Malaysia akhirnya berjaya melakar kemenangan di pentas antarabangsa selepas mereka agak lama tidak meraih keputusan tersebut di pentas antarabangsa dengan Taiwan dijadikan sebagai mangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Walaupun meraih kemenangan, Malaysia gagal untuk melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas perbezaan jaringan dan mata bersama Kyrgyzstan di peringkat Kumpulan D.
Namun, kemenangan itu sedikit sebanyak membuka pengharapan terbaharu dalam kalangan penyokong selepas Kim Pan-gon masih mampu memberikan keputusan positif di sebalik persiapan serba tidak lengkap dilakukan negara.
Sepanjang dua aksi Malaysia di pentas antarabangsa, Kim juga memastikan skuad kebangsaan tidak keciciran sebarang mata selain memperkenalkan beberapa muka baharu di pentas antarabangsa.
Malah, ada di antara pemain-pemain yang buat pertama kali menyarung jersi Harimau Malaya berjaya memberi gambaran cukup positif untuk terus terpilih pada aksi akan datang.
Menerusi aksi semalam, tiga pemain Malaysia pada pandangan kami berjaya memberi sumbangan cukup besar di atas padang sehingga membantu negara mengetepikan cabaran Taiwan.
Adib Ra’op
Dibawa masuk pada pertengahan separuh masa kedua dan berjaya menjalankan tugas dengan begitu baik untuk terus meningkatkan intensiti serangan Malaysia.
Beraksi di posisi sayap, Adib mempamerkan kualiti tersendiri menerusi kelincahan beliau melarikan bola serta memberi tekanan-tekanan tinggi buat kubu pertahanan lawan.
Hasilnya, pemain Penang ini turut berjaya meledak gol ketiga Malaysia selepas tekanan tinggi dilakukannya membuahkan hasil sehingga pertahanan Taiwan membuat kesilapan mudah.
Sergio Aguero
Aguero dibawa masuk pada awal separuh masa kedua untuk menggantikan khidmat Matthew Davies dalam usaha Kim Pan-gon untuk menambah kuantiti serta kualiti di posisi serangan.
Pemain ini jelas tidak menghampakan apabila beliau berjaya menawarkan hub kreativiti untuk membantu para pemain lain memperoleh peluang di hadapan gawang gol pasukan lawan.
Aguero juga tenang mengawal bola dan setiap hantaran dibuat beliau jelas tidak sia-sia selain kerajinan pemain naturalisasi dari Argentina ini untuk bergerak di sekitar kawasan demi memastikan penguasaan kekal milik Malaysia.
Corbin Ong
Umpama mempunyai jantung simpanan, Corbin menjadi pemain paling aktif sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung dengan dirinya berjaya mengekalkan disiplin di posisi pertahanan serta serangan negara.
Tidak hanya termaktub mengawal kubu pertahanan Malaysia, tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) ini turut aktif membantu Akhyar Rashid serta Adib Ra’op di bahagian serangan negara.
Kekuatan fizikal dimiliki Corbin juga digunakan sebaik mungkin pada aksi tersebut dalam usaha beliau untuk mengekang penyerang lawan serta bijak mencipta kombinasi bersama rakan sepasukan lain.