dunia di Rusia sedang rancak diadakan.

Kedua-dua kalendar liga domestik pada 2017 dan 2018 tetap mendapat pelbagai reaksi dari pelbagai pihak, Jika pada musim 2017, rehat yang lama dikatakan menganggu momentum pasukan bertanding. Musim 2018 pula liga dianggap lesu kerana perlawanan dimulakan lewat pada bulan Ramadhan. Cemuhan sentiasa ada. Tidak pernah ada yang berpuas hati.

Jadi bagaimana seharusnya jadual itu diolah untuk memuaskan hati semua pihak – merangkumi pasukan bertanding, penyokong, penaja, dan pemegang taruh yang lain? Mungkinkah MFL memuaskan hati semua pihak? Liga luar negara turut menjadi rujukan?

Dari kaca mata MFL

Di pihak MFL, ada beberapa kekangan lain yang perlu mereka hadapi untuk menyusun atur jadual pertandingan liga. Antaranya adalah pengesahan pasukan bertanding sebelum musim bermula, perkongsian venue di kalangan pasukan bertanding. Begitu juga dengan pertandingan Piala FA yang turut berlangsung ketika liga sedang rancak diadakan.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd  beberapa hari lalu yang turut menegaskan Liga Malaysia tidak wajar dibandingkan dengan liga luar negara khususnya Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Faktor utama yang kita sedia maklum adalah perkongsian venue, di EPL (Liga Perdana Inggeris) venue tak dikongsi bersama, yang kedua beberapa pasukan dalam satu negeri dan juga undian Piala FA,” kata Shazli.

“Perkara sama diterapkan di La Liga, di mana MFL sudah mengeluarkan jadual perlawanan liga sepanjang tahun cuma tarikh tak ditetapkan, walaupun tarikh tak tahu tapi sekurang-kurangnya penyokong tahu pasukan mereka akan bertemu pasukan mana, sebelum ini tak tahu langsung,” ujar beliau seperti yang dipetik dari Berita Harian.

Apa yang dikatakan oleh beliau ada benarnya. Landskap bola sepak di negara kita berbeza dengan EPL. Namun demikian, ia tidak bermakna tidak ada perkara yang boleh kita pelajari dari EPL, atau penambahbaikan pada masa hadapan. Sebelum itu, mari kita kaji sedikit sebanyak perbezaan Liga Inggeris dan Liga Malaysia.

Liga Inggeris dan Liga Malaysia

Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah antara liga bola sepak yang paling diikuti di muka bumi ini. 380 perlawanan semusim, sepak mula kempen biasanya bermula pada minggu kedua setiap Ogos dan berakhir pada penghujung Mei. Secara keseluruhan peminat bola sepak disajikan dengan aksi bintang-bintang bola sepak dunia daripada EPL selama 10 bulan untuk setiap musim.

Sebagai perbandingan Liga Super Malaysia – divisyen tertinggi bola sepak negara – memiliki 132 perlawanan semusim. Selain daripada aksi liga, enam kelab terbaik pada musim sebelumnya akan beraksi di pertandingan peringkat Eropah. Sebagai perbandingan, hanya dua pasukan dari Liga Malaysia bertanding di peringkat Asia pada musim 2019.

. (Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Selain daripada Piala FA Malaysia dan Piala Malaysia sebagai pertandingan domestik lain yang perlu disertai oleh setiap pasukan di negara ini, kelab di Liga Inggeris juga perlu beraksi di Piala FA dan Piala EFL (kini dikenali sebagai Piala Carabao).

Tatkala Piala FA Malaysia melibatkan 38 pasukan amatur, 11 pasukan Liga Perdana, dan 12 pasukan Liga Premier, menjadikan 61 pasukan kesemuanya yang mengambil bahagian, Piala FA Inggeris menyaksikan 92 kelab dari 10 aras divisyen mengambil bahagian. Pertandingan Piala Malaysia pula menyaksikan hanya 16 pasukan yang layak akan bertanding. Piala EFL pula mengekalkan penglibatan 92 pasukan yang berdaftar.

FOTO: Terengganu Football Club

Berdasarkan fakta di atas, kita boleh simpulkan bahawa Liga Inggeris memiliki jumlah perlawanan yang lebih banyak daripada Liga Malaysia. Soalannya, bagaimana Premier League menyusun jadual perlawanan mereka setiap musim sejak 1992? Adakah Premier League berjaya membuatkan semua pihak berpuas hati?

Proses di EPL

Di EPL, proses menggubah jadual perlawanan liga untuk musim akan datang diadakan pada Januari setiap tahun – iaitu setelah kempen mereka pada musim semasa sudah separuh berlalu. Individu penting di sebalik penjadualan lebih 60,000 perlawanan sejak 1992 ialah Glenn Thompson daripada Atos – sebuah syarikat penyedia keperluan digital.

Secara keseluruhan, Thompson perlu menyusun 2,036 perlawanan semusim merentasi empat divisyen utama di England.

Langkah 1:
Untuk setiap musim, Thompson berkata beliau hanya boleh memulakan proses menyusus jadual perlawanan seawal Januari setiap tahun. Segalanya bermula dengan mendapatkan jadual perlawanan antarabangsa daripada FIFA, diikuti jadual pertandingan kelab-kelab di pertandingan eropah. Selepas itu The FA akan memberikan aturan jadual untuk perlawanan anjuran mereka (Piala FA). Baki kekosongan yang ada akan dikususkan terus untuk perlawanan liga dan Piala EFL.

Langkah 2:
Untuk menyusun jadual perlawanan, Thompson tidak menggunakan sepenuhnya sistem program sepenuhnya. Ia turut memerlukan sistem manual menggunakan sistem ‘sequencing’ atau jujukan. Menggunakan sistem jujukan, semua perlawanan dibahagikan kepada lima bahagian. Setiap bahagian dikenali sebagai set. Jujukan set yang sama akan digunakan pada pusingan kedua liga.

Langkah 3:
Ketika menyusun atur perlawanan menggunakan jujukan pada setiap bahagian set, ada peraturan-peraturan tertentu yang perlu diambil kira oleh Thompson demi keadilan semua pihak. Pertama, tidak ada pasukan yang boleh beraksi sebagai tuan rumah lebih dari dua perlawanan secara berturut-turut. Kedua, tidak ada pasukan yang dibenarkan beraksi sebagai sebagai tuan rumah atau pelawat dalam dua perlawanan berturut-turut pada dua perlawanan pertama kempen, dan dua perlawanan terakhir kempen.

Rasionalnya adalah untuk tidak membenarkan pasukan memiliki kelebihan membina momentum berbanding pasukan lain di awal musim. Di akhir musim, ia bertujuan untuk pertandingan yang lebih adil untuk semua pasukan yang sedang mengejar mata di kelompok atas atau yang sedang bergelut tersingkir ke liga bawahan.

Dua perlawanan berbeza di bandar setempat juga tidak akan diadakan serentak pada hari yang sama. Misalnya perlawanan membabitkan Liverpool di Anfield dan Everton di Goodison Park. Namun pengecualian diberikan kepada perlawanan-perlawanan yang diadakan di London, disebabkan jumlah kelab dan gelanggang yang banyak di bandar tersebut – menjadikan ia hampir mustahil untuk mengelakkan dari perlawanan berlangsung serentak.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

Langkah 4:
Pada Mac, pihak Premier League akan menghantar borang pertanyaan kepada setiap pasukan bertanding untuk mendapatkan maklumat mengenai tiga perkara:

  • Adakah terdapat tarikh tertentu kelab enggan beraksi selaku tuan rumah? Ini kerana ada tarikh-tarikh yang dinasihatkan oleh pihak polis supaya tiada perlawanan diadakan di kawasan berhampiran stadium atau bandar untuk mengelakkan kesesakan oleh kehadiran penyokong bola sepak kerana majlis-majlis tertentu.
  • Adakah terdapat tarikh-tarikh tertentu kelab mempunyai lawan pilihan? Kebiasaannya di England perlawanan sebegini adalah untuk memperingati hari-hari tertentu berkaitan sejarah, insiden, keraian atau wira-wira bola sepak yang telah pergi.
  • Adakah terdapat pasukan yang enggan dipertemukan pada perlawanan Boxing Day atau kelab enggan beraksi di halaman sendiri pada ketika itu? Ia adalah minggu perayaan Krismas di England pada ketika itu. Biasanya ia mengambil kira faktor peminat yang bercuti, dan enggan pergi jauh ke gelanggan lawan pada hari tersebut kerana memilih untuk bersama keluarga.

Sistem program berkomputer juga akan menganilisis jarak perjalanan yang perlu dilalui oleh penyokong, dan meminimakan perjalanan mereka untuk perlawanan dalam tempoh tersebut.

Langkah 5:
Selepas itu, Thompson hanya perlu menunggu musim tamat  – termasuk play off – untuk memuktamadkan kelab-kelab bertanding. Setiap kelab akan diletakkan ke dalam grid secara berpasangan yang akan menentukan siapa akan terlebih dahulu menjadi tuan rumah. Di peringkat ini ia mulai ditentukan oleh sistem matriks yang diprogramkan kepada komputer. Untuk setiap tarikh, komputer akan menentukan siapa beraksi sebagai tuan rumah dan pelawat. Ia akan dilakukan secara rawak untuk menentukan perlawanan mana yang akan diadakan pada tarikh sepatutnya.

Setiap perlawanan yang disusun akan mengambil kira peraturan di Langkah 3, dan permintaan pada Langkah 4. Sebarang isu berbangkit akan membuatkan proses bermula semula dari Lankah 1. Sebagai contoh, pada musim 2012/14, pihak Polis Metropolitan memohon supaya tiada perlawanan berprofil tinggi sehingga selepas 8 September disebabkan Sukan Olimpik.

(Photo by Shaun Brooks/Action Plus via Getty Images)

Langkah 6:
Di sini merupakan proses semakan. Wakil dari Premier League, The FA dan Atos akan mengambil masa dua hari untuk mengkaji sepenuhnya jadual yang telah disediakan sebaik mungkin untuk mengelakkan pindaan di kemudian hari. Sistem komputer turut digunakan untuk meminda perlawanan ke tarikh lain yang bersesuaian sekiranya terdapat tarikh lain yang tidak sesuai.

Adakalanya pindaan menjadi sangat rumit. Ini kerana satu pindaan boleh melibatkan sehingga 40 perubahan yang lain.

Bagi perlawanan liga yang tertunda akibat perlawanan Piala FA atau EFL, kedua-dua kelab akan diberikan ruang untuk mencadangkan tarikh yang bersesuaian. Namun kata akhir masih dipegang oleh Premier League berdasarkan kepentingan dan keutamaan yang lebih besar dan perlu diambil kira terlebih dahulu. Bahagian ini akan dinilai dari masa ke semasa oleh Thompson dan Atos berdasarkan keperluan.

Langkah 7:
Setelah jadual perlawanan mendapat persetujuan semua pihak, maka ia akan diedarkan kepada pihak kelab dan juga media untuk edaran pada pagi hari berikutnya.

Tidak boleh puaskan hati

Walaupun  sudah berusaha sebaik mungkin, Thompson mengakui pihak mereka tidak akan mampu membuatkan semua pihak berpuas hati.

Namun beliau berkata sehingga kini beliau berpuas hati dengan apa yang mereka telah lakukan kerana mampu mencapai tahap 85% kepuasan pada setiap musim. Ia sudah boleh dianggap sebagai satu kejayaan.

Sumber: mStar

Penutup

Organisasi berpengalaman seperti Premier League sekali pun akan mengakui ianya mustahil untuk menyediakan jadual yang sempurna setiap musim. MFL baru sahaja berusia 4 tahun, jika dibandingkan dengan Premier League yang sudah beroperasi selama 27 tahun.

Namun demikian ia tidak bermakna kita menutup ruang untuk MFL melakukan penambahbaikkan pada musim-musim akan datang. Mengkritik itu memang mudah. Menuding pula sekadar bersuara. Tetapi solusinya bagaimana?

 

Nota editor: Artikel ini adalah hasil pandangan dan kajian penulis, dan tidak menggambarkan pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!