Thailand secara rasminya bakal menghadapi aksi kedua mereka dalam saingan Asean Championship 2024 dengan pertemuan seterusnya membabitkan negara itu menghadapi cabaran daripada Malaysia.
Atas kertas, kelebihan dilihat terarah kepada Thailand yang berkelebihan bermain di halaman sendiri serta berada pada momentum terbaik hasil kemenangan besar lalu mengatasi Timor Leste.
Apatah lagi Thailand memiliki tempoh rehat lebih mencukup jika dibandingkan Malaysia yang baharu saja menyelesaikan tugasan kedua mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Lebih mengharukan keadaan, Malaysia juga tampil serba tempang tanpa beberapa pemain utama mereka yang dipanggil pulang bersama kelab selain ada turut menghadapi kecederaan.
Melihat kepada keadaan semasa, jelas skuad kendalian Pau Marti Vicente perlu berhati-hati atau mereka bakal menghadapi kesukaran besar sepanjang mengharungi 90 minit di gelanggang lawan.
Berikut merupakan tiga pemain tumpuan yang mungkin perlu diberi perhatian oleh Harimau Malaya jika mereka mahu mengelak mencipta kekalahan besar atau sekurangnya mengimpikan keputusan positif.
Patrik Gustavsson
Ini menjadi penampilan buat kali kedua buat Patrik bersama skuad senior Thailand dan beliau berjaya mempamerkan aksi cukup cemerlang ketika menghadapi Timos Leste lalu.
Selaku penyerang utama, Patrik memiliki segala yang diperlukan oleh Thailand daripada segi ketajaman, kawalan bola, serta kekuatan fizikal untuk mengatasi lawan.
Menerusi statistik perlawanan lalu, Patrik telah menghasilkan satu jaringan serta satu bantuan gol untuk meninggalkan impak cukup besar walaupun baru berusia 23 tahun.
Suphanat Mueanta
Pemain muda berusia 22 tahun ini menjadi antara yang cukup berbahaya jika diimbas pada aksi lalu menentang Timor Leste, setelah kelincahannya mudah mengkucar kacirkan pertahanan pasukan lawan.
Dua gol bersama dua bantuan jaringan direkodkan Suphanat pada aksi lalu dan beliau berperanan selaku pemain sayap kanan untuk membentuk gandingan hebat bersama Patrik serta Anan Yodsangwal.
Kualiti Suphanat terarah kepada kepantasan serta kelicikan beliau untuk mengatasi pertahanan lawan selain memiliki ketajaman di hadapan gawang gol.
Ben Davis
Pemain tengah serangan Thailand ini menjadi titik utama kekuatan pasukan tersebut pada aksi lalu ketika mereka mencipta kemenangan besar mengatasi Timor Leste.
Salah satu kelebihan Davis terarah kepada ketenangan beliau yang menyudahkan setiap peluang terhidang walaupun mendapat tekanan daripada pertahanan lawan.
Dua gol direkodkan beliau pada aksi lalu dan pertahanan Harimau Malaya wajar memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pemain ini di atas padang.
Pemain-pemain lain wajar diberi tumpuan terarah kepada dua tonggak Thailand yang baharu menyertai kem kebangsaan iaitu Supachok Sarachat serta Ekanit Panya yang memiliki kualiti cukup menyakinkan.