Harimau Malaya secara rasminya bakal berdepan aksi keempat mereka pada hari ini di saingan Asean Championship 2024 dengan pertemuan seterusnya membabitkan mereka menentang cabaran Singapura.
Mengimbas kembali pada perjalanan tiga perlawanan lalu dihadapi skuad kebangsaan, Malaysia telah mencatat satu kemenangan, satu keputusan seri serta sekali kekalahan secara keseluruhan.
Ketika ini, peluang untuk Malaysia mara ke pusingan seterusnya masih terbuka walaupun mereka sedang menghuni kedudukan keempat carta Kumpulan A.
Walaupun begitu, tiada jalan lain buat Malaysia selain meraih keputusan positif sahaja menentang Singapura pada hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Berkelebihan di halaman sendiri, Malaysia dianggap mampu untuk mengetepikan cabaran lawan walaupun prestasi semasa Singapura kini dianggap cukup menyakinkan.
Berikut merupakan senarai 3 pemain tumpuan Harimau Malaya yang dijangka bakal memberikan impak besar buat perjalanan semasa mereka menghadapi Singapura.
Haqimi Azim
Haqimi dianggap salah seorang pemain tumpuan yang dijangka bakal memainkan peranan penting untuk melancarkan siri serangan Malaysia malam ini.
Diberi peluang beraksi di posisi sayap kanan, Haqimi telah pun beraksi dengan cukup baik terutama sekali menerusi kelincahan beliau untuk mengatasi pertahanan lawan.
Dijangka kepantasan, kekuatan fizikal, serta kelincahan pemain muda Kuala Lumpur City (KL City) ini bakal menjadi pilihan utama Pau Marti untuk berada di posisi kanan serangan Malaysia.
Stuart Wilkin
Pemain tengah menyerang Harimau Malaya ini sudah tentu ditagih kembali untuk memperkukuhkan kesebelasan utama skuad kebangsaan berdepan Singapura.
Ketiadaan Wilkin pada aksi berdepan Thailand pada aksi lalu jelas dirasai kerana beliau memiliki keupayaan cukup tinggi untuk mencorakkan siri serangan Harimau Malaya.
Kualiti Wilkin daripada segi keupayaan mengawal bola serta mencipta lorongan berbahaya diakui cukup berkualiti selain kelebihan beliau melepaskan rembatan deras jarak jauh tepat.
Paulo Josue
Penjaring terbanyak Malaysia itu boleh dikatakan sedang berada dalam prestasi cukup baik selepas Josue baru sahaja meledak gol ketika bersama KL City baru-baru ini.
Keupayaan Josue terarah kepada ketajaman beliau di hadapan gawang gol selain mampu melepaskan rembatan jarak jauh tepat menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti.
Selain itu, Josue juga memiliki kreativiti untuk membuka peluang serangan kepada rakan sepasukan lain menerusi hantaran serta gerakannya yang lincah mengawal bola.